Saturday 14 May 2016

Bab 10 Kerana Dia Suamiku by...Cahaya Ainn


Alia melipat dan menyusun baju-baju yang hendak dibawa ke kampung di dalam beg. Setelah siap, dia menyandarkan tubuh pada kaki katil. Tangannya mengurut leher. Dia termenung sejenak melakar draf tentatif di dalam kepala. Esok pagi-pagi lepas subuh terus gerak ke Kuala Kangsar. Kalau tak keluar awal-awal, mahu tersangkut berjam-jam dekat lebuh raya.
          Alia menarik nafas panjang. Cuba membayangkan keadaannya ketika menjejakkan kaki ke kampung itu nanti. Hampir 12 tahun. 12 tahun dia tidak pernah pulang ke kampung itu. Entah macam manalah rupanya Kampung Tulang tu ya. Rumah Tok Chik masih ada lagi ke? Puad,Peah, Siti dan Melati masih tinggal di kampung itu lagi ke?
          Alia tersenyum pahit mengingatkan betapa gembiranya atuk dan opahnya ketika dia memaklumkan berita yang dia akan pulang beraya di kampung tahun ni. Menagis orang tua tu masa mereka berbual di telefon beberapa hari yang lepas.
          "Balik juga kamu Lia, aku ingat kamu dah tak ingat aku lagi... " Suara opah kedengaran serak.
          Ali turut mengelap air mata yang laju mengalir di pipinya.
          "Lia balik ni opah, Lia tak pernah lupa pada opah, pada atuk... " Alia bersuara perlahan.
          "Kamu balik dengan cucu menantu opah ya. Siapa namanya?" Opah bertanya.
          "Syah, nama dia Syah." Alia menelan air liur yang dah rasa macam berpasir. Susah betul nak sebut satu perkataan tu.
           "Oh, Syah... Bagus, bagus... Kome balik berdua aje? Anak kamu tak ada?"
          Muka Alia dah merah padam. "Opah, Lia mana ada anak lagi." Alia menggigit bibir.
          "Ya ke? Tak apalah macam tu, janji kome balik. Nanti ada rezeki adalah tu." Opah menjawab dari sebelah sana. 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Ju, tolong angkat pinggan ni keluar." Alia tertunduk-tunduk di bawah kabinet dekat stor belakang, mengeluarkan lebih banyak pinggan mangkuk yang akan digunakan untuk berbuka nanti. Kalau dah nama saudara-mara satu kapal, memang tak cukuplah setakat empat lima pinggan.
          "Semua ni ke?" Julia bertanya sambil memandang pinggan mangkuk yang bersusun di atas lantai.
          "Yalah. Dah tu buat apa aku susah payah punggah banyak-banyak ni." Alia mengeluarkan gelas-gelas pula.
          "Dah rupa macam nak kenduri aje." Julia menyangkung.
          Alia menoleh ke arah Julia di sebelah. "Wei, mak cik, kau tak nampak ke bukan main ramai rakyat jelata kat luar sana. Ingat kau aje ke nak berbuka." Alia memuncungkan bibir ke arah depan.
          Julia mencebik. "Yalah, yalah... Macam mak nenek kalau membebel." Julia mengangkat pinggan-pinggan yang bersusun itu berhati-hati menuju ke singki untuk dibilas.
          Alia membawa dulang yang berisi gelas dan diletakkan di atas meja. Dia memusingkan badan menghala ke ruang luar. Ibu, mak lang, mak teh dan mak su sedang sibuk menghidangkan lauk untuk berbuka. Kalau makan ramai-ramai memang selalunya akan makan di ruang luar. Mahu roboh meja makan opah kalau semua nak makan kat situ. Pandangannya dialihkan di ruang depan pula. Kelihatan abah, pak lang, pak teh dan pak su sedang leka berbual. Matanya tiba-tiba jatuh pada wajah Syah yang turut sama berada di ruang itu.
          "Amboi, macam nak tembus dinding tu." Suara Julia menerjah gegendang telinga Alia. Alia menjeling.
          "Kut ya pun rindu, tak payahlah pandang macam tu." Julia tersengih ketika membawa pinggan dan diletakkan di atas meja.
          Alia merengus perlahan lalu membawa dulang berisi gelas ke singki untuk dibilas.
          "Aidil balik bila?" Julia bertanya sambil tangan laju mengelap pinggan basah itu.
          "Esok kut. Katanya esok baru dapat cuti." Alia menjawab sambil menyusun gelas yang telah siap dicuci dan diletakkan di atas meja. Dia mencapai tuala kecil yang terletak di atas meja.
          "Siap dah ke?" Soal Laila, sepupu Alia dan Julia.
          Julia dan Alia berpaling.
          "Siap dah. Tengah nak lap pinggan dengan gelas ni aje." Alia menjawab.
          "Irfan mana?" Julia bertanya.
         "Ada aku bagi kat mak aku. Tak larat aku nak layan. Kerja nak mengamuk aje." Jawab Laila.
          "La, ada pulak bagi kat mak ngah. Anak kau kan? Isy, mana laki kau?" Julia bertanya.
          "Ada kat luar. Entah sembang apa dengan si Budi tu." Laila menjawab sambil mencapai tuala bersih yang lain sebelum mencapai pinggan yang belum dilap.
          "Anak kau si Irfan tu dah berapa bulan?" Alia bertanya.
          "Dekat empat bulan jugak."
          "Empat bulan? Besar eh? Macam umur setahun aje." Julia berkata sambil memandang ke arah mak ngah yang sedang mengagah cucu lelakinya itu. Seronok aje nampak. Mana tak seronok, cucu sulunglah katakan.
          "Biasalah, bagi susu tepung. Mahu tak besar macam tu. Sampai aku pun kadang-kadang tak larat nak dukung. Selalu Aiman sajalah yang jadi mangsa." Laila menjawab.
          "Susu tepung? Kau tak bagi susu badan ke?" Julia sibuk bertanya.
          "Bagi juga. Tapi kalau dah aku kerja, kena juga bagi susu tepung."
          "Oh, mana aku tahu." Julia menjawab.
          "Lia, kau bila lagi?" Laila bertanya sambil memandang Alia yang senyap itu.
          "Bila lagi apa bendanya?" Alia tanya balik. Tangannya lincah menyusun gelas yang telah kering.
          "Bila nak ada isi?"
          "Isi apa pula?" Alia mengerutkan dahi.
          Julia sudah tergelak. Alia memandang wajah Julia dengan raut pandangan tanda tanya sebelum jatuh pada Laila.
          "Budak ni... Kau ni bila nak pregnant?" Laila bertanya sambil menghulurkan pinggan yang telah siap dilap ke arah Alia.
          Alia hampir terlepas pinggan tersebut, namun sepat disambut sebelum jatuh terhempas ke lantai ketika mendengar pertanyaan Laila itu.
          Julia sudah gelak macam nak gila.
          "Itu apa pulak anak dara gelak macam tu? Kang tak ada orang nak masuk meminang baru tahu." Mak lang, ibu Julia bertanya dari luar.
          Julia menutup mulutnya menahan ketawa.
          Alia dah merah muka. Dia sempat menghadiahkan jelingan maut ke arah Julia.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
          "Isy, ni yang menyampah kalau buat-buat tak jadi ni. Macam mana nak beza jantan betina pun tak tahu." Alia merungut perlahan ketika melipat daun kelapa untuk dibuat ketupat daun palas.
          "Atuk, jadi tak?" Alia menunjuk ketupat tiga segi yang telah siap dianyam ke arah atuknya.
          Atuk mengalihkan pandangan pada ketupat di tangan Alia. "Tu betina. Kalau buat macam tu, nanti masa rebus air masuk dalam pulut.
          Alia mengeluh. Memang dari dulu sampai sekarangtak pernah ingat macam mana nak buat ketupat daun palas. Ada pula jantan betina tu. Dia menggeleng perlahan. Ingat manusia dan haiwan aje ada jantina. Ketupat pun ada. Isy, isy...
          "Laki kau mana?" Atuk bertanya tanpa mengangkat muka.
          Alia menggigit bibir. Tangannya segera mencapak ketupat daun palas betinanya ke tepi. "Hmm... Entah! Tadi nampak tolong pak lang cari buluh nak buat lemang." Alia menjawab perlahan. Memang susah nak percaya kalau tak nampak dengan biji mata sendiri. Rasa nak tergelak pun ada bila fikir arkitek lepasan luar negara tu masuk ceruk hutan nak cari buluh.
          "Aidil bila balik?"Atuk bertanya lagi.
          Alia memandang tangan atuk yang laju menganyam ketupat daun palas. Macam lipas kudung. Sekejap aje dah siap.
          "Entah! Tadi Lia telefon, abang cakap ada kat Tapah lagi. Kejap lagi sampailah tu." Alia mengira ketupat daun palas yang telah disiapkan oleh atuk di dalam baldi. Memang surrenderlah kalau dia yang buat. Satu pun tak jadi. 
          "Kamu letak aje buluh-buluh tu kat situ."
          Suara pak lang menerjah gegendang telinganya. Alia berpaling. Matanya memandang ke arah Syah yang sedang memikul beberapa ruas buluh. Senyum terukir di bibir tanpa sedar.
          "Rasalah jadi orang kampung kejap. Nak sangat ikut balik kampung siapa suruh." Alia tersengih sendiri. Namun sengihnya terhenti serta-merta apabila pandangannya bertembung dengan pandangan Syah. Dia segera mengalihkan pandangan sambil berpura-pura mengira ketupat daun palas di dalam baldi. Terasa panas muka.
          Pin!
          Alia segera memandang ke luar.
          "Siapa pulak yang datang tu? Aidil ke?" Atuk turut sama memandang ke luar.
          Alia bangun dan berjalan menuju ke luar rumah. Matanya hampir terkeluar. "Abang, kereta baru ke? Boleh pinjam?" Alia tersengih ketika memandang Aidil yang baru keluar dari kereta Hummer H2.
          "Isy, orang datang dari jauh penat-penat, tanyalah khabar dulu. Ni tak, sibuk ke lain pulak." Aidil menarik hidung Alia.
          Alia menepis. "Sakitlah!"
          "Tahu pun. Ibu mana?" Tanya Aidil ketika Alia menyalami tangannya.
          "Ada kat dapur. Buat rendang tok."
          "Dah tu adik buat apa kat sini? Pergilah ke dapur tolong ibu masak." Aidil berjalan ke arah pintu masuk.
          "Adik tolong atuk buat ketupat daun palaslah." Alia menjawab sambil mengekori Aidil dari belakang.
          Aidil berjalan terus menuju ke dapur setelah bersalam dengan atuk yang masih sibuk menganyam ketupat daun palasnya.
          Alia duduk semula bersama-sama atuk sambil cuba menganyam ketupat tiga segi itu untuk entah kali yang keberapa.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Syah merebahkan tubuh di atas katil. Terasa sakit seluruh badan. Mana taknya, dari semalam sibuk tolong pak lang buat persiapan raya yang akan jatuh pada esok hari. Hari ini saja tolong bakar lemang dan kacau dodol. Memang macam nak patah pinggang rasa bila kacau dodol.
          Syah meregangkan badan di atas katil. Walaupun badan letih, tapi seronok tu yang paling terasa. Ramai saudara-mara sebelah Alia yang datang. Rasa macam kenduri kahwin hari tu aje. Semua persiapan dibuat secara bergotong-royong.
          Syah merenung siling rumah separuh batu tu. Angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa dari tingkap yang sengaja dibuka. Dah nama pun kampung, sejuk dan nyaman. Dia termenung seketika. Tidak mengendahkan suara riuh-rendah sanak saudara di luar sana. Bukan sengaja dia mahu mengasingkan diri, tapi dia betul-betul tak larat. Jam pada dinding pun dah menunjukkan hampir pukul 11.00 malam. Mata pula dah berat. Isyak dah jamak siap-siap tadi masa maghrib.
          Syah berpusing ke kiri. Dia mengeluh perlahan ketika mengintai kejadian petang tadi. Alia begitu mesra dan rapat dengan Aidil. Kenapa gadis itu bersikap sebaliknya terhadap dirinya? Adakah dia benci benar dengan perkahwinan ni sehinggakan menganggapnya tidak wujud dalam rumah yang dihuni mereka? 
          Syah mengurut dahinya yang terasa berat, namun terhenti apabila terdengar bunyi pintu ditolak.
          Langkah kaki Alia terhenti secara spontan melihat tubuh lelaki itu kaku di atas katil. Alia membuat muka. Baru cadang nak landing kejap atas katil. Alia melangkah perlahan masuk ke dalam bilik. Tidak mahu membuatkan lelaki itu terjaga daripada lenanya. 
          Alia membuka kancing pin di bawah dagu lalu menyangkutkan tudung bawal warna hitam itu pada rak tuala di hujung bilik. Dia merenung sekeliling. Bilik itu masih seperti dahulu. Masih seperti 12 tahun yang lalu. Tidak berubah. Senyuman pahit terukir di bibirnya.
          Alia berjalan menuju ke meja solek. Dia merenung wajahnya pada cermin kelam itu. Matanya jatuh pula pada bingkai gambar lama di atas meja solek. Tangannya mencapai bingkai gambar tersebut. Gambar opah, atuk dan dia ketika dia berusia sepuluh tahun.
          Alia melalukan jari menyapu debu pada bingkai tersebut. Debu setebal satu inci melekat di jari telunjuknya. Dia meletakkan kembali bingkai itu di tempat asalnya. Dia menarik nafas panjang sebelum mencapai sikat di atas meja lalu menyisir rambut panjang lebatnya perlahan-lahan. Mata terasa berat, namun ditahan. Sesekali matanya menjeling tubuh kaku di atas katil di sebelahnya. Diam tidak bergerak.
          Alia meletakkan semula sikat di atas meja solek. Matanya tertumpu pada laci meja solek. Tangannya diletakkan di tombol laci itu perlahan. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menarik perlahan. Bunyi keriuk kedengaran perlahan. Mungkin telah terlalu lama laci tersebut tidak dibuka.
          Alia merenung isi kandungan laci tersebut. Terdapat habuk dan debuyang terkumpul. Hidungnya menangkap bau lipas. Dia mengambil bingkai gambar yang terdapat di dalam laci itu dan dikeluarkannya perlahan-lahan. Dia menelan air liur berkali-kalisambil memejam mata. Dia tahu apa yang bakal dilihatnya, namun dia cuba menduga hati. Dia membuka mata perlahan-lahan sebelum merenung bingkai gambar bersaiz 4R itu. Bibirnya bergetar dan dadanya terasa sesak. Dia segera memalingkan wajahnya dari bingkai tersebut. Kolam matanya terasa berat. Dia segera memasukkan bingkai gambar tersebut ke dalam laci sebelum menolaknya dengan kuat.
          Alia menjeling ke arah katil. Bimbang bunyi tersebut mengejutkan tubuh di atas katil itu.
          Syah terkejut apabila mendengar bunyi Alia menolak laci meja solek dengan kuat. Dalam hatinya tertanya-tanya apa yang membuatkan gadis itu tiba-tiba naik angin. Nak hempas-hempas barang pula. Dia yang tidak tidur hanya memerhatikan kelakuan Alia dari ekor matanya. Dahinya hampir berkerut melihat Alia memejamkan mata sebelum melihat bingkai di dalam laci itu. Gambar siapa? Bekas kekasih yang melukakan hatinyakah? Syah semakin tidak faham akan perangai gadis itu.
          Alia mengeluh perlahan sambil menarik nafas panjang-panjang. Memang betul sangkaannya. Dia masih belum kuat. Masih belum mampu. Dia bangun lalu menuju ke arah beg pakaiannya yang separuh terbuka. Dia membuka beg itu luas-luas sebelum mencapai sehelai baju kurung moden berwarna ungu dan selendang warna senada. Hajat tadi masuk bilik nak rehat sambil gosok baju untuk esok. Tak buat sekarang bila lagi. Takkan pagi-pagi esok baru sibuk nak buat.
          Alia berkira-kira mahu mandi dahulu atau gosok baju dahulu. Setelah menimbangkan yang air kolah opah itu akan bertambah sejuk bila tengah malam, dia mencapai tuala di rak sebelum berjalan menuju ke tandas.
          Syah membuka mata apabila melihat Alia hilang ke bilik air. Dia bangun dan menyandarkan tubuh di kepala katil. Matanya dihalakan pada pintu bilik yang tertutup. Mengira masa yang akan diambil oleh Alia untuk kembali ke bilik itu.
          Syah merapatkan tubuh ke meja solek sebelum menarik perlahan laci lama itu. Dia memandang ke arah pintu dengan cemas ketika bunyi keriuk laci ditarik bergema. Dia mengeluarkan bingkai gambar yang dilihat oleh Alia tadi. Dahinya berkerut. Bukan seperti yang disangkakan. Malah jauh meleset.
          Syah berfikir sejenak. Mengapa gambar macam tu boleh membuatkan Alia berperangai pelik macam tadi. Baginya gambar tersebut tidak ubah seperti gambar biasa yang lama. Syah meletakkan kembali bingkai tersebut di tempatnya sebelum menolak laci perlahan-lahan. Dia duduk bersila di atas katil sambil berfikir. Gadis itu menyimpan terlalu banyak rahsia yang dia sendiri tidak sangka. Mula-mula simpan rambut panjang sampai pinggang, lepas tu menjahit langsir pula. Lepas ni entah apa. Senyum terukir di bibir, namun terhenti tiba-tiba apabila pintu ditolak perlahan. Matanya spontan dihala ke pintu. 
          Alia tergamam di depan pintu ketika mata mereka bertentangan.
          Mahu tak mahu, Alia masuk juga ke dalam bilik. Nasib baik pakai pijama lengan panjang macam selalu. Buatnya dia pakai baju-T lengan pendek dengan kain batik lepas, tak ke haru.
          Alia menggosok rambutnya dengan tuala dan duduk di hujung katil, membelakangkan Syah. Sesekali dia cuba memasang telinga, mendengar sebarang bunyi di belakangnya.
          Senyap.
          Aik, tidur dah ke? Senyap aje. Alia berkata dalam hati Dia bangun lalu menyangkut tuala lembap itu di rak hujung. Alia membuka almari lalu mengeluarkan seterika dan selimut tebal. Dibentangnya selimut tebal itu di atas lantai. Suis seterika dihidupkan dan baju kurung yang tersadai di hujung katil dicapai. Ekor matanya menjeling memandang ke atas katil. Lelaki itu masih lagi duduk bersila entah buat apa. Duduk bertapa gamaknya.
          Alia melalukan seterika panas itu di atas bajunya perlahan-lahan. Sesekali bibirnya menyanyi perlahan. 
          Syah hanya memerhatikan belakang badan Alia yang terbongkok-bongkok ketika menggosok bajunya di kaki katil. Rambut panjang Alia terurai basah. Sesekali telinganya menangkap suara gadis itu menyanyi perlahan entah lagu apa. Senyum terukir di bibirnya. Perangai memang macam budak-budak, tapi comel!
           Alia mencapai penyangkut baju lalu menyangkut baju kurung moden yang telah siap digosok lalu disangkut pada tombol almari. Dia mengambil pula selendang lalu digosok ala kadar. Selendang itu tak perlu digosok sangat. Tiba-tiba tingkah Alia terhenti. Bibirnya digigit perlahan. Dia menjeling di balik bahunya. Dia menelan air liur berkali-kali.
          "Err, ada baju yang nak digosok ke?" Alia menelan air liur yang terasa macam hempedu. 
           Kening Syah terangkat sebelah. Eh, dia cakap dengan siapa? Aku ke? Syah tertanya dalam hati. Senyap. 
           Alia menggigit bibir. Aik, dia buat perangai senyap balik dah. Takkan dah tidur dah. Alia mengerutu perlahan. Dia menyangkut selendang yang telah siap digosok pada penyangkut baju yang lain, lalu digantung pada tempat penyidai pada dinding. Dia berpusing ke belakang.
           "Ada ke tak ada?" Alia bertanya kasar. Aku tanya elok-elok, buat senyap siapa suruh. Dia menjeling.
          Syah tercengang. Mak oii, garang macam harimaubini aku ni. Namun senyum terukir di bibir. Dia bangun menuju hujung bilik, tempat begnya tersadai.
          Alia menjeling. Cakap sepuluh kali baru nak gerak, susah betul arkitek sorang ni. Alia merungut perlahan. Matanya memandang belakang tubuh lelaki itu yang kelihatan sedang memunggah baju-baju dari dalam begnya. Gaya macam nak bermastautin sini terus. Bawa baju banyak sangat buat apa. Aku yang dah lama tak balik kampung ni pun tak macam tu. Alia berpeluk tubuh.
           Syah berpusing memandang ke arah Alia yang dah gaya macam bos marahkan anak buah. Senyum masih lagi bermain di bibirnya ketika sepasang baju Melayu warna ungu itu dihulurkan. 
           Kening Alia terangkat sebelah ketika merenung baju Melayu tersebut. 
           "The colour of curtains is nice."
           Alia terdiam seketika sebelum mencapai baju Melayu itu lambat-lambat. Dia berpusing dan duduk kembali sambil mata memandang baju Melayu di tangan. Senyum kelat terukir di bibir.
           Syah menggeleng sambil tersenyum. Sayang juga bini aku ni dekat aku ya. Syah berbaring di atas katil. Sesekali matanya memandang belakang badan Alia. Fikirannya menerawang seketika.
           "Dah!" Alia menyangkut baju Melayu yang siap bergosok itu di penyangkut tempat dia menyangkut selendang. Dia bangun dan mengemaskan kembali seterika dan selimut tebal alas untuk gosok baju tadi sebelum melangkah ke pintu luar.
           "Nak pergi mana?"
          Alia berpaling. "Tidur bilik Julia macam semalam." Jawab Alia sebelum hilang disebalik pintu.
          Syah mengeluh perlahan sambil memejamkan mata. Senyum tidak lagi terukir di bibirnya.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------- 
 "Kak Lia, cantik tak baju raya Wawa?"
           Alia mengalihkan pandangan dari halaman majalah Remaja edisi lama ke arah Wawa yang menayangkan baju kebaya warna hijau pucuk pisang itu.
          Wawa atau Najwa merupakan adik sepupunya.
          "Cantik. Tahun ni Wawa satu family tema warna hijau ke?" Alia meletakkan baju tersebut di hujung katil sebelum tunduk di bawah katil. 
          "A'ah. Didi nak sangat warna tu." Najwa menarik keluar seterika dari bawah katil.
          "Oh... "Alia menjawab sambil mencapai kembali majalah Remaja tersebut, menyelak secara rambang halaman tersebut.
           Najwa sibuk menggosok baju raya barunya dengan senyap.
           Alia mencucuk earphone ke telinga sambil melayan perasaan. Jam pada dinding menunjukkan hampir tengah malam.
           "Kau buat apa kat sini?" Soal Julia yang masuk entah dari mana. 
           Alia yang sibuk melayan lagu dari MP3nya kelihatan tidak mendengar apa yang dikatakan oleh Julia itu.
           "Wei, Ju... Apa ni?" Alia menolak bantal yang dibaling oleh Julia ke tepi. Julia ketawa. Najwa berpaling, turut tersengih. Alia mengerutkan dahi sambil menanggalkan earphone di telinga.
           "Aku tanya kau buat pekak aje siapa suruh." Julia duduk di hujung katil.
           "Kau tanya apa?" Alia kembali pada halaman majalah di tangannya.
           "Aku tanya kau buat apa kat sini? Takkan nak tidur sini lagi." Alia senyap.
           "Masalah mak cik sorang ni. Aku tanya boleh pulak dia buat tak reti." Julia menggeleng lalu bangun menuju ke almari. Tangannya menarik pintu almari lalu mengeluarkan sepasang baju kebaya labuh berwarna biru laut.
           "Wawa, tolong gosok baju Kak Ju sekali." Julia tersengih sambil menghulurkan baju itu ke arah Najwa.
           Najwa mangangkat kepala. "Boleh, tapi duit raya kasi up sikitlah." Najwa tersengih.
           Julia mencebik. "Dengan KakJu pun nak berkira."
           Najwa ketawa, namun dicapai juga baju kebaya itu lalu diletak di tepi. Kepalanya kembali tunduk. Kembali tekun menggosok baju.
           Julia naik ke atas katil merapati Alia.
           Alia tidak ambil pusing.
          "Kau serius ke nak tidur sini lagi?" Julia berbisik perlahan sambil mata memerhatikan Najwa yang sedang khusyuk menggosok baju di hujung bilik.
          Alia senyap. Tangannya menyelak halaman sebelah buku yang dibacanya. 
          "Lia, aku tanya ni. Nanti apa kata Syah."
          "Dia nak cakap apa?" Alia menjawab malas.
          Julia merenung wajah Alia yang tanpa riak tu. "Lia, dia tu suami kau, kut ya pun kau tak nak jaga hati dia, kau kena juga hormat dia. Nanti apa kata sedara-mara tengok kau tidur sini pulak sedangkan laki kau tu tidur kat bilik kau tu. Kalau opah dan atuk tanya, apa kau nak jawab?" Alia mendiamkan diri.
          Julia menggeleng perlahan. "Terpulanglah pada kau Lia. Kau dah besar. Aku cuma cakap aje. Tapi hati-hati, jangan sampai saudara-mara tahu pasal hal ini. Terutama opah dan atuk. Mahu mati terkejut orang tua tu." Julia merebahkan diri di sebelah Alia.
          Alia masih mendiamkan diri. Memanglah dia tahu sangat perbuatannya itu mungkin akan membuatkan orang lain curiga. Masakan tidak, dia tidur bilik lain, lelaki itu tidur bilik lain. Tapi dia tidak peduli. Tengah-tengah orang sibuk nak buat persiapan raya tu mana sempat nak sedar apa yang berlaku dalam rumah ni, ya tak?
          Alia menyelak halaman seterusnya. Fikirannya menerawang seketika. Sebenarnya dia dah buat perjanjian dengan Syah sebelum mereka bertolak ke Kuala Kangsar. Dalam perjalanan tu mereka dah sepakat yang mereka akan berlakon sebagai suami isteri yang normal bila berhadapan dengan saudara-mara. Terutama depan atuk dan opah. Alia tak nak orang tua itu sedar ada sesuatu yang tidak enak antaranya dengan Syah. Biarlah opah dan atuk percaya dia bahagia dengan perkahwinannya macam pasangan lain. Sebab itu juga dia sering menjauhkan diri daripada Syah apabila berhadapan dengan saudara-mara. Letih nak berlakon. Naik kembang tekak bila terpaksa melayan Syah sebagai suami. Mak oii, tak sanggup.
           "Kak Lia, Wawa nak tidur ni. Kak Lia nak tidur? Kalau nak tidur, Wawa nak tutup lampu." Najwa bertanya sambil menyangkutkan baju Julia yang telah siap digosok pada paku yang sedia ada pada dinding.
           Alia meletakkan majalah yang dibacanya ke tepi. "Boleh jugak. Tutuplah lampu tu." Alia merebahkan tubuh sebelum mengunci jam supaya dia dapat menyelinap masuk ke dalam biliknya sebelum semua orang bangun. Salah satu rancangan untuk mengaburi pandangan saudara-maranya seperti semalam.

No comments:

Post a Comment