Thursday 12 May 2016

Bab 8 Kerana Dia Suamiku by... Cahaya Ainn


Alia menggosok rambut dengan tuala bersih sambil berjalan menuju ke katil. Terasa segar sedikit selepas mandi. Sampai rumah dalam pukul 10.00 malam dari rumah ibu dan abah.
          Alia menyangkut tuala itu pada rak di hujung bilik. Kakinya laju diayun mendekati meja kerja. Tangannya melarikan tetikus dan menekan butang play pada Winampnya. Lagu What Do You Want From Me nyanyian Adam Lambert berdentum dari pembesar suara komputernya. Kemudian tetikus ditekan pada folder yang mengandungi manuskrip separuh siapnya. Entah bila dapat siapkan pun tak tahu. Otak tak mampu nak jana idea. 
          Alia hanya membiarkan manuskrip itu terbuka sebelum dia membuka pula folder yang mengandungi nota-nota kuliah yang akan digunakan untuk kelas pada esok hari.
          "Study kejaplah sebelum landing." Alia berbisik sendiri sambil menyanyi mengikut lirik lagu Inggeris tersebut. Dia menarik keluar buku rujukan yang berkaitan dengan kuliah esok hari. Hampir dua jam dia menghabiskan masa membaca kembali nota-nota yang akan diajar esok dan membuat latihan tambahan untuk diberikan kepada pelajar sebagai tugasan mingguan. Alia menguap perlahan. Cermin mata ditolak ke atas kepala. Matanya ditenyeh dengan belakang tangan. Pandangannya dihala pada jam di hujung monitor.
          "Patutlah mengantuk, dah tengah malam rupanya." Alia berdiri dan mengeliat. Terasa sakit tulang belakang. Tekaknya terasa dahaga, lalu dia mengatur langkah untuk ke dapur.
          Ruang tamu, dapur dan ruang tengah telah gelap. Hanya lampu luar sahaja sengaja dibuka, membuatkan ruang tamu kelihatan samar-samar. Alia berjalan berhati-hati menuruni tangga berpandukan cahaya samar-samar itu menuju ke dapur. Tangannya segera memetik suis dapur sebelum berjalan menuju ke peti sejuk. Dia menarik keluar air Ribena yang mungkin telah siap dibancuh oleh Mak Temah. Memang sejak semalam lagi dia dah pesan siap-siap pada orang tua itu yang mereka akan berbuka di rumah ibu.
           Alia berjalan sambil membawa jag berisi Ribena dan gelas kosong menuju ke dapur. Kerusi ditarik sebelum dia duduk bersila di atas kerusi. Gelas berisi air Ribena dibawa ke bibir. Matanya memandang ke arah ruang tamu yang kelihatan samar-samar. Suasana sunyi membuatkan hatinya agak tenang. Dia termenung sambil berfikir tentang rancangan ibu mahu beraya di kampung Kuala Kangsar tahun ni.
          Alia mengira dalam senyap. Kalau diikutkan memang dah lama sangat dia tak balik kampung sebelah ibu. Bukan dia tidak suka. Bukan dia tidak sudi. Bukan juga sebab dia tak sayang atuk dan opah. Sayang sangat. Opah dan atuklah yang membesarkannya sejak berusia setahun sampailah umurnya 15 tahun. Tapi hatinya benar-benar belum bersedia. Dirinya masih belum kuat. Itulah hakikatnya. Paling-paling pun dia selalu berhubung dengan opah dan atuk melalui telefon sahaja. Itu pun menggeletar satu badan. Bercakap dengan opah dan atuk pasti akan membuatkan dia teringat akan hal itu. Sungguh dia tidak sanggup.
          Alia membawa gelas ke bibir lagi. Telinganya tiba-tiba menangkap bunyi bising dari tingkat atas. Pencuri ke? Alia cemas tiba-tiba. Macam mana pencuri boleh naik sampai tingkat atas? Takkan panjat ikut balkoni ala-ala Mission Impossible kut. Dia diam tidak bergerak, cuba memasang telinga. Bunyi tapak kaki menuruni tangga menerjah ke ruang tengah. Pandangannya kaku.
          Syah berhenti melangkah. Sebelah kening terangkat. Aik, tak tidur lagi rupanya. Ingat Mak Temah pasang lampu dapur. Syah berkata dalam hati.
          Alia mengalihkan pandangannya pada gelas separuh kosong di atas meja. Gelas ditarik dan dibawa ke bibir. Ingatkan pencuri. Rupanya mamat ni. Macam mana boleh tak ingat yang aku duduk satu rumah dengan mamat ni.
          Alia meletakkan kembali gelas di atas meja. Earphone yang tergantung di leher segera disambut ke dalam telinga.
          Syah mengayun langkah menuju ke peti sejuk. Tekak terasa kering tidak mampu ditahan lagi. Kira nasiblah kalau bertembung dengan Alia ni. Dia menarik pintu peti sejuk dan mengintai di dalamnya. Aik, manapula air Ribena yang aku nampak masa balik tadi? Syah menegakkan badan sebelum berpaling memandang Alia yang sedang bersila di atas kerusi sambil melayan perasaan. Sesekali kepala Alia bergoyang mengikut rentak lagu yang datangnya dari earphone MP3 yang tercucuk di telinga. Matanya kemudian terhenti pada jag berisi air ungu yang terletak di atas meja. Syah menggeleng sambil bibir terukir segaris senyuman.
          Macam budak-budak. Syah melangkah menuju ke kabinet atas lalu mencapai sebiji gelas. Langkah kaki dihala menuju ke arah Alia.
          Ekor mata Alia menangkap gerakan di belakang. Dahinya berkerut. Ini apa hal pula nak datang dekat ni? Nak cari pasal buat benda mengarut ke apa? Alia mengerutu mata dalam hati. Namun hatinya sedikit cemas memikirkan yang lelaki itu mungkin akan mengapa-apakannya. Maklumlah, dalam ruang tersebut hanya mereka berdua sahaja. Mak Temah dah lama masuk tidur. Agak-agaknya kalau dia jerit, Mak Temah dengar tak?
          Alia menelan air liur sambil berwaspada. Kedua belah tangannya digenggamkan di bawah meja. Kalau kau berani nak buat tak senonoh dengan aku, aku ayun aje sebiji! Alia berkata dalam hati. Namun degup jantungnya dah bertukar rentak.
          Kening sebelah Syah terangkat. Itu apa gaya dah keras macam batu? Gaya nak buka langkah silat pun ya juga. Syah berkata dalam hati sebelum menghampiri meja tempat Alia melepak. Tangannya mencapai jag berisi air Ribena itu.
          Alia memusing laju memandang lelaki di hadapannya. Pandangan mereka bertembung. Alia merenung tajam. Dahi Syah berkerut.
          Apa gaya macam nak ajak bertumbuk ni. Syah berkata dalam hati sambil membawa gelas ke bibir.
          Alia mengalihkan pandangannya ke arah jag separuh penuh di atas meja. La, nak minum rupanya. Ingatkan nak buat apa...
          Pipi Alia terasa panas apabila sangkaannya meleset. Tangannya mencapai gelas lalu dibawa ke mulut. Ekor matanya menjeling ke arah Syah yang sedang menarik kerusi di sebelah sana. Dahinya berkerut. Ni apa pula menyibuk kat sini? Dah minum tu pergilah naik atas, sibuk melepak kat sini buat apa? Alia merungut dalam hati. Gelas diletakkan di atas meja.
          Syah menyandarkan tubuh pada kerusi. Sesekali dia menjeling dengan ekor mata. Senyum hampir terukir di bibir. Tak lari pula budak ni. Syah menarik gelas sebelum meneguknya.
          Alia membuang pandangannya ke arah bertentangan. Sesekali bibirnya digetapkan. Apa, ingat aku nak mengalah ke? Jangan haraplah.
          Alia membetulkan kedudukannya di atas kerusi. Terasa lenguh pula duduk bersila. Dia menyandarkan tubuh pada dinding sebelum menarik kedua-dua belah kakinya dan menegakkan lututnya separas dagu. Volume MP3 dilaras. Fikirannya kembali melayang menghayati lirik lagu yang berdentum di telinga.
          Syah tersenyum dalam diam melihat gadis itu yang berubah posisi dari bersila kepada memeluk lutut. Gaya macam orang lepak dekat hentian bas. Syah membawa lagi gelas ke mulut. Aik, tak nak mengalah ya. Nak sini sampai sahur ke? Senyum tak lekang dari bibir Syah.
          Alia mengeluh perlahan. Mata dah mula berat. Tapi, ego punya pasal, sanggup duduk bertapa dekat situ semata-mata tak nak mengalah untuk bangun dulu. Aku yang duduk sini dulu, kenapa pula aku yang kena bangun dulu. Bila mamat ni nak blah. Aku dah mengantuk tahap gaban dah ni.
          Alia menongkat dagu pada lututnya. Tangannya mengurut leher perlahan. Kepala terasa berat, lalu tangannya menarik sepit rambut dan diletakkan di atas meja. Rambut panjang separas pinggang itu sengaja dilepas. Kesian rambut aku, basah-basah kena sepit. Alia berkata sendiri. Ingat tadi nak lepak bawah ni kejap aje. Tu yang sepit rambut juga walaupun rambut masih lembap.
          Pandangan Syah tertumpu pada rambut Alia yang panjang dan lebat ala-ala rambut Kim Kardashian itu. Dalam hatinya mengangumi akan gadis itu. Tidak ramai gadis Melayu sekarang yang suka berambut panjang. Gadis Melayu pula tu. Syah membawa lagi gelas ke mulut. Dia mengintai dengan ekor mata memandang wajah Alia. Hatinya mengakui yang gadis itu nampak manis dengan rambut panjang.
           Alia mengeliat perlahan. Tak sanggup dah nak duduk di situ lama-lama. Mengantuk bukan main. Buatnya terbabas waktu sahur nanti, tak ke naya. Dia bangun lalu membawa gelas kosongnya ke singki. Setelah membasuh dan menyusun semula di kabinet atas, dia melangkah meewati Syah yang merenung dengan ekor mata. Alia sempat menjeling ketika menaiki tangga menuju ke tingkat atas. Bibirnya digetapkan ketika melihat senyum lebar terukir di bibir lelaki itu.
          Syah tersenyum sambil menggeleng perlahan. Besar sungguh ego budak ni. Syah bangun lalu membawa gelas kosong dan jag berisi air Ribena ke dapur. Naik kembung perut minum air Ribena ni. Syah tersenyum lagi. Memang sengaja dia berlama-lama di situ. Sengaja ingin melihat reaksi gadis tu.
          Setelah memasukkan jag berisi air Ribena ke dalam peti sejuk dan meletakkan kembali gelas yang telah dicuci di kabinet atas, Syah melangkah memanjat tangga menuju ke biliknya. Sempat dia menjeling pada pintu bertentangnya. Dah hanyut kut. Senyap aje. Syah berkata dalam hati ketika memulas tombol pintu biliknya. 

No comments:

Post a Comment