Thursday 12 May 2016

Bab 7 Kerana Dia Suamiku by...Cahaya Ainn


Alia merebahkan tubuhnya ke katil. Dia melepaskan keluhan berat. Susah betul kalau terpaksa tunggu giliran nak bersahur ni. Orang tua tu makan pula berjam-jam. Sibuk duk kira berapa butir nasi yang masuk ke dalam perut gamaknya.
          Alia berguling ke kiri sambil menghitung hari. Masuk hari ini, sudah hampir seminggu umat Islam menjalani ibadah puasa. Sejak seminggu juga dia terpaksa tunggu trip kedua untuk makan sahur. Mak Temah pernah tanya kenapa tak nak makan sekali dengan Syah walaupun orang tua itu faham sangat perangai mereka yang tidak boleh bertemu muka. Pantang jumpa mesti nak lari. Dan selalunya, dialah yang melarikan diri. Tak sanggup nak tengok muka lelaki itu.
          Alia menjeling jam pada dinding. Hampir pukul 5.00 pagi. Dia bangun dari baringan dan mengeliat. Selalunya waktu-waktu macam ni lelaki itu dah masuk bilik. Alia mencapai sepit rambut lalu menyepit rambutnya,membuatkan hujung rambutnya tergantung di batang leher. Perlahan-lahan dia memulas tombol pintu dan mengintai ke tingkat bawah. Dia berjalan perlahan sambil menyanyi kecil menuruni tangga.
          Mak Temah sedang membasuh di singki.
          "Mak Temah dah sahur?" Alia bersuara.
          Mak Temah berpaling dengan keadaan tangan penuh dengan buih sabun. "Dah tadi dengan Syah. Nasi Lia Mak Temah dah sediakan atas meja."
          "Terima kasih. Sayang Mak Temah." Alia menjawab sambil melangkah menuju ke meja. Tudung saji diangkat lalu disangkut pada dinding. Dia membasuh tangan, membaca doa sebelum menyuap nasi ke mulut. Hatinya tiba-tiba terasa sedih. Sedih kerana terpaksa bersahur sorang-sorang. Mak Temah pun dah join dengan manusia sorang tu. 
          Alia menghabiskan baki nasinya sebelum meneguk air suam. Ibu cakap tak baik masa makan diselang-selikan dengan minum air, nanti perut cepat kembung.
          Alia mengangkat pinggan-pinggan kotor lalu dibawa ke singki.
          "Tak apalah Mak Temah, biar Lia basuh." Alia meletakkan pinggan tersebut di dalam singki.
          Mak Temah berjalan menuju ke peti sejuk. "Lia nak jus oren?"
          Alia menoleh. "Boleh jugak."
          Setelah selesai membasuh pinggan, Alia mengelap tangannya yang basah pada tuala yang tergantung di hujung rak sebelum berjalan menuju ke arah Mah Temah yang sedang duduk di hujung dapur. Dia menarik kerusi lalu duduk di hadapan orang tua tersebut.
          "Buka nanti Lia nak makan apa?"
          Alia terdiam seketika sambil berfikir. "Hmm... Mak Temah masak ajelah apa-apa. Lia belasah aje semua." Alia tersengih sambil membawa gelas berisi jus oren ke mulut.
          "Kalau macam tu, Mak Temah buat nasi dagang ye. Syah cakap dia teringin nak makan."
          Alia terdiam. Apa pasal pula aku nak kena ikut menu dia? Tahulah rumah ni dia yang punya, tapi takkan semua nak ikut cakap dia aje.
          "Hmm... Tak apalah Mak Temah. Lia tak makan sangat nasi dagang. Lia beli kat luar aje nanti, lepas balik dari kolej." Alia bangun lalu membawa gelas kosongnya ke singki.
          Mak Temah menggeleng perlahan. Dalam hatinya berdoa semoga kedua-dua orang majikannya itu berbaik semula walaupun dia tidak tahu apa yang berlaku.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Wei! Segar aje. Puasa ke tak ni?" Alia menyapa Julia ketika mereka terserempak di bangunan pentadbiran.
          "Tak, aku cuti." Julia menjawab sambil tersengih.
          "Aku dah agak dah... " Alia berkata sambil menggeleng.
          "Jadi, apa kau buka hari ni?"
          Alia mengangkat bahu. "Tak tahu lagi. Kejap lagi baru nak jenguk bazar ramadan."
          Julia memandang Alia dengan dahi berkerut. "Kenapa pulak? Mak Temah cuti ke?"
          "Taklah, ada aje kat rumah tu."
          "Dah tu, kenapa pulak nak beli kat bazar? Mak Temah tak masak ke?"
          "Masak. Sajalah aku nak ubah angin." Alia menjawab sambil membuka beg tangannya, mencari kunci kereta.
           Julia memandang pelik ke arah sepupunya itu." Aku tak fahamlah. Kenapa pulak nak ubah angin? Kau selalu tak cerewet kalau makan. Balun aje semua benda. Tolak batu dengan kayu aje... " Julia bertanya.
           Alia berhenti. Alia menggagau beg tangannya.
          Julia turut berhenti. "Lia, kau dengar tak aku cakap apa ni?"
          "Hah! Apa kau cakap tadi? Sorry, aku tak dengar." Alia menjawab sambil mengeluarkan segugus kunci dari dalam beg tangannya.
          "Aku tanya kenapa kau nak ubah angin pulak. Kau bukan jenis memilih sangat bab makan."
          "Isy, kau ni banyak tanyalah. Dahlah, kau nak ikut tak aku pergi bazar?"
          "Boleh jugak. Guna kereta kau eh?" Julia tersengih.
          "Yalah, balik-balik aku aje yang kena." Alia mencebik.
          "Dengan sepupu sendiri pun nak berkira!" Alia ketawa sebelum mereka sama-sama masuk ke dalam kereta.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
 Alia mengeliat sambil meregangkan tubuh. Matanya memandang langit biru di atas kepala. Sesekali angin pagi bertiup lembut membuatkan tubuhnya menggigil. Dia yang hanya mengenakan piyama dan baju panas itu berdiri tercegat mengalihkan pandangan ke arah tembok tinggi di hadapannya.
          Alia berpusing menghadap rumah banglo dua tingkat itu. Dalam hatinya mengakui tanpa rela yang lelaki itu memang seorang arkitek yang kreatif. Tak pernah lagi dia jumpa reka bentuk rumah macam apa yang dilihatnya. Matanya dihalakan pada dinding kaca yang terletak di balkoni atas. Dinding di bahagian atas diperbuat daripada kaca gelap yang memantulkan cahaya matahari. Balkoni atas pula dipisahkan dengan ruang antara pintu biliknya dan pintu bilik lelaki itu. Pandangannya diturunkan ke bawah, dinding yang direka sama seperti di tingkat atas.
          Alia tertanya-tanya kenapa perlu membina dinding kaca seperti itu. Bukankah susah untuk membersihkannya nanti. Satu kerja pila nak pasang langsir banyak-banyak.
          Alia teringat rumah dalam drama Korea yang berjudul Full House. Bibir mengukir senyum tanpa sedar. Layan Korea juga ke mamat ni. Dalam hati nak tergelakbagai nak gila. Hari tu angau duduk tenung bulan, ni layan cerita Korea pula. Sengih tak lekang di bibir. Matanya dilarikan pada ruang masuk di bahagian tepi. Terdapat laluan beratap yang didirikan menggunakan batu sungai.
          Alia menggeleng. Dahsyat betul pemikiran lelaki ini. Memang berfikir di luar alam betul. Alia mengeliat lagi. Terasa mengantuk pula. Dia menjeling jam di tangan. Pukul 8.00 pagi. Lepas subuh tadi memang sengaja dia tidak tidur. Cuti hari Sabtu memang rugi kalau habiskan masa dengan tidur aje. Lagipun, dia dah cakap dengan Mak Temah yang buka hari ni dia ingin nak makan nasi tomato dengan ayam masak merah. Memang terliur aje bila teringat. Balas dendam balik pasal semalam dia terpaksa makan nasi bungkus masa berbuka.
          Alia memusingkan badannya ke kanan. Matanya memandang kereta Honda Accord putih di hadapannya. Dia menjeling ke arah pintu depan sebelum berjalan perlahan-lahan mendekati kereta tersebut. Matanya memerhatikan setiap inci bentuk kereta tersebut. Riak cemburu terpancar dalam benaknya. Memang dari dulu lagi dia mengimpikan kereta buatan Jepun itu. Matanya dihalakan ke arah kereta Myvi berwarna ungu yang dipakir di sebelah Honda Accord putih itu. Memang perbezaan ketara. Macam langit dengan kerak bumi.
          Alia tersenyum pahit. Hanya itu yang dia mampu dan dia bersyukur. Baru sahaja dia hendak menyentuh badan kereta tersebut, tiba-tiba pintu pagar terbuka secara automatik. Spontan dia memaling memandang ke arah pintu depan. Tak ada sesiapa yang buka pintu. Matanya dihala pula pada pintu pagar separuh terbuka itu. Hampir terkeluar biji matanya ketika melihat lelaki itu sedang berjalan masuk ke dalam kawasan rumah. Matanya dihalakan pada pakaian lelaki itu yang berseluar sukan putih dan berbaju-T warna senada.
           La, aku ingat terbongkang atas katil lagi. Rupanya pagi-pagi dah keluar pergi joging. Puasa-puasa pula tu. Alia berkata dalam hati.
          Tu apa hal pula berdiri dekat-dekat kereta aku tu? Nak calarkan kereta aku ke apa? Syah berkata dalam hati apabila melihat Alia berdiri betul-betul di hadapan pintu tempat duduk pemandu.
           Alia menggigit bibir sebelum berjalan menjauhi kereta lelaki itu. Mukanya terasa panas kerana dia menyedari yang lelaki itu mungkin nampak apa yang mahu dilakukannya. Tak pasal-pasal nanti dia ingat aku nak calarkan kereta dia pula. Argh! Alia mengerutu dalam hati. Dia mengeliat perlahan. Matanya yang mengantuk tu dihalakan ke sebelah kiri. Keningnya terangkat sebelah. Aik, sejak bila ada gelanggang bola keranjang ni? Sebelum ni tak perasan pun. Alia tersenyum lebar. Boleh ajak abang lawan bola keranjang.
          Kening Syah bertaut. Apa kes pula senyum sorang-sorang pula. Syah bertanya dalam hati ketika melihat ke arah Alia yang tersenyum seorang diri sambil memandang gelanggang bola keranjang. Tak pernah tengok gelanggang bola keranjang ke apa?
          Alia mengeliat buat kali terakhir sebelum membuat keputusan masuk ke dalam rumah. Mengantuk sangat. Tidur kejap tak apa kut. Tak makruh, kan? Alia berkata dalam hati sambil mengayun langkah menuju ke pintu utama. Namun, kakinya terhenti apabila melihat lelaki itu sedang duduk di muka pintu, membuka kasut joging berwarna hitam. Alia menggigit bibir. Baru teringat akan sesuatu. Nak cakap ke tak, nak cakap ke tak.
           Syah tunduk menanggalkan kasutnya perlahan. Sengaja mahu berlambat-lambat ketika dia sedar Alia sedang berdiri tercegat di hujung garaj. Senyum hampir terukir di bibir. Tahu benar yang selama ini Alia sering melarikan diri ketika mereka bertembung. Hati Syah tertanya-tanya adakah Alia akan berpusing membelakanginya dan masuk ikut pintu belakang kerana dia yakin yang Alia takkan masuk ikut pintu depan kalau dia duduk depan pintu menghadang pintu masuk.
          Alia tercegat berdiri di situ. Otaknya ligat berfikir. Kalau tak cakap sekarang, bila lagi? Nanti tak pasal-pasal kena buat sesi soal jawab dengan ibu macam selalu.Tak sanggup!
          Alia menarik nafas dalam-dalam. Air liur ditelan beberapa kali. Dengan berat hati, kakinya diayun mendekati lelaki itu.
          Kening Syah terangkat sebelah ketika dia melihat dengan ekor matanya. Alia menghampirinya. Eh, biar betul? Tak lari pulak budak ni. Datang dekat lagi ada.
          Mata Syah masih tertumpu pada ikatan tali kasut yang sengaja ditarik keluar walaupun perbuatan itu tak perlu.  
          Alia berhenti beberapa kaki daripada Syah yang masih menunduk itu. Apa benda entah yang lama sangat buka kasut. Pakai pandai, takkan buka tak reti? Alia menjulingkan biji matanya.
          "Err, semalam ibu call... "Alia bersuara sambil memandang Syah. 
          Senyap.
          Alia mengetap gigi, cuba menahan sabar ketika Syah mendiamkan diri. Dia ni dengar ke tak apa aku cakap ni? Alia dah panas hati.
          "Ibu call... Ajak kita berbuka sama." Alia terdiam.
          Senyap. 
          Memang sengaja nak cari pasal ni. Aku cakap, boleh buat tak dengar pula. Alia menarik nafas dalam-dalam. Bulan-bulan puasa ni tak baik marah-marah. Alia cuba menenangkan diri.
          "Tapi kalau awak sibuk, saya boleh cakap pada ibu yang awak tak... "
          "Bila?" Syah mengangkat kepala memandang wajah Alia.
          "Malam esok." Alia menjawab perlahan. 
           Minta-minta kau ada hal. Alia berdoa dalam hati. Syah terdiam seketika, sengaja membiarkan Alia menunggu tercegat berdiri di situ. Memang pecah rekod kalau gadis itu dapat kekal berdiri di situ selama lima minit. Lambatnya fikir. Adoi, lenguh dah kaki aku ni. Alia merungut. 
           "Okey." Syah menjawab.
           Alia tercengang.
           "Err... Apa yang okey?" Alia bertanya.
           Kening Syah terangkat. "Aik, sempat pulak mengelamun." Senyum terukir di bibirnya.
           Ketawakan akulah tu. Alia mencebik. 
          "Okey, kita buka dengan ibu esok. Abang dengan abah sekali?" 
          Alia mengangguk lemah.
          Baru nak seronok-seronok dengan keluarga sendiri... Alia merungut dalam hati.
          Senyum tak lekang di bibir Syah. Tahu sangat apa yang bermain di fikiran Alia.
          "Tak apalah kalau macam tu. Nanti saya cakap dengan ibu." Alia berkata perlahan. Dia berpusing ke belakang.
          "Nak pergi mana pulak tu?" Syah mengangkat kening.
          Alia spontan berpaling.
         "Masuk ikut pintu belakang."
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
 "Adik, tolong keluarkan pinggan dari bawah kabinet tu."
          Alia berjalan menuju ke kabinet bawah dapur lalu mengeluarkan beberapa biji pinggan seperti yang disuruh oleh ibunya. Kemudian dibawa pinggan tersebut ke singki untuk dibilis. Lama tak guna mestilah berhabuk. Alia mencapai tuala kecil, lalu mengelap pinggan yang telah siap dibilas itu sebelum membawanya ku ruang makan dan diletakkan di atas meja. Telinganya menangkap gelak ketawa di ruang tamu tempat abah, abang dan Syah duduk berbual.
          "Entah apalah yang digelaknya. Abang pun dah join pakatan Axis dengan Syah. Boleh pula gelak ketawa macam tu." Alia mengomel sendiri sambil menyusun pinggan dia atas meja.
          Ibu datang sambil menatang sebiji mangkuk besar berisi tomyam seafood. "Adik, tolong angkat ikan pari bakar kat dapur tu. Sekali dengan siakap masak tiga rasa tu." Ibu meletakkan mangkuk berisi tomyam itu di tengah-tengah meja. Alia akur sambil mengayun langkah menuju ke dapur.
          "Uit, buat apa tu?" Suara tu begitu dekat di telinganya.
          "Tak buat apa pun... Sidai baju... " Alia menjawab sambil memutarkan bebola matanya. Aidil ketawa sambil menarik rambut Alia yang diikat tocang satu lepas panjang hingga ke pinggang.
          "Sakitlah, abang... Bulan-bulan puasa ni cuba kurangkan dosa sikit. Ini tak, kerja sakat orang aje." Alia merungut sendiri.
           Aidil ketawa lagi. "Jadi-jadilah perangai tu macam budak-budak. Ingat sikit. Awak tu dah jadi isteri... "
          Pap! Penutup bekas biskut melayang di belakang Aidil.
          "Jangan sebut." Alia menjeling. 
          Aidil tersenyum sambil menggelengkan kepala.
          "Adik, adik... Entah bila nak berubah." Aidil berkata sendiri.
          "Nah, tolong letak atas meja." Alia menghulurkan dua biji pinggan yang berisi ikan pari bakar dan siakap masak tiga rasa ke arah Aidil sementara dia menatang dulang berisi jus jambu.
          Alia mengekori Aidil dari belakang. Alia menjeling sekilas ke arah Syah yang telah sedia mengambil tempat di meja makan bersama-sama abah dan ibu.
          "Dah, cepat. Nak masuk waktu buka dah ni." Tegur ibu. Alia menarik kerusi di sebelah Aidil.
          "Eh, adik buat apa duduk situ. Pergilah duduk sebelah Syah tu." Ibu menegur ketika Alia melabuhkan punggung di sebelah Aidil. Alia menggigit bibir. Masalah dah datang balik. Sempat di menjeling ke arah Syah yang tidak beriak tu.
           Aidil di sebelah sengih penuh makna.
          "Alah, ibu... Sama aje duduk mana pun." Alia menjawab sambil menghulurkan gelas-gelas berisi jus jambu.
           Ibu menggeleng.
          "Dah, depan rezeki jangan nak bertekak. Tu azan dah berkumandang. Syah, baca doa berbuka." Abah bersuara.
           Syah menurut tanpa bantahan. Semua yang berada di meja makan, mengaminkan doa yang dibaca oleh Syah.
          Alia meraup muka setelah selesai mengaminkan doa. Tangannya lantas mencapai sebiji kurma. Sunat berbuka dengan didahului dengan benda manis macam kurma.
          Aduh, ini yang lemah ni... Udang tak berkopek, macam mana ni... ? Alia menggigit bibir. Dia memandang Aidil di sebelah yang sedang khusyuk menikmati siakap tiga rasa sambil berbual dengan abah. Dia menyinggung Aidil dengan siku.
          Spontan Aidil menoleh. "Apa?" Aidil mengangkat kening.
          "Tolong... " Aidil tersengih sambil menolak beberapa ekor udang galah di dalam pinggannya.
          "La, dari kecik sampai besar, takkan tak reti-reti lagi nak kopek udang sendiri?" Aidil menggeleng kepala namun diambil juga udang tersebut lalu dibawa ke pinggannya. "Ingat kalu dah naik pangkat daripada cik ke puan ni, bolehlah Syah ambil alih tugas abang. Tapi, nampaknya sama aje... " Selamba Aidil menutur.
           Syah mengangkat muka.
           Alia menggigit bibir.
          Aidil hanya tersenyum.
          Memang nak kena abang aku sorang ni. Saja nak kantoikan aku depan ibu dengan abah. Alia mengerutu perlahan.
          "Lia ni Syah, memang sejak kecik lagi tak suka makan udang sekali dengan kulit. Lepas tu, mesti suruh orang lain tolong kopek. Katanya tak tahu macam mana nak kopek kulit tu." Terang ibu panjang lebar.
           "Nah, lain kali suruhlah Syah tolong kopek. Takkan dah jadi isteri orang pun asyik nak cari abang aje... " Aidil meletakkan udang yang telah siap berkopek tu ke dalam pinggan Alia. Sengih mengusik terukir di bibirnya.
          Alia menjeling. Huh! Asyik kena buli aje aku dengan abang hari ni.
          Alia menunduk sambil menikmati udang yang telah dikopek. Tiba-tiba hatinya terasa sedih. Abang pun dah tak sayang dirinya agaknya sejak kahwin dengan lelaki pemusnah hidup itu. Dia mengangkat kepala sedikit dan menjeling tajam ke arah Syah yang duduk di hadapannya. 
          Kening Syah bertaut. Ni apa gaya jeling orang macam nak tembus ni. Syah berkata dalam hati ketika pandangan mereka bertembung.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Adik, raya tahun ni kita balik kampung Kuala Kangsar ya?"
           Tangan Alia yang sedang sibuk membilas pinggan mangkuk yang digunakan untuk makan berbuka tadi terhenti. 
           "Adik, dengar tak ibu cakap ni?" Soal ibu lagi.
           "Hmm... " Alia menyambung kerja membasuh pinggannya.
           Ibu memandang belakang badan anak gadisnya itu. "Atok dengan opah teringin sangat nak jumpa adik. Mereka rindu dekat adik. Adik dah lama sangat tak balik kampung."
           Alia masih mendiamkan diri. Hanya kedengaran bunyi pinggan dan mangkuk yang berlaga dengan singki. Ibu berjalan merapati Alia. 
           Alia hanya diam tidak bergerak ketika tangan ibu jatuh di atas bahunya.
          "Adik, opah sampai sakit-sakit rindukan adik." Suara ibu kelihatan memujuk.
          Alia menggigit bibir bawah. Hatinya tiba-tiba berasa sebak. "Tengoklah ibu. Adik tak bincang lagi dengan... Err... Syah... " Terasa panas wajahnya ketika menyebut nama lelaki itu sejak mereka berkahwin. 
           "Ibu dah tanya Syah tadi, dia cakap tak kisah kalau raya tahun ni kita beraya di kampung."
          Alia mengetap gigi apabila mendengar kata-kata ibunya itu. Berani lelaki tu buat keputusan tanpa berbincang dahulu dengannya.
          "Kita balik kampung ya?" Suara ibu sayup-sayup kedengaran seolah-olah terbang dibawa angin. 
 

No comments:

Post a Comment