Wednesday 11 May 2016

Bab 6 Kerana Dia Suamiku by...Cahaya Ainn


"Bila sampai?" Alia mengalihkan pandangan dari televisyen.
          "Baru aje. Abang tak kerja?" Alia bertanya ketika memandang ke arah Aidil yang duduk bersila di sebelahnya.
          "Abang cuti hari ni. Tak sihat." Aidil menjawab sambil memandang ke arah televisyen yang menayangkan rancangan CSI.
          Alia mengerutkan dahi. Spontan tangannya diletakkan di dahi Aidil.
          Alia hanya membiarkan.
          "Abang demam ke? Panas badan." Alia menyentuh leher Aidil pula.
          "Hmm... " Mata Aidil masih tertumpu pada televisyen.
          Alia menggigit bibir. "Macam mana boleh demam pulak? Kerja kuat sangat ke?" Tanya Alia masih memandang wajah Aidil yang agak pucat tu.
          "Hmm... Mungkin faktor cuaca juga." Aidil menjawab.
          Alia mengangkat kening. "Mentang-mentang duduk UK dekat lapan tahun, balik tanah air sendiri terus demam ya?" Alia tersengih mengusik.
          Aidil mahu menarik hidung Alia, namun Alia sempat mengelak. "Pandai sangat, Syah mana? Tak datang sekali?" Aidil mengintai ke luar rumah. Baru perasan adik iparnya itu tidak ada. Riak wajah Alia bertukar rupa.
          Aidil memandang kembali ke wajah Alia apabila adiknya itu tidak menjawab. Dia tersenyum dalam hati. "Marah sangat kalau sebut nama hamba Allah sorang tu."
          "Ibu mana? Dari tadi tak nampak?" Alia bertanya tanpa menjawab soalan abangnya itu sambil memandang ke arah dapur.
          Aidil kembali memandang televisyen. "Kat dapur kut. Tadi sembang dengan Mak Peah kat belakang." Aidil menjawab tanpa mengalihkan pandangan dari televisyen. Alia kembali memandang ke depan. Suasana senyap seketika ketika masing-masing tertumpu pada rancangan CSI itu.
          "Eii... Geli aje." Alia menutup matanya dengan tapak tangan. Namun jari telunjuknya diangkat sedikit untuk membolehkannya melihat pada televisyen itu.
          "Apalah adik ni... Benda gitu pun nak geli ke?" Aidil berkata perlahan tanpa mengalihkan pandangannya.
          Alia mencebik lalu menurunkan tangannya. "Ceh! Mengata orang pulak. Abang ni tak ada rupa orang demam pun. Siap boleh tengok TV lagi ni apa kes?" Alia berkata sambil menjeling sekilas ke arah abangnya di sebelah.
          Aidil menarik sanggul di atas kepala Alia.
          "Aduh, abang!" Alia menolak tangan Aidil jauh dari kepalanya.
          "Bising macam mak nenek." Aidil menjawab sambil ketawa melihat Alia memegang sanggul rambut dengan kedua-dua belah tangannya.
          Alia mengerutkan dahi. "Memang tak ada rupa orang demam langsung. Kerja nak sakat orang aje." Alia merungut perlahan. Dia menjarakkan kedudukan seinci daripada abangnya. Aidil hanya ketawa.
          "Abang, minggu depan dah puasa. Nanti kita buka ramai-ramai nak? Lama tak buka macam dulu-dulu." Alia berkata setelah lama mendiamkan diri.
          "Boleh jugak. Dah lama tak puasa kat sini. Tak tahulah abang boleh tahan ke tidak dalam cuaca yang panas ni."
          Alia memutarkan bebola matanya. "Apalah abang ni. Hidup kat Tanah Melayu ni dekat 20 tahun, sihat aje bila masa puasa. Baru duduk lapan tahun dekat UK, dah lupa daratan." Alia mencebik.
          Aidil mencubit pipi Alia.
          "Sakitlah abang. Isy!" Alia menggosok pipinya yang kemerahan itu.
          Aidil ketawa besar. "Derhaka kat abang ya... "Aidil tersengih. Alia menjeling.
          "Eh, adik, bila sampai?"
          Alia memandang ke belakang sementara Aidil masih lagi tidak mengalihkan pandangannya daripada Horatio, peneraju utama CSI Miami.
          "Tadi, lepas balik dari kolej terus datang sini." Alia menjawab.
          Ibu duduk di kerusi berhampiran. Matanya melilau memandang ke luar rumah. "Syah mana? Adik seorang aje ke?" Alia menggigit bibir. Kenapalah manusia seorang itu juga yang ditanya.
          "Tak, adik datang dari kolej." Alia menjawab perlahan. Matanya dihala ke arah televisyen. Sempat dijeling ke arah Aidil di sebelah. Senyum terukir di bibir abangnya tanpa sedar. Alia menjulingkan biji matanya. Tahu sangat yang Aidil sedang gelakkan dia apabila ibu bertanya tentang manusia seorang itu.
           "Syah tahu tak adik ke sini? Nanti risau pulak dia."
           Alia menggaru leher yang tidak gatal. Payah betul sekarang ni. Nak balik rumah mak ayah sendiri pun susah. Balik-balik tanya pasal lelaki itu.
           "Adik, ibu tanya ni. Isy, sibuk ke TV pulak dia."
           Alia memusingkan kepalanya perlahan ke arahnya. Matanya sempat menangkap senyum yang semakin lebar di bibir abangnya.
          "Tak, adik tak sempat nak bagi tahu dia. Err... bateri telefon adik habis." Alia menggigit bibir. Hentam ajelah apa-apa pun. Janji hidup aku selamat.
          "La, kenapa tak cakap. Pergi pakai telefon rumah tu. Telefon Syah. Nanti dia risau." Ibu berkata bersungguh-sungguh. Alia menggaru kepala pula. Masalah betul. Ibu terlebih prihatin pulak.
          "Pergilah, dik... Tak baik buat suami risau." Aidil berkata tanpa memandang wajah Alia. Namun, bibir masih tak lekang dengan senyuman mengusiknya.
          Alia menjeling tajam. "Err, tak apalah ibu. Adik pun nak balik dah ni. Tadi pelan nak singgah kejap aje." Alia mencapai tudung yang tersangkut di lengan kerusi lalu disarungkan ke kepala.
          "La, nak balik dah ke? Baru nak manja-manja dengan adik." Aidil tersengih.
          Alia mencebik sambil mencubit pipi abangnya itu. Geram!
          "Sakitlah. Adik ni... Abang demam ni." Aidil menepis sambil tersengih.
          Alia menarik muncung 14 incinya. Dia bangun sambil bersalam dengan ibunya sebelum bersalam dengan abangnya pula.
          "Duduk rumah tu baik-baik. Jangan berperang dengan Syah." Aidil berbisik ketika Alia tunduk mencium tangan abangnya itu.
          "Adoi, sakitlah adik!" Aidil menggosok tangannya perlahan. Terdapat bekas gigitan kecil di belakang tangannya itu. Alia tersengih tanpa rasa bersalah.
           Ibu hanya menggeleng melihat telatah dua orang anaknya itu. Nama sahaja dah besar panjang, seorang dah jadi isteri orang, seorang lagi dah boleh jadi suami orang, tapi perangai mengalahkan budak-budak tadika.
          "Adik balik dulu. Kirim salam pada abah." Alia berkata sebelum masuk ke tempat duduk pemandu ketika Aidil dan ibu berdiri di muka pintu. Alia melambai ketika memandu keluar dari garaj rumah tersebut. 
 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Alia membelek beberapa buah novel pada rak buku yang terdapat di dalam MPH Mid Valley itu. Hatinya agak tertarik dengan beberapa buah novel keluaran Fajar Pakeer seperti novel Primadona Orang Muda, karya Bikash Nur Idris dan Hikayat Cinta karya Ratu Bulan.
          Alia tersenyum-senyum sendiri ketika membaca sinopsis pada kulit belakang novel Hikayat Cinta. Urmm! Cerita tentang bola keranjang. Mesti best, getus hati Alia. Novel tersebut wajib dibeli.
          Alia membelek beberapa buah novel lagi. Tangan menarik keluar sebuah novel bertajuk Musuhku Suamiku karya Zuera Rasiddin. Perlahan-lahan dia membaca sinopsis pada kulit belakang buku tersebut. Glup! Terasa seolah-olah kena dekat batang hidung sendiri. Alia segera meletakkan novel tersebut di tempatnya. Dia menarik keluar novel yang lain. Kemarau Kasih karya Ida Riyana berada di tangan. Dia membaca sinopsis di belakang novel tersebut. Cerita tentang hero dan heroin yang dikahwinkan oleh keluarga. Macam aku aje.
          Kenapa semua novel tema sama aje? Rasa macam nak sindir aku aje. Betul cakap Julia hidup aku ni dah macam cerita dalam novel. Mungkin aku pun patut tulis cerita macam tu. Tulis cerita berdasarkan cerita sebenar .
          Alia meletakkan kembali novel tersebut di tempat asalnya. Alia membelek lagi novel-novel pada rak tersebut. Dia memang meminati novel yang dikeluarkan oleh Fajar Pakeer kerana kebanyakan novel-novel keluaran mereka sangat bermutu jalan ceritanya dan ada unsur humor. Boleh menyuntik ilham untuk dia menulis. Novel Kau, Aku, Kita karya Orkid Edylyne ditarik keluar dari raknya. Macam menarik. Dia memusingkan novel tersebutuntuk membaca sinopsisdi bahagian belakang. Cerita pasal pasangan lelaki dan perempuan yang mempunyai nama yang sama. Menarik.
          Alia tidak berfikir panjang untuk membuat keputusan. Sudahnya, dua buah novel keluaran Fajar Pakeer telah berada di dalam pelukannya. Hmm, nampaknya nanti kena singgah kedai perabot. Kena cari rak buku baru. Dalam kepalanya terbayang lambakan novel-novel di dalam biliknya. Dia tersengih sendiri apabila teringatkan kata-kata seseorang suatu masa dahulu. Seseorang yang mencadangkan dia memang patut jadi penulis novel kerana suka sangat berangan dan dia menjawab yang dia takkan baca novel cintan-cintun macam ni. Sudahnya dia kena tulah dengan kata-kata sendiri. Dia jadi addicted  kepada novel-novel Melayu disamping beberapa novel Inggeris. Tulah, dulu cakap besar sangat. Sekarang Allah bayar cash! Langsung tak boleh berenggang dengan novel. Padan muka aku!
           Alia melangkah menuju ke kaunter bayaran. Dia menghulurkan dua buah novel tersebut kepada jurujual dan membayar harga novel tersebut sebelum berjalan keluar membimbit beg plastik tersebut. Senyum lebar terukir di bibir. Tak sabar nak landing atas katil sambil baca novel.
          Alia membuka beg tangannya untuk mencari telefon bimbit yang berbunyi.
          "Helo... "
          "Lia, kau kat mana? Aku nak datang rumah kau ni, bagilah alamat! Terjah Julia tanpa sebarang mukadimah.
          "Nak buat apa datang rumah aku?" Alia bertanya sambil membetulkan pegangan pada beg plastik yang berisi novel barunya itu.
          "La, nak lepak-lepaklah. Cuti-cuti ni bosan gila aku duduk sorang kat rumah. Mak ayah aku pulak tak ada."
          "Mak ngah dan pak ngah pergi mana?" Alia bertanya sambil berjalan menuju ke arah kerusi yang disediakandi sepanjang kompleks membeli belah itu.
          "Entah! Aku bangun-bangun tidur tengok sunyi aje. Pergi dating kut." Julia ketawa galak dengan lawaknya sendiri.
          Alia mencebik. "Mengata mak ayah sendiri. Tak baik tahu. Dosa."
          Julia masih lagi ketawa. "Mana ada aku mengata mak ayah aku... Betul apa."
          "Hmm, ikutlah kau nak merepek apa. Ni kira baru bangun ke?" Alia bertanya sambil menyandarkan tubuh pada kerusi tersebut. Kaki diluruskan ke depan. Lenguh sebab lama sangat berdiri dalam MPH tadi. Tiga jam bertapa dalam tu pun tak terasa.
          "Hmm, baru bangun. Bosanlah. Lapar pulak tu. Mak aku tak masak apa pun pagi ni. Sedih aku. Rasa macam kurang kasih sayang aje." Julia buat suara sedih.
          Alia mencebik. "Kurang kasih sayang apanya dah kalau kau tengah hari baru nak terbangun. Anak dara apalah ni. Kau tahu tak, ibu aku cakap kalau ada anak dara suka bangun tengah hari, nanti tak ada yang masuk meminang. Jadi andalusia. Anak dara lanjut usia." Alia ketawa kecil.
          "Ceh! Jadi kau memang bangun pagi-pagilah ya? Tu ada yang masuk meminang tu?" Julia membalas semula. Alia memutarkan bebola matanya. Kita nak kenakan dia , alih-alih kita yang terkena balik.
           "Hal tu jangan sebut. Aku sensitif."
           "Err... Yalah, yalah... Sorry. Jadi boleh tak aku nak datang rumah kau ni?"
          "Tak boleh."
          "Kenapa? Takkan kau nak marah sangat kat aku sampai aku nak datang rumah pun kau tak bagi. Sedih aku. Dahlah ditinggalkan mak dan ayah, lapar pulak tu. Kau pulak tak nak bagi aku datang rumah kau. Tak apalah, biarkan aku membawa diri yang kesepian ni." Julia sudah mula mengarut.
          Alia ketawa sambil menggeleng kepala. Kalau tak buat drama tu memang sah bukan Julia.
          "Aku bukan marah sampai tak nak bagi kau datang rumah aku, masalahnya aku tak ada kat rumah sekarang. Aku kat luar. Tapi kalau kau nak jumpa mangkuk tingkat tu, pergilah rumah aku."
          "Huh? Mangkuk tingkat? Buat apa aku nak jumpa mangkuk tingkat kat rumah kau tu? Rumah aku pun berlambak-lambak mangkuk tingkat. Siap design macam-macam lagi. Kau cakap aje jenama apa. Semua ada. Almaklumlah mak akukan suka kumpul benda-benda mengarut tu." Selamba Julia menjawab.
          "Isy, bertuah punya anak. Ada cakap macam tu kat mak kau. Aku report kat mak ngah baru tahu, "
          Gurau aje. Jadi, apa yang nak aku sampaikan sekarang ialah tak ada sebab aku nak datng rumah kau semata-mata nak berjumpa mangkuk tingkat kat rumah kau tu. Kalau ada isi makanan tak apa juga. Berbaloi minyak kereta aku."
          "Eii... Mengarut betullah ni. Mangkuk tingkat tu maksud aku mamat tulah. Bukan mangkuk tingkat yang mangkuk tingkat tu.
          "Mamat tu? Siapa?"
          Alia memutarkan bebola matanya. Buat-buat tanya pula minah ni. Dah kalau mamat yang tinggal satu rumah dengan aku siapa lagi, melainkan,...
          "Oh, kau masukkan laki kau erk? Ada ke panggil suami sendiri mangkuk tingkat. Tak baik tahu, derhaka pada suami namanya tu."
          Alia mencebik. "Whatever! Kau nak jumpa aku ke tak ni?
          "Hmm, kau duduk mana sekarang? 
          "Aku kat Mid Valley. Mehlah datang sisi. Boleh teman aku lepak sama-sama."
          "Kau kat sana dengan siapa? Sorang?"
          "Dah tu dengan siapa lagi, takkan dengan... "
          "Manalah tahu kut dating dengan laki kau ke." Julia tersengih mengusik.
         Alia membuat muka. Minah ni asal ada peluang memang laju aje nak mengenakannya. Tak apa-tak apa. Ada lori ada bas, nanti esok lusa giliran aku pulak membuat serangan balas.
          "Tak ada maknanya aku nak lepak dengan mang... Err... Mamat tu." Alia telan air liur. Tiba-tiba rasa bersalah pulak menggelarkan lelaki itu sebagai 'mangkuk tingkat' lepas kena sound dengan Julia tadi. Betullah dosa. 
           Julia tergelak besar.
          Alia mencebik. Banggalah tu pasal ceramah dia berjaya mencapai target. Huh!
          "Kau nak datng sini ke tak?"
          "Hmm, naklah. Takkan aku nak lepak sorang-sorang kat rumah ni. Boleh mati kering aku."
          "Alah, masaklah sendiri. Perut sendiri pun malas nak masak sendiri. Apa punya anak darlah ni." Julia mecebik. Aik, aku kena balik.
          "Hmm, yalah Puan Nuri Alia. Amboi, sejak dah bergelar isteri ni, suka benor kau membebel ya. Kalah mak nenek."
          Alia menjulingkan biji mata. Kalau berlawan cakap dengan Julia ni, memang sampai tahun depan pun tak habis.
          "Dahlah, layan kau mengarut, sampai raya tahun depan pun tak habis. Kalau kau nak datang, jumpa aku kat Borders. Aku ada sana." 
           "Borders? Buat apa kat sana? Bosannya."
          "Aku nak lepak sana kejap cari buku. Kalau kau tak nak mati kering kat rumah, mehlah join aku. Kalau tak nak, tak apa. Aku tak paksa."
          Julia membuat muka. Lepak kedai buku? Huh! Bosan tahap petala kelapan belas.
          "Yalah, yalah... Dalam setengah jam lagi aku sampai. Tunggu tau, jangan pergi mana-mana"
          "Yalah, kau jangan nak berjanji sangat. Cakap aje setengah jam, tengok-tengok dua jam pun tak sampai-sampai lagi."
          "Yalah, yalah... Membebel ajelah mak nenek ni. Tak apalah, aku nak hang out dulu. Kang lambat, berbakul-bakul lagi aku kena bebel. Bye. Jumpa kau kat sana." 
          "Bye!" Alia memutuskan panggilan sebelum menyimpan kembali telefon tersebut ke dalam beg tangannya. Langkah kaki diatur menuju ke tingkat atas untuk ke Borders The Gardens Mall yang terletak di tingkat tiga. Lepak di Borders memang best. Di situ kita boleh lepak duduk dan bersantai sambil membaca buku-buku yang terdapat di situ. Nak duduk atas lantai sambil bersandar pada rak buku pun boleh.
          Alia segera melangkah masuk ke dalam kedai buku dari US itu. Suasana agak lengang walaupun pada hari minggu. Rata-rata pengunjung kedai buku tersebut terdiri daripada orang asing dan masyarakat Cina. Alia berjalan perlahan-lahan menghampiri beberapa rak yang dirasakan menarik. Tangannya mencapai senaskhah majalah tempatan yang tidak berbalut dengan plastik. Kalau tidak berbalut dengan plastik tu, maknanya boleh baca di situ.  
          Alia menyelak isinya secara rambang sebelum mengambil keputusan untuk membaca isi kandungan majalah itu dengan lebih terperinci. Dia merenung sekeliling. Mencari tempat-tempat yang sesuai untuk duduk. Takkan nak baca sambil berdiri. Mahu patah kaki.
          Alia berjalan menuju ke bahagian belakang kedai tersebut dan menjumpai satu ruang yang agak tersorok di antara dua rak gergasi yang menempatkan novel-novel Inggeris. Dia melabuhkan punggung sambil bersila. Kasut ditanggalkan dan diletak di tepi. Tubuh disandar pada rak buku. MP3 ditarik keluar dari dalam beg tangannya sebelum disumbat ke dalam telinga. Dia membetul-betulkan kedudukan tudung yang agak berubah kedudukannya ketika dia cuba menyumbat earphone pada telinganya. Volume dilaraskan. Suara Avril Lavigne menerjah gegendang telinganya perlahan.
          Helaian pertama dibuka. Memang bahagia betul kalau hari-hari boleh lepak santai macam ni. Kan bagus kalau dia dibayar gaji untuk duduk melepak sambil membaca novel atau majalah macam sekarang ni. Bahagia hidup. Masa untuk menulis manuskrip pun boleh dimaksimumkan.
          Alia memandang sekeliling. Memerhatikan pengunjung yang turut berada di situ. Masing-masing sibuk melayan hal sendiri. Ada yang duduk di kerusi yang disediakan di tengah-tengah ruang tersebut sambil menghaap komputer riba. Ada juga yang duduk bersila di lantai dengan susunan buku-buku tebal bertimbun di sebelah. Ada juga yang berdiri di suatu sudut sambil membaca novel. Masing-masing tenggelam dengan dunia sendiri. Ini yang membuatkan dia suka sangat lepak di kedai buku atau perpustakaan. Tenang dan aman tanpa sebarang kebingitan yang memeningkan kepala.
          Alia turut berkira-kira mahu membawa komputer ribanya sekiranya dia datang lagi ke sisi. Suasana macam inilah yang diperlukan oleh seorang penulis sepertinya.
          Setelah leka melayan beberapa naskhah majalah dan sebuah novel berbahasa Inggeris, sedar tak sedar sudah hampir satu jam dia berada di kedai buku tersebut. Alia menjeling jam di tangan.
          "Cis! Minah ni memang janji tak boleh pakai. Janji setengah jam aje. Ni dah dekat sejam. Memang nak kena minah ni." Alia menyeluk beg tangannya untuk mencari telefon bimbit. Nombor telefon Julia didail.
          "Helo! Lia, kejap-kejap. Aku dah nak sampai ni. Sorry... Jalan jammed." Suara Julia kedengaran kuat. Alia mengerutkan dahi.
          "Hmm, kau kat mana ni? Dah dekat sejam aku tunggu. Kata setengah jam aje." 
          "Ya. Sorry... Aku tersangkut dalam jammed ni. Tension betul. Huh!"
           Alia menggeleng. "Tak apalah, aku tunggu kau kat sini. Dah masuk area The Garden bagi tahu aku."
          "Okey." Talian diputuskan.
          Alia mengeluh perlahan. Jam hampir menunjukkan waktu makan tengah hari. Patutlah perut terasa lapar. Dia bangun sambil membawa majalah-majalah dan novel yang telah dibacanya itu ke rak yang disediakan. Dia berkira-kira mahu mengajak Julia makn dahulu sebelum merancang ke tempat lain. Mahu lembik dibuatnya kalau tak makan. Aku kan kuat makan. Kaki diatur ke luar dari kedai buku gergasi itu. Sesekali di menjeling jam di tangan. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.
          "Helo, Ju, kau kat mana? Aku dah nak tumbuh akar kat kaki ni tunggu kau."
          "Aku dah dalam The Garden ni, kau kat mana?"
          "Aku depan Borders, tingkat tiga."
          "Okey, aku datang sekarang."
          "Jangan lambat. Kalau tak, aku balik."
          "Yalah... "
          Alia memasukkan kembali telefon ke dalam beg tangan sebaik talian dimatikan. Dia berjalan menghampiri balkoni. Pandangan mata dihala ke bawah. Orang ramai berpusu-pusu bagai semut di bawah sana. Setelah bosan memerhatikan pemandangan tersebut, dia memusingkan tubuh menghadap pintu masuk Borders. Sesekali matanya menangkap gelagat pengunjung yang keluar masuk kedai buku tersebut. Perhatiannya tertarik pada sepasang warga emas berbangsa asing asyik bergurau senda sambil berjalan berpimpin tangan. Tergambar jelas pada wajah mereka sinar kebahagiaan.
          Tiba-tiba Alia berasa cemburu melihat kemesraan pasangan yang tidak dikenalinya itu. Sungguh pun sudah lanjut usia, namun perasaan kasih dan sayang itu masih kuat dalam diri mereka.
             Alia mengeluh perlahan. Mungkinkah dia berpeluang menjadi seperti pasangan bahagia itu? Hanya Allah saja yang tahu.
          "Hai gadis cantik, kenapa nampak sedih aje ni... "
          Alia terkejut. Kepala diangkat. Wajah wanita warga asing dan pasangan bahagianya itu muncul di hadapannya. Alia menggigit bibir. Tidak sangka pasangan berbangsa asing itu pandai berbahasa Melayu walaupun ada bunyi pelatnya.
          "Err... "Alia telan air liur.
          "Kenapa awak nampak sedih aje? Ada perkara buruk berlaku?" Tanya wanita itu dengan lembut.
          "Err... Tak. Saya okey aje." Alia menjawab perlahan.
          "Sorang aje? Mana buah hati? Dia ada di sini sekali?" Wanita itu bertanya lagi. 
          Alia terkebil-kebil. Buah hati? Dia maksudkan siapa? Kekasih? Suami?
          "Awak dah kahwin! Congratulation. Mana dia?" Tanya wanita itu ketika membelek cincin di jari manisnya.
           "Err... Err... "
          "Dia mesti lelaki yang baik,kan? Pasti awak bahagia."
          "Err... Ya, saya happy bersama... Err... Dalam hidup saya." Wajah Alia kemerahan. 
          "Saya tumpang gembira. Punyai lelaki yang baik dan sempurna, seronok, kan?" Wanita itu berkata sambil tersenyum. Tangannya memeluk erat lengan suaminya yang hanya tersenyum dari tadi.
          Alia tersenyum serba salah. Bercakap dengan orang yang tidak dikenali bukanlah dirinya. Dalam hati berdoa supaya Julia cepat tiba.
          "Take care dear, I pray for both of you. You and your lovely husband. He is lucky to have you. Pretty little girl." Wanita itu mengusap pipi Alia perlahan sebelum melangkah meninggalkan Alia sambil dipimpin oleh suaminya.
          Alia masih tercengang di situ. 
          "Lia!"
           Alia berpaling.
          Julia menghampiri Alia sambil tercungap-cungap. "Sorry... Aku sesat tadi. Susah juga nak jumpa tempat ni. Naik pening aku. Kau okey ke? Marah eh?" Julia merenung Alia yang hanya diam membisu.
          "Err, tak ada apa-apa. Jom makan. Aku lapar." Alia menarik tangan Julia meninggalkan tempat tu.

No comments:

Post a Comment