Friday 13 May 2016

Bab 9 Kerana Dia Suamiku by...Cahaya Ainn


Alia tunduk ketika sibuk mencatat nota-nota tambahan dari buku rujukan tebal yang terbuka di hadapannya. Sesekali dia berpaling ke arah skrin komputer. Jemarinya melarikan tetikusdan menekan sana sini, mencari maklumat tambahan yang boleh digunakan untuk mengajar nanti. Matanya tertumpu di skrin komputer, membaca mana-mana maklumat yang difikirannya sesuai sebelum mencatat pada buku catatannya. Kemudian dia kembali ke meja, cuba menggabungkan maklumat yang baru diperoleh tadi. Kemudian, ditarik pula nota yang telah siap dicetak, menulis sesuatu pada nota tersebut untuk memperbaiki nota itu sebelum diedarkan kepada pelajar.
          Alia menarik keluar cermin matanya lalu diletakkan di atas meja. Dia mengurut batang hidungnya yang terasa pedih. Peperiksaan hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi. Peperiksaan yang akan berlangsung seminggu selepas cuti hari raya nanti.
          Alia menyandarkan tubuh pada kerusi empuk itu. Kepalanya terasa berat. Mahu boleh keluar asap di kepala macam ni. Dia memejamkan mata. Serta-merta dia teringat insiden masa bersahur tadi. Senyuman kelat terukir di bibir. Entah macam mana boleh terbabas. Sedar-sedar dah tinggal 20 minit nak masuk waktu imsak. Terkoncoh-koncoh dia bangun menuju ke tandas untuk membasuh muka dan memberus gigi saat tu. Dia sempat menjeling jam pada dinding sebelum keluar dari bilik. Kakinya laju melangkah menuruni tangga, namun kakinya terhenti ketika melihat meja makan tersebut. Riak wajahnya berubah. Dia tercegat di hujung tangga sambil merenung belakang badan lelaki tersebut.
          Apa hal tak naik-naik lagi? Dah pukul berapa ni? Alia mengerutu dalam hati.  
          "Eh, Lia... Mak Temah ingat kamu tak puasa lagi." Suara Mak Temah kedengaran dari dapur.
          Alia menggigit bibir, namun muka terasa panas. Memanglah seminggu lepas dia tak berpuasa kerana 'cuti'. Tapi saat ni, dia bangun lambat sebab dia terlupa nak set jam semula lepas mandi wajib semalam.
          Kening Syah terangkat sebelah. Rasa macam nak runtuh aje rumah bila dengar gadis itu turun dari tangga. Macam gergasi berlari. Terbabas juga ke budak ni.
          Syah menjamah nasi lambat-lambat.
          Alia melangkah lemah menuju ke dapur.
          "Kenapa dia tak masuk bilik lagi?" Alia berbisik ke arah Mak Temah.
          "Syah pun bangun lambat. Semalam katanya sampai rumah dekat pukul 2.00 pagi, tu tak sedar." Mak Temah menjawab sambil mengelap pinggan yang telah siap dibasuh.
          "Mak Temah dah sahur?" Alia bertanya sambil tersandar di pintu apur. Matanya menjeling jam pada dinding dapur. Tinggal 15 minit lagi.
          Isy, takkan nak makan satu meja dengan dia pula, Alia menggigit bibir.
          Alia berjalan menuju ke meja dapur, lalu menarik kerusi dan duduk.
         "Mak Temah. Lia makan kat sini ajelah. Mak Temah tolong ambil lauk kat meja depan eh?" Alia berkata perlahan, hampir berbisik.
          Mak Temah berpaling memandang Alia. "Kenapa pulak nak makan kat sini? Pergilah duduk dengan Syah tu. Lauk semua Mak Temah dah letak sana. Ingat Lia tak puasa lagi."
           "Adoi, masalah besar ni. Bala manalah yang datang menimpa aku ni?" Alia menarik rambut hadapan yang terjuntai.
          "Cepatlah, nanti tak sempat nak sahur pulak... " Mak Temah dah berjalan menuju ke ruang makan sambil membawa pinggan nasi untuk Alia.
           Alia menggigit bibir. Kalau tak makan sahur, mahu lembik sepanjang hari. Tambah-tambah hari ni kelas padat. Adoilah... Malang nasib aku.
          Alia melangkah dengan lemah menuju ke ruang makan sebelum terhenti seketika di belakang lelaki itu. Dia menarik nafas panjang.
          "La, kenapa tercegat lagi kat situ? Cepatlah, tinggal sepuluh minit lagi ni... " Mak Temah berjalan sambil membawa segelas air oren.
          Mahu tak mahu, terpaksa juga Alia berjalan mendekati meja itu. Menarik kerusi selang dua baris dari tempat Syah duduk. Syah tidak mengangkat kepala ketika Alia duduk di situ. Dia tetap meneruskan suapannya.
          Alia menelan air liur sebelum menadah tangan membaca doa. Tangannya kelihatan agak terketar ketika mencapai sudu lauk masak asam pedas di hadapannya itu.
          Syah menjeling dengan ekor mata. Senyuman hampir terukir di bibir ketika memerhatikan gerak laku Alia. Itu memang gaya dah terdesak sangat tu. Kalau tak, memang tunggu kucing bertanduklah nak makan berdua dan semeja ni.
          Alia tidak mengangkat kepala ketika menyuap nasi ke mulut. Gaya dah macam perempuan Melayu terakhir makan. Tunduk dan bersopan aje.
          Alia tersenyum pahit. Memang bala apa entah kena duduk semeja macam ni.
          Syah bangun dan mengangkat pinggan dan gelas kosongnya lalu dibawa ke dapur. Alia melepaskan nafas lega. Barulah boleh bernafas sikit apabila mamat tu tak ada. Namun, matanya menjeling pada jam dinding. Tinggal empat minit aje lagi nak masuk waktu imsak. Dia cepat-cepat meratah ikan ikan pari masak asam pedasnya sebelum meneguk jus oren. Hampir tercekik dia kerana makan tergesa-gesa. Cepat-cepat dia meneguk air oren tersebut sehingga habis untuk melegakan salur pernafasannya yang seolah-olah tersumbat.
          Alia tersandar ke kerusi ketika dia mula boleh bernafas engan normal. Setelah berasa selesa, dia bangun lalu membawa pinggan dan cawan kosong menuju ke singki. Matanya dikecilkan ketika melihat lelaki itu bersandar di pintu belakang yang terbuka.
          Merenung bulan lagi ke apa? Ke kira bintang? Alia tergelak dalam hati. Namun kakinya diayun juga menuju ke singki. Matanya memandang ke dalam singki.
          "Pinggan sendiri makan pun malas nak basuh."
          Rungutan tanpa sedar itu laju sahaja keluar dari bibir Alia. Langsung tidak dikisahkan jikalau Syah mendengarnya. Dia membasuh pinggannya dan pinggan Syah. Takkan nak tinggal macam tu aje. Kesian Mak Temah.
          Syah tidak bergerak ketika telinganya menangkap rungutan Alia di sebelahnya itu. Memang sengaja dia tak nak basuh, mahu menduga isi hati gadis itu.
          Alia mengelap tangan yang basah dengan tuala tangan yang sedia ada sebelum melangkah memanjat tangga menuju ke tingkat atas. Ketika dia masuk ke dalam bilik, kedengaran suara azan bergema dari masjid di hujung taman itu.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Wei, berangan ke apa?"
          Alia tersentak. Matanya tertumpu pada Julia yang sedang bercekak pinggang di hadapannya. Spontan matanya dihala pada pintu pejabat yang tertutup rapat.
          "Datang dari mana? Jatuh dari langit ke apa?" Alia merenung Julia yang telah duduk di hadapannya.
          Julia memutarkan bebola matanya. "Punyalah sakit tangan aku ketuk pintu macam nak runtuh. Kau boleh buat tak dengar aje." Julia menjawab sambil duduk bersilang kaki ala-ala gengster.
          Alia mencebik. "Nak apa? Aku sibuk ni." Alia mendekatkan tubuh pada meja sebelum mencapai pen dan mula mencatat nota-nota tambahan yang terhenti tadi.
          "Aku nak tanya sesuatu ni... "
          "Apa dia?" Alia bertanya tanpa mengangkat muka.
          "Raya tahun ni, kau balik Kuala?"
          Jari yang menekan kalkulator terhenti seketika.
          "Tak pasti lagi." Alia menjawab perlahan sambil menyambung menekan kalkulator.
           "Mak long cakap kau balik Kuala tahun ni." Julia memeluk tubuh memerhatikan Alia yang sibuk mengira entah apa. Macam itulah kalau dah namanya pensyarah matematik. Tak lekang dengan kalkulator dan kira-kira.
            "Lia, kau dengar tak apa aku cakap ni?" Julia mencapai buku rujukan tebal di atas meja. Dibeleknya perlahan. Naik pening kepala dengan segala macam rumus dan simbol itu.
          "Hmm, dengar... " Alia menjawab, masih lagi dengan pengiraannya.
          "Jadi, kau jadi balik ke tak ni?" Julia meletakkan semula buku rujukan itu di atas meja.
           "Mungkin." Alia menjawab perlahan.
           "Eloklah tu. Boleh kita beraya bersama-sama tahun ni. Dah banyak tahun kau tak balik Kuala, kan? Asyik raya di Batu Pahat aje. Sampai kecik hati orang tua tu." Julia berkata sambil memusingkan kerusi yang didudukinya itu ke kiri dan ke kanan.
          Alia mengeluh perlahan. Dia menegakkan tubuh di kerusi itu. "Kau bukan tak tahu. Aku bukan sengaja nak buat macam tu." Alia membuangkan pandangan ke luar tingkap yang separuh terbuka itu.
          "Dah dekat 12 tahun, Lia... Takkan kau masih tak boleh lupa."
          "Ia tak senang. Kau tak faham. Kau tak berada di situ." Alia terhenti. Kolam matanya mula berat. Namun dia cepat-cepat menjauhkan ingatan tersebut dari benaknya.
          Julia mengeluh perlahan. "Aku faham perasaan kau. Aku tahu apa yang kau tanggung. Tapi takkan selama-lamanya kau nak menjauhkan diri. Tak kesian ke kat atuk dan opah? Bukan kau sahaja yang menderita. Semua orang pun sam, Lia... "
          Alia terdiam. Memang betul bukan dia sahaja yang menderita. Namun dia yakin orang lain takkan menderita lebih berat lagi daripadanya kerana dia yang ada di situ.
          "Tak apalah, nanti kalau kau betul-betul jadi balik kampung, bagi tahulah aku. Aku harap juga dapat jumpa kau kat kampung Kuala tahun ni." Julia bangun.
          Alia mendongak dan memerhatikan langkah kaki Julia menuju ke pintu pejabatnya. Alia mengeluh perlahan sebelum menyandarkan tubuh pada kerusi, berfikir dalam-dalam.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Mak Temah dah tanya ke?"
          Mak Temah yang sedang sibuk mengacau sambal sotong di atas dapur itu berpaling. Alia menarik kerusi lalu duduk.
          "Tanya apa?" Soal Mak Temah pula.
          "Alah, Mak Temah ni... Takkan dah lupa. Pasal benda tulah. Dah tanya dia ke?" Alia menggendang meja dengan hujung jari. Jam pada dinding menunjukkan hampir pukul 6.00 petang. Lepas waktu kerja tadi, terus dia balik ke rumah. Nasib baik jalan tak sesak mana.
          "Oh, pasal hal tu. Maaflah Lia, Mak Temah tak sempat nak tanya. Lagipun Syah nampak sibuk sangat sekarang. Balik pun dekat pukul satu dua pagi. Macam mana nak jumpa?" Mak Temah menyenduk sambal sotong ke dalam pinggan seramik putih.
           "Waktu sahur Mak Temah tak tanya?" Alia bangun sambil menuju ke dapur.
          "Mak Temah lupalah, Lia. Biasalah, dah tua kan... "
          "Mak Temah mana tua lagi. Masih cantik dan muda lagi apa." Alia tersengih sambil tangan mengacau sup ayam di atas dapur.
          "Isy, Lia ni suka menyakat Mak Temah." Mak Temah tersenyum.
          Alia masih lagi tersengih. "Mak Temah tolonglah tanya ya? Puasa dah tinggal seminggu lebih aje. Mana sempat nak buat semua tu kalau dah akhir-akhir."
          "Insya-Allah kalau Mak Temah teringat. Kenapa Lia tak tanya sendiri? Kan senang." Mak Temah mengeluarkan air batu dari dalam peti ais.
          Alia menarik muncung tiga incinya. "Mak Temah ni buat tak faham pulak."
          Mak Temah menggelengkan kepala. "Mak Temah bukan nak masuk campur hal kamu berdua. Mak Temah sedar Mak Temah hanya orang gaji aje dalam rumah ni. Tapi Mak Temah dah anggap kamu berdua macam anak-anak Mak Temah. Mak Temah tak tahu apa yang berlaku antara kamu berdua. Tapi Lia kan isteri Syah. Kenapa sampai tak bercakap? Nak bertemu muka pun payah."
           Alia terdiam ketika memerhatikan sup yang sedang mengelegak di atas api.
          "Mak Temah, ni Lia masukkan sayur eh. Sup dah mendidih." Alia mengangkat bekas berisi sayur yang telah siap dipotong.
          Mak Temah hanya menggeleng perlahan ketika melihat Alia memasukkan sayur-sayur tersebut ke dalam periuk sup.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
 "Wei, lain kali tolong ajak orang lain kalau kau nak bershopping."
           Alia tidak mengendahkan. Matanya khusyuk memerhatikan jenis-jenis kain di tangan. Ai, mati kutu dibuatnya. Rambang mata nak pilih yang mana.
          "Ju, mana cantik?" Alia menunjukkan dua jenis kain ke arah Julia.
          Julia merenung seketika. "Yang tu." Julia menunjuk pada kain di tangan kanan Alia. Alia melihat kain tersebut sekali lagi. "Aku pun berkenan dengan ni." Alia membelek-belek lagi. 
          "Tema raya kau tahun ni warna purple eh?" Julia bertanya sambil mengurut tapak kakinya perlahan. Rasa macam nak tercabut kaki kalau berjalan dengan si Alia ni.
          "Hmm... " Alia menjawab perlahan.
          "Siapa decide? Kau ke Syah?" Alia hanya mendiamkan diri. Malas nak jawab.
          Julia masih menanti jawapan dari mulut Alia.
          "Aku ambil yang nilah." Alia meletakkan kembali kain yang tidak dimahunya di tempatnya dan menyerahkan kain yang dimahukan itu kepada jurujual. "Saya nak seratus meter" Alia berkata kepada jurujual tersebut.
          "Seratus meter? Kau nak buat langsir ke nak buka kedai kain?" Julia bangun lalu menghampiri sepupunya itu.
          "Rumah tu banyak sangat cermin. Kalau kau nak merungut, aku lagi layak nak merungut. Manusia tu buat tingkap dan dinding cermin tu punya banyak, menyusahkan orang aje... "
          Julia menggeleng perlahan. Entah bila nak berdamailah budak berdua ni.
          "Eh, aku lupa nak tanya. Syah tu umur berapa eh?" Julia bertanya ketika mereka keluar dari Nagoya.
           Alia terdiam seketika. "Entah. Tapi ibu cakap sebaya abang."
          "Oh, kira 28 eh?"
          Alia tidak ambil pusing.
          "Dah tu. Kau nak buat apa dengan kain tu? Nak tempah atau jahit sendiri?" Julia bertanya.
          "Aku rasa nak jahit sendirilah. Kalau nak hantar kedai pun tak sempat."
          "Rajinnya kau nak jahit sendiri. Untung Syah dapat isteri macam kau." Julia tersengih.
          Alia memutarkan bebola matanya. "Aku buat semua ini bukan untuk dia. Kang buatnya parents datang rumah, tengok rumah macam tongkang pecah, tak ke haru. Aku jugak yang kena bebel dengan ibu nanti." 
          Julia tergelak. "Hai, macam-macamlah kau ni Lia... "
          "Kita nak buka kat mana ni?" Alia bertanya sambil menjeling jam di tangan. Ada sejam lagi sebelum waktu berbuka.
          "Kau tak buka kat rumah ke?" Julia memandang wajah Alia yang melilau memandang sekeliling.
          "Tak, aku dah call Mak Temah tadi cakap kita buka luar. Kang lepas buka aku nak ajak kau pergi cari baju raya pulak."
          Julia membulatkan matamerenung wajah Alia. "Hah! Nak berjalan lagi ke? Aku dah tak larat dah ni... " Julia buat muka.
          "Alah, Ju... Bukan selalu pun. Lagipun puasa tinggal seminggu aje lagi. Kalau tak cari sekarang, bila lagi. Kalau kau tak teman aku, siapa lagi... ?"
          "Kenapa tak ajak laki kau aje? Kan senang." Julia tersengih mengusik.
          Alia mendengus. "Bolehlah eh? Nanti buka aku belanja. Cakap aje kau nak makan apa." Pujuk Alia.
          "Memujuk memang kaulah paling terror sekali." Julia memutarkan bebola matanya. Alia tersengih sebelum langkah kaki diayun meninggalkan tempat itu. 
 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------
 Syah berjalan perlahan menuruni anak tangga ke bawah. Keningnya terangkat. Beg bimbitnya yang berwarna silver diletak di atas meja sebelum kaki diayun ke dapur. Dahinya berkerut. 
           "Bunyi apa tu Mak Temah?" Syah berjalan menuju ke dapur.
           Mak Temah yang sedang mengangkat bakul berisi kain kotor itu berpaling. "Eh, Syah, awal kamu pergi kerja hari ni."
          "Ada kerja sedikit kat pejabat." Syah membuka pintu belakang ketika Mak Temah mengangkat bakul kain kotor untuk dibasuh di luar. Mesin basuh memang sengaja diletak di beranda luar. Senang, lepas basuh terus sidai.
          "Oh, apa Syah tanya tadi?"
          "Bunyi apa yang bising-bising tu?" Tanya Shah ketika berdiri di depan pintu dapur.
          "Oh, itu bunyi mesin jahit Lia agaknya." Mak Temah menjawab sambil memasukkan baju kotor ke dalam mesin basuh.
          Dahi Syah berkerut. "Mesin jahit? Dia menjahit? Menjahit apa pagi-pagi buta ni?"  Syah bertanya. Memang pelik budak tu.
           "Tu ha, menjahit langsir. Kan tinggal berapa hari aje lagi nak raya. Tu yang dia sibuk menjahit tu. Memang dua tiga hari ni dia tidak tidur lepas sahur. Menjahit nak bagi siap langsir tu sebelum balik Kuala katanya." Mak Temah menuang serbuk pencuci ke dalam mesin basuh.
          Shah tercengang. Biar betul. Sanggup tu luang masa nak menjahit langsir. Tingkap bukan main banyak lagi ni. Larat ke nak jahit semua. Syah berkata dalam hati. Bunyi mesin jahit masih lagi kedengaran.
          "Dia jahit kat mana? Takkan kat bilik dia?"
          "Tu kat bilik belakang. Yang Syah jadikan stor letak barang-barang tu." Mak Temah memuncungkan bibirnya menghala ke bilik belakang bersebelahan dengan dapur.
          Syah terdiam. Cuba mencernakan apa yang sedang berlaku.
          "Tak apalah kalau macam tu. Syah pergi dulu, Mak Temah." Baru beberapa tapak kakinya melangkah, langkahnya terhenti seketika apabila mendengar Mak Temah memanggilnya. Dia berpaling.
          "Mak Temah nak tanya, hari tu Lia suruh tanya Syah tema raya tahun ni nak warna apa? Pasal dia nak beli kain langsir. Tapi Mak Temah asyik terlupa aje nak tanya Syah. Tu Lia beli aje langsir warna ungu. Syah tak kisah, kan?"
           Syah terdiam seketika sebelum bibirnya mengukir senyuman lebar. "Tak, Mak Temah. Syah tak kisah." Jawabnya sebelum kembali melangkah. Bibirnya tak lekang dengan senyuman.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Alia mengurut leher yang terasa lenguh. Sesekali dia mengeliat meregangkan tulang belakang yang terasa sakit. Matanya berpinar kerana hampir dua jam menghadap komputer, menyiapkan nota untuk kuliah seterusnya. Masih ada satu dua subtopik lagi yang masih belum diajar olehnya walaupun cuti raya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Mana nak sempat kalau dia asyik pergi khusus sana sini, itu pun dah banyak sangat buat kelas ganti waktu malam.
          Alia mengurut pelipisnya. Terasa agak pening. Matanya menjeling jam di atas meja. Lagi sejam masa sebelum balik. Dia menyandarkan tubuh pada kerusi itu. Matanya dipejam. Lagu Linkin Park berdentum dari speaker komputernya. Buatnya student datang masa dia tengah layan lagu-lagu macam ni, memang harulah.
          Mata Alia terbuka ketika telefon bimbitnya berbunyi. Dia segera mencapai beg tangannya lalu mengeluarkan telefon tersebut. Senyum lebar terukir di bibir. 
          "Helo, assalamualaikum... " Alia bersuara.
          "Waalaikumussalam... Honey buat apa?" Tanya orang di sebelah sana.
          "Tak buat apa pun, rindulah... "
          Ketawa yang cuba ditahan pecah juga. 
          "Harulah abang ni. Kalau dengar kat orang, ingat cakap dengan girlfriend." Alia masih lagi ketawa.
          Aidil turut ketawa di sebelah sana.
          "Cakap orang... Kalau dengar dek Syah, mahu kena kejar."Aidil masih lagi ketawa.
          Tawa Alia terhenti bila terdengar nama manusia itu disebut. Aidil turut terdiam bila orang di sebelah sana senyap.
          "Aik, pantang sebut, senyap terus." Aidil menggaru kepala yang tidak gatal.
          "Adik kat mana sekarang? Office lagi ke?" 
          "Hmm... "
          "Ibu cakap, adik balik raya kat Kuala tahun ni, betul ke?"
         "Hmm... "
         Aidil menggaru kepala lagi. Masalah betul kalau dah jadi macam ni. Sepuluh patah tanya, sepatah aje jawab.
         "Abang kat mana?" Alia bertanya apabila Aidil senyap.
         "Kat office lagi. Saja nak call adik. Lama tak jumpa." 
          "Hmm, abang mula cuti bila?" Alia bertanya sambil melarikan tetikus, menekan butang pause pada Winampnya.
          "Sehari sebelum hari raya. Adik?"
          "Dua hari sebelum hari raya dah cuti. Ibu dan ayah bila gerak balik Kuala?"
          "Entah! Tapi dengar hari tu ibu cakap tiga hari sebelum raya nak gerak dah. Adik nak gerak bila?"
          "Tak pasti lagi. Kalau ikut adik, petang balik kerja tu terus nak gerak. Tapi tak tahulah. Adik tak tanya lagi err... " Alia terdiam.
          Aidil turut terdiam.
          "Abang bila gerak? Pagi raya?" Alia bertanya separuh mengusik.
          "La... Gerak pagi raya, baik tak payah balik. Mahu menangis dalam perjalanan tu. Tambah-tambah dengar lagu Dendang Perantau." Aidil menjawab sambil ketawa.
          Alia turut ketawa.
         "Alah, macam tak biasa aje. Bukan ke setiap kali raya abang akan nangis kat UK dulu. Dah lupa ke?" Alia tersengih.
         "Mana ada. Abang kuat. Bukan macam adik. Sikit-sikit nak nangis."
         Alia mencebik. Balik-balik dia juga yang kena.
         "Okeylah adik... Abang nak keluar dah ni. Nanti lambat keluar, terus jalan sesak."
         "Okey, kirim salam pada ibu dan abah."
         "Okey. Kirim salam kat Syah." Sempat Aidil mengusik adiknya.
          "Abang!"
          Aidil ketawa sebelum talian diputuskan. Kemudian, dia mengeluh berat. Sampai bila nak jadi macam ni.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Hati-hati, Lia... Risau Mak Temah. Tunggu ajelah Syah balik nanti. Biar dia panjat."
          "Alah, tak apa. Lia dah biasa panjat-panjat ni masa kecik dulu." Alia menjawab dari atas tangga di bahagian balkoni.
          "Nanti kalau jadi apa-apa, macam mana? Siapa nak jawab?" Mak Temah mendongak sambil memandang Alia yang sedang memijak hujung tangga besi sambil menyangkut langsir pada dinding kaca di balkoni atas.
          "Tak adalah Mak Temah. Lia okey aje ni. Mak Temah tolong pegang tangga jangan bagi gerak eh?" Alia menolak penyangkut besi masuk pada lubang tempatnya. Mak Temah hanya diam sambil memerhatikan Alia di atas. Wajahnya kelihatan risau.
          "Siap." Alia duduk di atas tangga sambil membetul-betulkan langsir yang tergantung itu. Senyum puas terukir di bibirnya.
          Mak Temah turut memandang.
          "Pandai Lia jahit langsir. Cantik. Belajar daripada siapa?" Mak Temah bertanya ketika Alia turun dari tangga lipat tu.
          "Belajar daripada opah masa kecik-kecik dulu." Alia menjawab sambil menarik-narik kaki langsir, membetulkan kedudukan supaya kemas.
          "Eh, tu macam bunyi kereta. Syah balik ke?" Mak Temah memandang ke bawah tangga. 
          Alia tidak ambil pusing. "Mak Temah nanti kita... " Alia berpaling. "Aik, Mak Temah dah hilang?" Tanya Alia dalam hati ketika memikul tangga besi itu sambil membawa gumpalan langsir menuruni tangga menuju ke tingkat bawah.
          Balkoni sudah, pintu bilik atas pun dua-dua dah pasang, tinggal tingkap bawah aje. Alia berkira-kira sambil melangkah berhati-hati menuruni tangga. Telinganya menangkap perbualan di ruang tamu.
          "La, Mak Temah hilang pergi jumpa manusia tu rupanya." Alia mengomel dalam hati. Dia tidak memandang langsung ke arah Syah ketika melewati lelaki itu yang sedang duduk di atas sofa. Beg bimbit Syah tersandar di tepi meja kopi.
          Alia meletakkan tangga tersebut berdekatan dengan tingkap yang terletak di hujung ruang tamu. Kening Syah terangkat. Ini apa gaya dah macam nak pergi perang aje. Dia menjeling Alia dengan ekor mata. Pandangannya jatuh pada tangga besi lipat itu dan gumpalan langsir yang dihumban di atas lantai. Ini ke langsir yang dia jahit sendiri. Syah tertanya sendiri.
           Alia tidak ambil pusing akan kehadiran lelaki itu yang duduk di sofa tidak jauh daripadanya. Dia mencucuk MP3 yang tergantung di telinga. Rambut yang disanggul kelihatan hampir terurai. Dia membuka sepit rambut lalu digulungnya semula rambut sebelum disepit. Sesekali dia mengelap peluh di dahi. Inilah rupa kalau dah lama tak bersenam. Buat kerja sikit mula semput.
           "Mak Temah, oh Mak Temah... " Alia melaung sambil memastikan kedudukan tangga tersebut stabil. Kemudian dia menunduk mencapai langsir yang telah siap dipasang besi penyangkut lalu diletak di atas bahu.
           "Mana Mak Temah ni? Siapa pula nak pegang tangga masa aku emanjat. Buatnya jatuh tergolek, alamat tak rayalah aku tahun ni." Alia menggigit bibir. Telinganya menangkap bunyi televisyen yang dipasang.
          "Itu satu lagi. Dah tahu kita nak buat kerja, pergilah naik atas. Sibuk duduk sini buat apa. Selalu tu reti pulak balik kerja terus naik. Tak ada nak lepak-lepak tengok TV ke apa." Alia merungut perlahan. Dia menjeling ke arah lelaki itu dengan ekor mata. Pandangan lelaki itu difokuskan pada televisyen.
          Alia memandang tingkap. Dia memeriksa lagi kedudukan tangga tersebut sebelum mengambil keputusan untuk memanjat sahaja tanpa menunggu Mak Temah. Setelah memasukkan penyangkut langsir di tempatnya seperti di balkoni atas tadi, dia duduk di hujung tangga atas. Tangannya menarik dan membetul-betulkan kedudukan langsir tersebut supaya kelihatan sekata da kemas. Namun dia tidak sampai untuk membetulkan kedudukan langsir di hujung sebelah sana. Dia memanjangkan capaian tangannya sejauh yang boleh sehingga tangga tersebut bergerak.
          Dada Alia berdebar, namun dia mengeluh lega kerana tangga tersebut telah berhenti bergerak.
          "Terima kasih Mak Temah. Kalau tak, mesti Lia dah ja... " Kata-kata Alia terhenti apabila melihat bukan Mak Temah yang tolong pegang tangga itu, tapi Syah. Alia terkejut lalu hilang keseimbangan.
          "Argh!" Tangan Alia terlepas dari tangga, membuatkan tubuhnya jatuh. Dia menjerit sambil memejamkan mata. Dalam kepalanya teringatkan ibu, abah, abang, atuk dan opah.
          Maaf atuk, opah... Lia tak sempat nak beraya di kam... Namun kata-kata dalam hati itu terhenti kerana tubuhnya tidak sakit jatuh atas lantai yang keras. Sepasang tangan memeluk tubuhnya. Dia membuka mata. Telinganya menangkap bunyi nafas kasar di atas kepalanya. Dia mengangkat kepala perlahan-lahan. Matanya bertembung dengan pandangan lelaki itu. Jarak seinci sahaja hidungnya dari bibir lelaki itu. Dia bungkam beberapa ketika. Begitu juga dengan Syah.
          "Lia panggil Mak Temah ke tadi? Maaflah, Mak Temah tengok lauk atas dapur."
          Spontan Alia dan Syah memandang ke arah Mak Temah.
          Alia tersedar lalu cepat-cepat melepaskan diri dari pelukan Syah. Mukanya terasa panas membakar. Rasa macam nak terjun tingkap saat tu juga.
          Syah turut tergamam, namun cuba berlagak biasa. Namun dalam hati dah rasa macam nak pecah. Berdebar punya pasal. 
          "Lia tolong Mak Temah hidang lauk untuk buka." Alia berjalan laju meninggalkan tangga dan langsir yang telah siap tergantung di belakang. 

No comments:

Post a Comment