Tuesday 10 May 2016

Bab 5 Kerana Dia Suamiku by...Cahaya Ainn


Alia menoleh ke kiri dan ke kanan. Dengan berhati-hati dia melencong menuju ke bilik Julia. Hatinya kembali berbunga memikirkan yang dia tidak perlu menghabiskan malam itu di dalam biliknya yang telah dijadikan bilik pengantin.
          "La, tak tidur lagi ke?" Mak Mah menegur.
          Alia hampir tersentak. Lambat-lambat dia berpusing. "Eh, Mak Mah, ingatkan siapa tadi." Alia tersengih-sengih.
          "Kamu nak pergi mana tu? Dah lewat ni." Mak Mah bertanya sambil mengangkat dulang berisi gelas.
          "Err... Lia... Err... " Alia tergagap. Tak tahu apa yang hendak diperkatakan. Takkan nak cakap pergi tidur bilik Julia. Mahu kecoh satu kampung. Pengantin perempuan lari dari masuk bilik masa malam pertama.
           "Dah, pergi masuk bilik. Pengantin baru tak baik berjaga lewat sangat. Pergi... " Mak Mah bersuara.
          Alia menggigit bibir sebelum mengorak langkah menuju ke biliknya. Dia melepaskan keluhan berat ketika tangannya memulas perlahan tombol bilik tersebut. Hatinya berdebar-debar. Dia menjengukkan kepala ke dalam.
         Keadaan bilik kelihatan samar-samar kerana lampu utama telah dipadam. Yang tinggal hanya lampu meja di kiri dan kanan katil. Alia menolak perlahan pintu tersebut sebelum melangkah masuk. Matanya tertumpu pada sekujur tubuh kaku yang berselimut sehingga ke paras dada di atas katil. Timbul perasaan geram apabila melihat lelaki itu berada di atas katilnya. Dari kecil sampai besar, lelaki yang tidur di atas katil itu hanyalah abangnya sahaja. Abah pun tak pernah.
          Alia menarik kerusi lalu melabuhkan tubuh. Dia mengurut leher perlahan. Dia termenung seketika memikirkan nasib malangnya. Kolam matanya terasa berat. Namun, cuba ditahan. Dia tidak mahu menangis lagi.
          Alia bangun dan mencapai tuala yang tersangkut di rak hujung bilik dan kemudian membuka pintu almarinya, mengeluarkan baju tidur sebelum bergerak menuju ke bilik air.
          Sebaik masuk ke bilik air, Alia merenung wajahnya di cermin besar. Solekan yang masih tersisa pada wajahnya dibersihkan perlahan. Nasib baik solekan tak tebal sangat. Kalau tak, mahu berjam nak tanggal masa berwuduk.
          Alia membuka kancing pin di bawak dagu dan diletakkan di atas singki. Tudung ditarik melepasi kepala dan disangkut pada penyangkut dinding. Dia menguraikan rambut yang terkurung sejak pagi.
          Setelah mandi dan berpakaian, Alia keluar dari bilik dalam keadaan tuala membalut rambutnya. Lepas mandi dan membasuh rambut, baru terasa segar sikit.
          Alia berjalan menuju ke meja kerjanya dan menghidupkan komputer ribanya. Dia kemudian menggosok perlahan rambutnya dengan tuala sementara menunggu komputer ribanya terbuka.
          Alia berjalan menuju ke arah meja solek dan mencapai sikat. Tuala disangkut pada kepala kerusi dan rambut separas pinggangnya disikat perlahan. Sesekali matanya menjeling ke arah katil. Tubuh itu kaku tidak bergerak.
          "Dah mati ke apa entah." Alia berkata sendiri. Matanya dihalakan kembali pada skrin komputer. Dia menekan ikon Winamp dan memainkan platlistnya. Dia mencucuk earphone ke telinga. Kepalanya sesekali digoyangkan mengikut rentak lagu. Rambutnya dibiarkan terurai di belakang.
          Alia membuka pula dokumen yang mengandunginya manuskripnya. Dia berkira-kira mahu menyiapkan beberapa bab lagi sepanjang malam itu. Mata yang mengantuk dan tubuh yang penat tidak dihiraukannya. Tidak berani hendak melelapkan mata ketika terdapat lelaki asing di dalam biliknya itu.
          Alia membaca ayat-ayat terakhir pada manuskripnya dan terdiam seketika, berfikir ayat yang sesuai untuk disambungkan. Tangannya laju menaip idea-idea yang datang. Sesekali jari-jemarinya mengendang papan kekunci ketika berfikir susunan ayat yang betul.
          Mata Syah kembali terbuka. Dia melihat susuk tubuh isterinya yang sah dinikahinya tadi. Dia sudah terjaga sejak mendengar pintu bilik air ditutup. Badannya yang agak letih membuatkannya masuk ke bilik itu seawal jam 11.00 malam. Lepas tolong Pak Mat dan Pak Itam membasuh kawah tadi, terus dia masuk ke bilik. Rasa macam nak tercabut pinggang ketika membasuh kawah setinggi pinggang itu.
          Syah mengangkat kepalanya sedikit. Namun dia segera memejam mata dan berpura-pura tidur ketika Alia keluar dari bilik air. Cahaya samar-samar membuatkan dia tahu Alia tidak mungkin menyedari yang dia telah terjaga. Dia memasang telinga dan mengintai sebelah mata menjeling ke arah Alia yang duduk bersila dia atas  kerusi kerjanya. Matanya menjeling pada jam dinding.
           Aik, takkan tak nak tidur lagi minah ni, bisik Syah dalam hati ketika jarum jam menunjukkan hampir pukul 3.00 pagi. Matanya memerhatikan tubuh Alia yang membelakanginya ketika gadis itu sibuk menghadap komputer ribanya. Matanya menyorot pada rambut Alia yang panjang mengurai di belakang tubuh gadis itu. Dia tidak menyangka yang rambut gadis itu sepanjang itu. Dia tersenyum kecil. 
           Alia mengeliat perlahan. Belakang badannya terasa sakit dan lenguh. Berdetup tulang belakang ketika dia mengeliat. Dia merenung jam pada dinding.
           "La, baru nak dekat pukul 4.00 pagi... Ingat dah subuh." Alia merungut. Matanya terasa mengantuk, namun ditahannya seboleh mungkin. 
           Alia menoleh ke belakang. Lelaki itu sedang tidur dalam posisi mengiring. Dia mengecilkan matanya. Hatinya terasa cemburu melihat lelaki itu bermaharajalela di atas katilnya sendiri sedangkan dia masih berjaga. Matanya dihalakan pula pada cadar berwarna ungu pekat itu. Bibirnya tersenyum pahit. Cadar tersebut adalah pemberian ibunya kerana ibunya tahu yang dia sangat sukakan warna ungu. Memang sejak kecil lagi dia pernah memberitahu ibunya yang dia mahu menjadikan warna ungu sebagai warna tema perkahwinannya. Tak sangka ibu masih ingat lagi.
          Alia mengubah posisi. Dia mencapai novel yang terletak di atas meja dan menghidupkan lampu meja. Diselaknya halaman terakhir yang dibacanya sebelum ini. Namun, tidak sampai 15 minit, dia telah terlena di atas meja berbantalkan lengan. 
 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Alia meraup muka dengan kedua-dua belah tangannya. Dia menyandarkan tubuh pada kerusi empuk itu sambil memejamkan mata. Kepalanya terasa berat, sarat dengan pelbagai benda yang perlu difikirkan. Tangannya melarikan tetikus dan menekan butang pause pada Winampnya sebelum dia kembali menegakkan badan, menyambung kerja menanda tugasan para pelajarnya itu.
          Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Alia spontan mengangkat muka. "Masuk!" 
           "Selamat pengantin baru."
          Alia mengangkat muka memandang Julia yang tersengih-sengih sebelum menjeling dan menundukkan kepala, menyambung kerja yang terhenti tadi. 
           "Amboi, sombong mak cik ni sejak dah naik pangkat jadi puan." Julia menarik kerusi lalu duduk. Alia tidak mengendahkan.
          "Lia, aku datang ni. Kau boleh buat tak tahu pulak." Alia mengendang meja.
          "Apa hal kau datang sini?" Tanya Alia tanpa mengangkat muka.
          "Mak oi! Garangnya sejak kahwin ni. Kenapa?" Tanya Julia.
          Alia hanya mendiamkan diri. Tangannya laju melarikan pen dakwat merah pada helaian kertas A4 di hadapannya.
           "Lia, aku tanya ni... Kenapa sejak kebelakangan ni, kau macam lain aje. Asyik nak marah aje." Alia masih tidak mengangkat kepala.
           "Terseksa sangat ke hidup kau sampai dengan aku pun kau dah tak nak bercakap."
          Tangan Alia terhenti. Dia mengangkat kepala memandang ke arah Julia yang duduk menyandar di kerusi. Kakinya disilangkan. Dia mencampakkan pen di tangan sebelum menyandarkan tubuh pada kerusi.
          Julia mengangkat kening.
          "Sorrylah Ju. Aku serabut sikit. Penat.!" Jawab Alia perlahan. Dia memusingkan tubuh menghala pada skrin komputer.
           "Aku faham perasaan kau. Tapi kau jangan putus asa. Jangan jadikan hidup kau seolah-olah dah berakhir. Anggap saja ini semua dugaan hidup."
          "Dunia aku memang dah berakhir pun." Alia menutur perlahan.
          "Lia! Apa kau cakap ni? Tak baik tahu cakap macam tu." Julia memeluk tubuh.
          Alia memusingkan tubuhnya menghala ke arah Julia. "Entahlah... Aku penat. Sorrylah... Aku cakap mengarut." Alia memicit batang hidungnya. 
          "Jadi, macam mana dengan rumah baru kau?" Julia bertanya sambil merapatkan tubuhnya pada meja.
           Alia memandang Julia, turut sama merapatkan tubuh pada meja. Dia mencapai pen merah di atas meja tersebut. "Biasa saja." Jawab Alia ringkas. Sebetulnya bukan itu jawapan yang paling tepat untuk soalan Julia. Hampir nak terkeluar matanya apabila melihat banglo dua tingkat ketika dia mula-mula sampai di rumah barunya itu. Halaman rumahnya bukan main luas lagi. Ibu cakap Syah reka sendiri rumah tersebut. Diakan arkitek. Ibu juga ada cakap yang lelaki itu hanya mengambil masa selama tiga bulan sahaja untuk membina banglo tersebut. Dahsyat tak dahsyatnya.
           "Err, boleh aku datang rumah kau?" Julia bertanya sambil tersengih.
           "Datang ajelah. Kau macam tak biasa pula. Selalu tu, tak payah suruh. Laju aje menapak ke rumah aku tu." Alia menjawab.
          Julia mencebik. "Cis! Mengata aku pulak. Rumah kau kat mana? Alamat?"
          Alia mengerutkan dahi. "Sejak bila kau tak tahu rumah aku kat mana? Selalu datang rumah aku pun tak ingat jalan ke?"
          "Wei, mak cik, tu rumah parent kau. Yang tu aku tahulah. Sepelaung aje dari rumah aku. Aku tanya rumah kau sekarang."
          Alia terdiam. Baru dia sedar yang dia sudah sebulan tidak duduk di rumah ibu dan abahnya itu.
          "Oh, kat Taman Permai. Nantilah aku hantar SMS. Aku pun tak berapa ingat alamat yang betul." Alia menjawab perlahan. Memang berbulu aje bila teringat kehidupannya di rumah banglo tersebut.
          "Tak apalah kalau macam tu. Aku nak balik pejabat aku dulu. Kejap lagi aku ada kelas. Kau kelas pukul berapa?" Julia berdiri.
          Alia mengambil plannernya dan menyelak halaman planner tersebut. "Pukul 3.00 nanti. Aku ada kelas ekstra. Cover cuti seminggu hari tu." Alia menutup kembali plannernya itu. 
          "Cuti masa pergi honeymoon dulu eh?" Julia tersengih.
          Alia memutarkan bebola matanya sambil membaling kertas yang telah direnyuk ke arah Julia. 
          "Wei!" Julia menepis.
          Alia ketawa. "Padan muka!"
          Julia mencebik sebelum mengutip kertas tersebut lalu dilontar kembali ke arah Alia. Alia menyambut lalu dilontarkan ke dalam tong sampah di bawah meja.
          "Jadi-jadilah perangai budak-budak kau tu. Dah jadi bini orang pun perangai tak berubah." Julia berkata. Alia menjelirkan lidah.
          "Dahlah, aku nak balik. Layan kau ni, sampai subuh tahun depan pun tak habis." Julia berkata sebelum berjalan menuju ke pintu.
          "Kecik tapak tangan, nyiru beta tadahkan."Alia tersengih. Julia memutarkan bebola matanya sebelum menutup pintu bilik itu.
          Alia mengeluh perlahan. Otaknya kembali memikir dunia realitinya. Dengan keluh kesal, dia mencapai pen merah lalu menyambung menanda tugasan para pelajarnya.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
 Alia menolak cermin mata ke atas kepala. Dia menggosok kedua-dua belah matanya yang keletihan akibat terlalu lama menghadap komputer riba. Dia menjeling jam pada hujung monitor komputer tersebut. Hampir pukul 9.00 malam. Patutlah perut terasa lapar.
          Alia bangun dari kerusi dan mengeliat. Terasa kejang otot belakangnya. Dia mencapai sepit rambut dan menyimpul rambut panjangnya itu sebelum disepit Rambut yang terjuntai di hujung dahinya hanya dibiarkan.
          Alia berjalan menuju ke pintu. Melekapkan telinga pada belakang pintu tersebut. Senyap sunyi. Dia memulas tombol pintu sebelum membuka pintu perlahan-lahan. Kepalanya terjulur keluar, mengintai ke bahagian tingkat bawah. Lampu tengah telah dipadamkan manakala lampu depan dan dapur masih belum dipadamkan. Mungkin Mak Temah belum tidur lagi.
          Alia berjalan perlahan-lahan menuruni tangga. Telinganya menangkap bunyi suara televisyen yang datangnya dari ruang tamu ketika dia berada di hujung tangga. Dia sempat menjeling sekilas ke arah ruang tamu. Kelihatan Syah sedang duduk di sofa membelakanginya.
          Alia segera melangkah menuju ke ruang makan. Perutnya sudah mengalunkan lagu dondang sayang. Dia membuka tudung saji. Senyum lebar terukir. Ini yang buat dia sayang Mak Temah lebih ni. Tangannya mencapai mangkuk berisi ikan pari masak lemak cili padi dan kailan goreng lalu menuju ke dapur untuk dipanaskan. Sesekali dia menyanyi kecil mengikut dentuman MP3 yang tersangkut di poket baju tidurnya.
          Setelah selesai, Alia membawa hidangan yang telah dipanaskan itu kembali ke meja makan. Dia mencabut earphone di telinga dan diletakkan MP3nya di atas meja. Telinganya menangkap iklan sabun basuh baju dari ruang tamu. Dia menadah tangan membaca doa makan sebelum menyuap nasi ke mulut.
          "Heaven!" Bisik Alia perlahan ketika meratah ikan kari masak lemak cili apinya itu. Dia tidak berhenti ketika telinganya menangkap tapak kaki dari ruang tamu menuju ke dapur di belakangnya. Memang sejak sebulan tinggal di rumah itu, dia memang begitu. Masing-masing buat hal sendiri. Dah gaya macam duduk bilik sewa aje.
           Alia menunggu sehingga bunyi tapak kaki itu kembali ke ruang tamu. Namun, bayang langkah yang ditunggu tidak juga kunjung tiba.
          "Apa yang lambat sangat. Entah buat apa kat dapur tu pun tak tahu." Alia merungut sambil mengemas pinggan kotor yang telah digunakan. Bunyi tapak kaki itu masih tidak kedengaran. Dia mengetap bibir. "Apa bendalah mamat ni lama-lama kat dapur. Tidur ke apa." Alia mengerutu perlahan. Tangan kirinya mencapai MP3 di atas meja lalu dimasukkan ke dalam poket. Setelah hampir sepuluh minit menunggu, dia mengangkat pinggan mangkuk kotor lalu melangkah dengan berat hati menuju ke dapur. Takkan nak tunggu kat situ sampai esok pagi. Buang masa aje. Dia mengecilkan matanya ketika melangkah memasuki ruang dapur itu.
          "La, melepak kat belakang rupanya. Cis! Buat penat aku tunggu aje." Alia berkata dalam hati ketika melihat Syah duduk di beranda belakang sambil memandang ke langit. Pintu belakang terbuka luas sehingga terasa angin sejuk masuk ke ruang tersebut.
          Gaya jiwang apa benda mamat ni duduk sorang-sorang kat belakang tenung bulan. Alia berkata dalam hati ketika mencuci pinggan. Rasa nak berguling ketawa melihat Syah yang sedang termenung di luar.
           Entah apalah yang sedang dia fikirkan. Teringat awek lama kut. Alia sengih sendiri, namun senyum di bibir terhenti apabila Syah memandang ke arahnya dengan tiba-tiba.
           Alia menelan air liur, namun riak wajah tidak berubah. Dia segera menyusun pinggan mangkuk yang telah dicuci didalam rak sebelum berjalan menuju ke tangga tanpa memandang ke beranda. Namun ketika kakinya memijak tangga pertama, dia sempat menjeling ke arah pintu belakang. Dia menggeleng perlahan. 
           "Bukan urusan aku." Alia menjawab sendiri ketika tertanya-tanya tidak sejukkah lelaki itu duduk bertapa di luar rumah malam-malam buta ni.

1 comment:

  1. Casinos Near Philadelphia, PA - MapYRO
    Casino Near Philadelphia, 광주광역 출장안마 PA - See all 25 Casinos Near Philadelphia, PA 하남 출장마사지 in one place - See all 25 Casinos Near Philadelphia, 제천 출장샵 PA 강원도 출장안마 in one place 나주 출장마사지 - See all 25 Casinos Near

    ReplyDelete