Saturday 7 May 2016

Bab 2 Kerana Dia Suamiku by...Cahaya Ainn


          Alia mengintai ke luar bilik. Matanya melilau melihat ruang dapur dan ruang tamu yang sudah gelap. Matanya menjeling jam di tangan. Hampir tengah malam. Perutnya berkeroncong dari tadi minta diisi. Dia terjingkit-jingkit keluar dari bilik tidurnya. Gaya dah rupa macam Mr. Bean aje. Alia menarik tombol pintu bilik perlahan-lahan. Dia mengintai dari tangga, memastikan keadaan selamat. Dia berjalan menuruni tangga menuju ke tingkat bawah dengan perlahan. Cuba meminimumkan bunyi  yang dihasilkan. Setelah benar-benar yakin yang ibu dan abahnya telah masuk tidur, dia segera menuju ke dapur. Dalam hatinya berdoa supaya ibunya teringat nak tinggalkan makan malam untuknya.
          Alia menarik pintu peti ais dan menjenguk memerhati apa yang ada. Senyum lebar terukir di bibir. Dia menarik periuk yang berisi tomyam baki makan malam tadi dan diletakkan di atas dapur. Kemudian dikeluarkan pula pinggan berisi sambal udang kegemarannya lalu dipanaskan di atas kuali. Dia menuju pula menjenguk nasi. Nasib baik ada lagi. Dia menekan butang pada periuk nasi tersebut untuk memanaskan nasi.
           Sementara menunggu lauknya panas, Alia menarik kerusi dan menuangkan jus oren ke dalam gelas. Dia menarik gelas tersebut lalu dibawa ke bibir. Otaknya kembali berfikir. Sampai bila dia mahu hidup seperti itu. Terpaksa mengelakkan diri dari ibu dan abahnya semata-mata takut ibu dan abahnya tanya soalan cepumas itu. Takut ibu menuntut jawapan daripadanya. Takut abah membangkitkan keputusannya. Itu juga sebab kenapa dia bertindak seperti pencuri di dalam rumah sendiri setiap malam. Takut berdepan dengan takdir masa depannya. Sesungguhnya dia masih belum pasti apa yang perlu dilakukan. Namun, kalau nak diikutkan hati dan perasaannya, dia memang mahu sangat jawapannya. Tapi dia tahu, ibu dan abahnya mengharapkan sesuatu yang bertentangan daripada kehendak hatinya.
          Alia melepaskan keluhan berat. Gelas dibawa lagi ke bibir. Dia bangun menuju ke dapur untuk menikmati makan malamnya. Ketika makan, hatinya tertanya-tanya apakah ibu dan abahnya tergores hati dengan tindakannya yang seolah-olah menjauhkan diri daripada mereka itu? Rumit betul hidup ini. Selera Alia mati apabila kepala kembali berat memikirkan masalah yang satu itu. Dia bangun menuju ke singki, membasuh pinggan dan kuali yang digunakan. Setelah selesai, dia berjalan menuju ke tingkat atas selepas menutup lampu dapur.
          Alia duduk berteleku di hujung katil. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kepalanya sesak. Dia menegakkan badan. Hanya satu sahaja cara. Ya. Dia perlu lakukan. Alia bangun menuju ke meja kerjanya lantas mencapai telefon bimbit. Dia mencapai pula plannernya di dalam beg kerja yang tersandar di kaki katil. Diselaknya halaman planner tersebut sebelum terhenti. Tangannya laju mendail nombor yang tertera di halaman tersebut. Deringan terdengar seketika sebelum dia memutskan talian. 
          Isy, gila ke apa nak telefon anak teruna orang malam-malam buta ni. Alia mengetuk telefon bimbit itu ke kepalanya. Namun, tidak berapa lama kemudian,  telefon tersebut berdering, membuatkan dia tersentak sehingga telefon di tangannya hampir terpelanting. Matanya merenung skrin telefon bimbit di tangannya. Dahinya berkerut ketika melihat nombor yang tertera. Macam kenal. Lambat-lambat dia menekan butang hijau untuk mengangkat.
          "Helo, siapa ni?" Suara lelaki di sebelah sana menyapa telinga Alia.Alia mengangkat kening. Aik, dia yang telefon kita, tanya kita siapa pula. "Awak yang telefon saya, kenapa tanya saya siapa? Ingat?" Alia menjawab.
          Senyap.Aik, takkan terputus kut. Alia merenung skrin di telefonnya. Ada lagi. Dia meletakkan telefon tersebut kembali ke telinga.
           "Awak yang call saya tadi, tapi tak sempat saya nak angkat, dah berhenti. Siapa ni?" Lelaki itu bertanya. Alia membeliakkan biji matanya sebelum mencampakkan telefon tersebut ke atas katil. Matanya memandang kengerian ke arah telefon bimbitnya yang masih lagi belum terputus talian itu. Dadanya berdebar. Matanya spontan memandang jam di tangan. Dah dekat pukul 1.00, takkan tak tidur lagi mamat ni.
          Alia menggigit bibir. Perlahan-lahan dia menguis telefon tersebut dengan hujung kaki. Membalik-balikkan supaya skrin telefon tersebut menghala ke atas. Talian masih belum diputuskan. Dia termangu seketika. Berkira-kira mahu memutuskan talian atau bercakap sahaja dengan lelaki itu. Mungkin ini sajalah satu-satunya peluang yang ada. Dia segera mencapai telefon tersebut dan meletakkan di telinga. Hatinya berdebar kencang. Dengan lafaz bismillah, dia bersuara.
          "Err, sorry kacau. Saya... Err... Alia." Alia menelan air liur yang dah rasa berpasir.
          Senyap. "Aik, takkan tidur dah? Helo! Helo!" Alia bersuara. "Alia mana?" Lelaki itu akhirnya bersuara.
          Dahi Alia berkerut. Ramai sangat ke perempuan nama Alia dalam hidup kau sampai tak tahu aku Alia yang mana satu. Alia menggigit bibir. Mahu sahaja dihamburkan kata-kata itu kepada lelaki di sebelah sana. Namun, dia menenangkan diri. Takkan nak cipta sengketa waktu-waktu macam ni. Tambah-tambah dia perlukan bantuan lelaki itu merealisasikan rancangannya itu.
          "Saya Alia, Nuri Alia. Anak Encik Safuan dengan Puan Juhara."
          Senyap. Adoi, sakit jiwa betul aku dengan mamat ni. Nak cakap ke tak nak? Main senyap-senyap pula. Ingat apa. Main sorok-sorok ke apa. Alia menggerutu dalam hati.
          "Nak apa?" Tanya lelaki itu. Alia mengeritkan gigi. Belum apa-apa dah buat orang sakit hati. Bila free, nak jumpa." Alia menjawab. Malas nak main tarik tali. Takkan nak tanya khabar, dah makan ke belum, tengah buat apa.
           "Kenapa nak jumpa?"
           "Ada hal nak bincang. Boleh ke tak?" 
           Senyap. Alia mengeluh. Namun masih menunggu jawapan di sebelah sana."Bila awak free?" Lelaki itu bertanya balik.
            Alia terdiam berfikir. "Hujung minggu ni. Hari Sabtu. Tapi, waktu petanglah dalam pukul 3.00. Pagi saya sibuk." Alia menjawab sambil merebahkan tubuh ke atas katil.
          "Okey."
          Alia tercengang. Apa dia cakap tadi? Apa yang okey?
          "Apa yang okey?" Tanya Alia keliru. "Jumpa hujung minggu ni. Hari Sabtu. Waktu petang pukul 3.00. Pagi awak sibuk." Lelaki itu mengulang kembali ayat Alia. Ada nada sinis dalam suara lelaki itu. Alia mengetapkan bibir. Apa hal pula gaya macam nak cari pasal ni.
          "Jumpa kat mana?" Alia bertanya."Kat mana awak nak jumpa?" Alia mengerutkan dahi.
          "Medan Selera Perdana, tahu kat mana?
          "Hmm... "
          Tak faham aku mamat ni. Gaya macam tak nak bercakap aje. Alia mengerutu dalam hati."Okeylah, tak apalah kalau macam tu. Tak ada apa lagi nak cakap. Bye. Assalamualaikum... " Alia memutuskan talian tanpa menunggu respons daripada lelaki itu. Dicampakkan telefon di tepinya. Matanya merenung siling berwarna putih itu. Berfikir sejenak sebelum bangun dan menarik beg kerja yang tersadai di hujung katil lalu mengeluarkan plannernya. Dia kemudian bersila sebelum membuka planner di tangan. Ditariknya sampul surat berisi gambar lelaki itu keluar.
           Alia menarik nafas panjang sebelum memejam mata. Alang-alang nak jumpa, baik tengok dulu rupa, kang buatnya tak kenal ke, salah orang ke, tak ke haru nanti. Tangannya menarik keluar gambar itu dari sampul surat. Dia menelan air liur berkali-kali. Tangannya diangkat separas muka. Matanya dibuka perlahan-lahan. Dia mengerutkan dahi ketika memandang belakang gambar yang berwarna putih itu.
           Cis. Terbalik pula. Alia menutup matanya semula sebelum menterbalikkan gambar itu di paras mukanya. Dia membuka mata sebelah. Teragak-agak mengintai dengan ekor mata. Hampir terkeluar biji matanya tatkala merenung gambar tersebut. Berderau darahnya. Segera dia menyumbat gambar tersebut kembali di dalam plannernya. Entah kenapa hatinya terasa berdebar-debar. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sebelum menyimpan kembali planner itu di dalam beg kerjanya.
          Alia merebahkan tubuh di atas katil. Cuba mengenyahkan ingatan terhadap wajah lelaki itu. Dia memejamkan mata, memujuk diri untuk tidur. Namun matanya tetap berdegil. Bayangan lelaki itu menjelma dihadapannya, seolah-olah ada orang yang menayang-nayangkan gambar lelaki itu di hadapan matanya. Tiba-tiba dia teringat akan kata-kata Julia semasa di pejabatnya. Bibirnya tanpa sedar mengukir senyuman bersalah. Dia tidak mampu membayangkan apa kata Julia jika sepupunya itu tahu akan rancangan besarnya nanti. Alia menarik bantal peluk di sisinya sebelum ditekup ke muka. Tidak mahu berfikir lagi. Akhirnya dia terlena dengan keadaan lampu masih terpasang.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Okey, sampai sini sahaja kuliah kita hari ini. Sila siapkan tugasan yang say abagi tadi. Minggu depan tolong hantar di bilik saya." Alia berkata sebelum berjalan keluar dari bilik kuliah itu.  Pelajar-pelajar kelihatan berpusu-pusu semasa pertukaran kuliah. Alia berjalan laju menuju ke pejabatnya. Ada masa lagi sejam sebelum kuliah yang seterusnya.  
          "Lia!" Alia menoleh ke belakang. Senyum terukir di bibir. Keningnya terangkat.
           "Ada kelas tak lepas ni? Jom pergi makan." Faezah, teman sekerja Alia menyapa. "Boleh juga. Sekarang tak ada. Tapi pukul 3.00 nanti ada kuliah dua jam." Alia menjawab sambil jalan beringinan dengan Faezah.
          "Kau nak tahu cerita tak?" Faezah memulakan bicara sambil meletakkan buku rujukan mengajarnya di atas meja. Alia turut melakukan perkara yang sama. 
           "Cerita apa pulak?" Alia bertanya sambil menarik kerusi dan melabuhkan diri. "Kau tahu, dengar cerita ada student kita kena tangkap basah semalam."
           "Fakulti mana? Engkau ni pandai-pandai aje... "
           "Alah. Aku tahulah. Aku dengar budak-budak ni cerita. Fakulti mana aku tak tahulah. Tapi harap-harap bukan fakulti kita. Kalau tak, malu... " Faezah berkata. Alia menggeleng. "Kau ni apalah, tak baik cakap macam tu. Walaupun student bukan dari fakulti kita, mereka masih lagi pelajar kita walaupun kita tak mengajar mereka. Walaupun mungkin apa yang kau cakap tu betul dan bukan dari fakulti kita, kolej kita masih dapat malu." Alia berkata.
          "Yalah, betul jugak apa yang kau cakap tu. Tapi apa yang aku nak cakap sekarang... Budak-budak sekarang ni, bukan main lagi, mak ayah hantar pergi belajar, dia orang pergi buat benda lain pula. Masa kita dulu, mana berani nak berpakwe makwe ni. Mahu berbirat belakang badan kena belasah dengan bapak." Faezah menjawab.
          Alia hanya mendiamkan diri. Faham sangat dengan perangai Faezah yang suka bergosip itu. "Eh, aku lupa nak cakap. Kau kenal Fatiha?"
          Alia mengangkat muka. "Fatiha mana?"
          "Alah, Fatiha dari Fakulti Maritim tu."
          "Oh, tak adalah kenal sangat. Tapi kenal gitu ajelah. Kenapa?"
           "Dia jemput kita ke majlis kahwin hujung minggu ni. Hari Sabtu. Kita pergi sekali ya. Ajak Julia sekali."
           "Hmm, tengoklah. Aku sibuklah pagi Sabtu tu. Ada kelas tambahan dengan budak-budak. Cover kelas masa aku tak ada pergi khusus dulu."
           "Kelas kau tu berapa jam?" Soal Faezah.
           "Dua jam. Mula pukul 9.00 habis pukul 11.00."
           "Alah, sempat sangat. Majlis mula pukul 11.00. Kita lewat sikit tak apa. Boleh eh?" Faezah memujuk.
           Alia diam memikir, Janji dengan lelaki itu pukul 3.00, rasa-rasa macam sempat aje. "Kat mana majlis itu?" Alia bertanya. "Taman Perdana 5."
           "Okey, nanti aku cakap dengan Julia."
            "Thanks. Sayang kau ketat-ketat." Faezah ketawa.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
          Pandangan Alia melilau memandang sekeliling. Matanya difokuskan ke meja-meja yang dihuni oleh mana-mana lelaki. Alia menggaru dagu yang tidak gatal. Matanya menjeling jam di tangan. Hampir pukul 3.30 petang. Takkan mamat ni dah balik kut. Alia berjalan memasuki ruang dalam restoran Medan Selera Perdana itu. Dia segera mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangannya sebelum mendail nombor lelaki tersebut. Alia menunggu beberapa deringan sebelum panggilannya berjawab.
           "Helo, awak kat mana?" soal Alia.
           Senyap. "Helo! Helo! Isy!" Alia merenung skrin telefon bimbitnya sebelum meletakkan di telinganya semula. "Helo! Awak kat mana sekarang?" Alia bertanya kasar. Dahlah badan penat, berpeluh-peluh lagi, dia boleh buat senyap aje.
           "Kat mana kita janji, kat situlah saya ada." Suara lelaki di sebelah sana menjawab. Perasaan geram mula menguasai diri Alia. "Kat mana? Saya dah ada kat medan selera ni." Alia menoleh ke kiri dan kanan, mencari kelibat lelaki itu.
          "Saya kat belakang awak."  
           Spontan Alia berpusing. Kelihatan seorang lelaki sedang duduk di meja hujung berdekatan dengan balkoni restoran tersebut. Telefon masih di telinga masing-masing. Alia segera mematikan talian sebelum melangkah menuju ke meja tersebut. Dia menarik kerusi dan melabuhkan diri di hadapan lelaki itu sebaik mendapatkan lelaki itu. Lelaki itu hanya memandang perbuatan tanpa berkata sepatah pun. Alia melepaskan lelah dan meletakkan beg tangannya di kerusi sebelah. Lelaki itu mengangkat kening memandangnya.
           "Baru balik dari majlis wedding kawan." Alia berkata sebagai jawapan tanda tanya yang terpamer pada wajah lelaki itu. Alia merenung wajah lelaki itu, turun ke baju-T berkolar lelaki itu hingga ke jam di tangan kanan lelaki itu sebelum naik semula ke wajah lelaki itu.
           "Dari rumah." Lelaki itu menjawab pula sebagai jawapan daripada soalan tanpa suara Alia. 
           "Baiklah Encik Syahrul Mukriz Syah, saya minta maaf kerana terpaksa mengadakan perjumpaan ni. Tapi saya rasa kita perlu duduk semeja bagi membincangkan masalah antara kita berdua." Alia mengerutkan dahi.
          Senyum terukir di bibir lelaki itu. Alia tidak mengendahkan.
          "Apa kata order sesuatu dulu, teh mungkin." Syah bersuara. Alia mengetap bibir. "Sure." Syah memanggil pelayan.
          Pelayan datang menghampirisambil membawa menu di tangan. Dia menghulurkan menu tersebut.
          Alia menolak. "Bagi saya air suam satu."
         Kening Syah terangkat sebelah, namun mata masih dihalakan pada menu di tangan. Alia berasa gelisah menanti Syah membuat pesanan. Pandangan dilontar keluar ke arah balkoni. Jika dia ingin menikmati hidangan panas, memang restoran inilah tempatnya.
         "Bagi saya secawan kopi dan sandwic." Syah akhirnya bersuara sambil menghulurkan kembali menu ke arah pelayan tersebut.
         La... Gaya nak order macam banyak aje tadi. Tengok menu macam kaji Kamus Dewan Bahasa. Alia mengomel dalam hati. Suasana senyap seketika. Hanya terdengar suara bising pelanggan-pelanggan lain yang menikmati makan tengah hari. Sebetulnya dia tengah kenyang kerana telah makan semasa di kenduri Fatiha tadi. Lepas hantar Julia balik, terus dia ke restoran tersebut. Kesesakan lalu lintas dan kesukaran untuk dapatkan tempat meletak kereta membuatkan dia lambat tiba di restoran itu.
         Mata Alia melilau. Tidak tahu hendak ditala ke mana. Yang pasti bukan pada wajah lelaki itu. Siapa nak mula dulu ni, takkan aku pula. Bukan dia tak tahu nak bincang pasal apa. Alia mengomel dalam hati. Matanya dihala pada bunga plastik di atas meja. Mengira kelopak bunga tersebut dalam diam.
         La, senyap pula. Hari itu beria-ria nak sangat jumpa. Takkan aku pula nak mula. Siapa nak jumpa siapa? Syah bersuara dalam hati. Senyum hampir terukir di bibir apabila melihat gelagat gadis di hadapannya.
         Apa senyum sorang-sorang pula tu? Eii... Macam tak betul aje. Alia menjeling ke arah lelaki itu dari ekor mata. Hampir nak pecah gelak, namun cuba ditahan. Geli perut apabila melihat perlakuan pelayan tersebut. Begitu juga Syah.
         "Kenapa order air suam aje? Diet ke?" Akhirnya Syah bersuara.
         "Dah kenyang, makan kenduri tadi." Alia menjawab sambil menolak gelas tersebut kembali ke tempatnya selepas meneguk beberapa kali. "Kenapa order tu aje?" 
          "Kenyang." Syah menjawab sepatah. Kenyang makan angin. Namun kata-kata itu hanya terzahir di benaknya sahaja.
          "Jadi, saya rasa awak tahu apa yang saya nak cakapkan?" Alia menarik nafas panjang. Syah masih diam sambil tangan mengacau sudu pada cawan kopi.
          "Macam awak sendiri dah tahu, keluarga kita nak satukan... " Alia terhenti seketika. Tekak terasa macam pahit, namun dia meneruskan. "Keluarga kita nak... Err... Awak tahukan?" Alia terdiam. Tidak tahu bagaimana menyatakan perkara itu menggunakan perkataan yang sesuai. Satukan? Kahwinkan? Nak sebut pun terasa kembang anak tekak.
          Syah masih diam membisu. Alia mengecilkan matanya merenung wajah lelaki itu, yang dari tidak mengalihkan pandangannya daripada memandangnya. 
          "Dah jadi batu ke mamat ni? Senyap aje tak bergerak. Ke bisu terus?" Alia mengerutu perlahan. "Jadi, apa awak nak buat?" Soal Syah sambil menegakkan badan.
          "Saya perlukan bantuan awak." Alia berkata. Syah mengangkat kening sebelah.
          "Bantuan apa?"
          Alia menarik nafas panjang. "Saya tahu kita sama-sama tahu apa yang parents kita nak buat. Saya rasa awak juga seperti saya, tidak bersetuju dengan rancangan itu. Maksud saya, takkan awak nak habiskan hidup awak dengan orang yang awak tak kenal hati budi. Betul tak? Macam tu juga dengan saya." Alia terdiam, menanti reaksi Syah, namun Syah itu hanya diam seolah-olah memberi peluang kepadanya untuk meneruskan kata-kata.
           "Lagipun, awak mesti ada kehidupan awak sendiri. Betul tak? Maksud saya, awak lulusan luar negara, ada kerjaya.Ibu saya cakap awak arkitek. Betul, kan? Jadi, takkan awak tak ada someone special dalam hidup awak. Jadi, saya rasa awak mesti setuju dengan rancangan saya ni."
           "Rancangan apa?" Syah membawa cawan kopinya ke bibir.
          Alia menggigit bibir. "Macam ni, saya cadangkan awak cakap dengan mak dan ayah awak yang awak tak nak kahwin dengan saya. Awak cakaplah awak dah ada steady girlfriend ke, cakaplah saya bukan taste awak ke, apa ke... Awak hentam ajelah apa-apa pun. Janji mereka setuju. Bila mak dan ayah awak dah setuju nak batalkan rancangan mereka tu, maknanya ibu dan abah saya tak boleh nak buat apa. Betul tak?" Alia bertanya beria-ria sambil memerhatikan riak wajah Syah di hadapannya. Sukar untuk membayangkan apa yang bermain di fikiran lelaki itu ketika ini.
          "Kenapa awak tak cakap sendiri pada parent awak yang awak menentang rancangan perkahwinan ini?" Syah bertanya sambil menyandarkan badan.
          Alia mengeluh perlahan. "Kalau boleh, lama dah saya buat. Tapi saya tak sampai hati nak lukakan hati mereka. Sejak dulu saya tak pandai nak membantah cakap mereka." Alia menjawab sambil memandang ke arah balkoni.
           "Kalau parent saya tak terima alasan tu?" Syah bertanya. Alia memandang wajah Syah lambat-lambat.
           "Awak mesti pastikan yang awak dapat pujuk mak dan ayah awak. Hanya ini sahaja satu-satunya cara untuk elak perkahwinana ini terjadi. Saya yakin, awak pun seperti saya. Tak menginginkan perkahwinan ini, kan?" Alia bersuara bersungguh-sungguh.
           Syah hanya memandang wajah Alia yang serius itu. Terdengar keluhan dari bibirnya. "Kenapa? Awak dah ada someone special ke?" Syah bertanya.
          Alia terdiam.
          "Hmm?"
           "Tak ada tapi itu bukan persoalannya." Alia membalas.
          "Baiklah, kalau itu yang awak nak... " Syah mengeluh perlahan.
          "Thanks." Alia tersenyum lebar sebelum berdiri. "Kalau macam tu, saya dah tak ada lagi yang saya nak cakap. Saya balik dulu. Saya tunggu berita gembira daripada awak." Syah turut berdiri.
           "Jumpa lagi. Hari ni saya belanja." Baru saja kaki Alia menapak menuju ke kaunter bayaran, Syah lebih dahulu mendahuluinya menuju ke kaunter.
           Alia mengerutkan dahi.
          Syah hanya tersenyum.
          "Thanks." Alia berkata sebelum mereka berpisah di hadapan restoran tersebut. Dalam hati berbunga rasa kerana dia yakin rancangannya akan berjaya. 

No comments:

Post a Comment