Monday 16 May 2016

Bab 12 Kerana Dia Suamiku by...Cahaya Ainn


Alia menyandarkan tubuh ke dinding. Kakinya disila di atas kerusi. Gelas berisi jus jambu dibawa ke bibir. Fikirannya menerawang berfikir tentang sesuatu. Telinga berdentum dengan lagu Avril Lavigne. Volume dipulas sehingga habis. Gegendang dah terasa sakit, namun dia tidak mengendahkan. Fikirannya agak berserabut. Matanya dipejam. Cuba mengosongkan fikiran. Cuba menjadikan lirik lagu yang berdentum di telinganya sebagai pusat tumpuan untuk mengenyahkan fikiran yang satu lagi. Matanya dibuka apabila dia terasa seperti ada sesuatu yang bergerak. Dadanya berdebar.
          Alia menoleh ke dapur yang gelap. Matanya dikecilkan sebelum mengalihkan pandangan. Ingatkan apa dia tadi . Alia mengumam dalam hati.
          Syah berjalan menuruni tangga menuju ke dapur. Hampir nak tercabut jantung melihat gadis itu sedang duduk bersila di atas kerusi di ruang tengah tanpa memasang lampu. Ruang itu kelihatan samar-samar yang datangnya dari lampu luar.
          Apa gaya duduk sorang-sorang dalam gelap ni? Syah berkata dalam hati ketika berjalan melintasi gadis yang sedang bersandar sambil memejamkan mata ketika dia menuju ke dapur.
          Alia tidak ambil pusing. Gelas dibawa ke bibir lagi. Otaknya ligat berfikir.
          Syah berjalan menghampiri Alia. Tangannya mencapai botol jus jambu yang terletak di atas meja. Kerusi ditarik perlahan sebelum duduk.
          Alia mengeluh. Tidak langsung memandang Syah yang sedang menuang jus jambu dan duduk bertentangan dengannya.
           Kening Syah terangkat. Dah gaya macam fikir masalah negara aje lagaknya.
          Alia menggigit bibir. Earphone di telinga ditarik dan diletakkan MP3 di atas meja. Jarinya bermain-main bibir gelas., mengikut bentuk bulat tersebut.
          "So, tell me. What about us?" Alia bertanya tanpa memandang lelaki di sebelah sana.
          Syah mengerutkan dahi. "What?" Syah mengintai Alia dari celah gelas ketika dibawa ke bibir. Alia menarik nafas panjang.
          "Perkahwinan kita, sampai bila?" Alia bertanya perlahan. 
          Syah terdiam. Apa hal pulak buka topik pasal hal ini memalam buta ni. Syah menolak gelas ke tepi.
          "I'm waiting." Alia bersuara lagi.
          "Kenapa tiba-tiba bukak topik ni?" Syah bertanya dengan hati-hati.
          Alia memandang wajah Syah yang kelihatan samar-samar di bawah cahaya lampu garaj. "Saja, lambat-laun kena cakap jugak pasal hal ni, betul tak? Jadi, kenapa tak mula sekarang aje?" Alia membawa gelas tersebut ke bibir lagi.
          Syah mengeluh perlahan. "Okey, awak nak macam mana?" Syah bertanya perlahan. Giliran Alia pula terdiam.
          "Saya rasa awak dah tahu jawapannya." Alia menjawab perlahan.
          "Jadi?" Syah bertanya.
          Alia menarik nafas dalam-dalam.
          "Jadi, saya tahu kita berdua nak benda yang sama. Tapi, saya tak ada alasan untuk berhentikan apa yang berlaku semua ni. Sekarang, terpulang pada awak."
          "Kenapa pulak saya? Awak yang bangkitkan hal ni dulu. Kenapa pulak asyik saya aje yang kena cari alasan untuk tamatkan perkahwinan kita?" Syah bertanya tak puas hati.
          Alia menjeling tajam ke arah lelaki itu. "Sebab memang awak ada alasan pun. Sejak dulu lagi. Kenapa awak tak nak guna?" Alia bertanya keras. Sakit hati kerana lelaki itu masih mahu bermain tarik tali lagi.
          "Oh ye ke? Alasan apa?" Syah bertanya sinis.
          Alia mengetap bibir.
          Apalah masalah mamat ni. Terus terang aje tak boleh ke? Suka sangat nak seksa hidup aku.
          "Saya tahu awak ada... Err... Makwe. Jadi... " Alia terdiam. Tekak terasa pahit ketika menyebut dua perkataan terakhir tu.
          Dahi Syah berkerut. Merepek apa pulak minah ni malam-malam. Tak faham bahasa aku dibuatnya. Syah menggeleng perlahan sebelum menarik gelas dan di bawa ke mulut.
          "Awak dengar tak saya cakap ni?" Alia bertanya sambil mengerutkan dahi memandang wajah Syah. Syah terdiam.
          Tu malu pasal dah terkantoi ke apa entah. Senyap pula. Alia menuang jus jambu lagi ke dalam gelasnya.
          "Awak tak payahlah nak rasa malu ke apa. Saya tak kisah pun." Mendatar Alia menjawab.
          Syah mengangkat kening sebelah ketika memandang wajah Alia. Ya ke tak kisah kalau aku ada girlfriend lain? Syah bertanya dalam hati. 
          Ya ke aku tak kisah? Alia bertanya sendiri.
          "Mana awak tahu?" Syah bersuara mengikut rentak Alia.
          Alia berdehem perlahan. Jadi betullah ya. Tu girlfriend kau. Senyum pahit terukir di bibir tanpa sedar.
          "Saya nampak. Err... Dekat medan selera." Alia menelan air liur.
          Syah diam sambil berfikir dalam-dalam.
          Alia menoleh sambil mengangkat kening. "Jadi?"
          "Jadi... " Bibir Syah mengukir senyuman.
          Eii... Main-main pula mamat ni. Aku baling gelas ni baru tahu. Alia memandang wajah Syah yang tersenyum tu.
          "Jadi, awak cemburu ke?"
          Alia membulatkan matanya. "What?"
          Syah tersentak. "Awak ni kenapa nak memekik tengah-tengah malam? Buatnya Mak Temah terjaga, haru aje."
          "Siapa suruh awak mengarut." Alia menjeling.
          "Saya cuma cakap aje."
         Alia menjeling sebelum merungut. Kalau sekali jeling boleh tembus mamat ni kan bagus. Buat sakit hati aje.
          "Jadi, macam mana?" Alia bertanya lagi.
          "Macam mana apanya?"
          Alia menggenggam penumbuk di bawah meja.
          "Awak jangan main-main boleh tak?" Alia bersuara keras. Namun riak wajah Syah masih tak berubah. Dalam hati mengakui yang gadis itu semakin cantik jika dia marah.
          "Bila pulak saya main-main?" Selamba Syah menjawab.
          "Nanti awak cakap dengan keluarga kita yang kita nak bercerai pasal awak dah jumpa perempuan yang lebih sesuai untuk awak." Laju saja kata-kata tu meluncur dari bibir Alia sehinggakan dia sendiri bagai tak percaya mampu menuturkan ayat tu macam tu aje.
          Syah yang sedang meneguk jus jambu hampir tersedak apabila mendengar kata-kata Alia tu.
          "Jangan nak merepeklah." Syah mengelap bibir dengan belakang tangan. Tak pasal-pasal tersembur macam tu aje.
          Habis tu, nak buat macam mana?" Alia dah naik berang. Penat nak main tarik tali.
          "Kita biar ajelah macam tu aje. Saya tak nak jadi satu-satunya yang merosakkan perkahwinan ni. Nanti keluarga kita ingat awaklah satu-satunya mangsa keadaan dan saya pula dicop sebagai lelaki jahat."
           "Awak memang jahat pun!" Hambur Alia tanpa berfikir panjang.
          "Kenapa pula?"
          "Sebab awak ada perempuan lain sedangkan awak tu dah ada isteri."
          Kening Syah hampir bertaut. Aku salah dengar ke? Namun, senyum semakin melebar di bibirnya.
          Alia terdiam serta-merta. Apa aku merepek ni?
          "Dia boleh jadi isteri kedua saya. Lelaki yang ada dua isteri bukannya satu jenayah, kan?" Selamba Syah menutur.
          Raut wajah Alia berubah. Dia cuba menahan perasaan yang bercampur-baur di dalam benaknya. Marah, sedih dan kecewa bercampur menjadi satu sehingga dia sukar untuk bernafas.
          "Okey. Kalau awak nak jadikan girlfriend awak tu isteri, saya tak ada masalah. Tapi ingat, lepaskan saya." Alia bangun lalu berjalan menuju ke tangga untuk ke tingkat atas meninggalkan gelas separuh kosongnya di atas meja.
           Syah memandang Alia yang sedang berjalan laju memanjat tangga menuju ke tingkat atas. Dia tersandar ke dinding. Lain yang dirancang, lain pula yang jadi. Dia memejamkan mata seketika sebelum bangun dan membawa gelasnya yang kosong dan gelas Alia menuju ke singki lalu dicuci sebelum disimpan kembali di raknya. Kakinya diayun lemah menuju ke tangga untuk ke tingkat atas.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Abang, macam mana ni? Syaila dah tak sanggup dah."
          Syah terdiam seketika sambil memandang ke arah gadis di hadapannya yang kelihatan gelisah.
          "Abang nak buat macam mana, Syila kena tunggu jugak. Abang rasa masanya belum sesuai." Syah menjawab sambil mengacau kopi di tangan.
          Syila memeluk tubuh. Jus nanas di hadapannya tidak bersentuh sejak kali terakhir pelayan membawa pesanan mereka tadi.
          "Syila dah tak sanggup nak tunggu lagi. Abang please... Jiwa Syila dah cukup terseksa." Syila bersuara seolah-olah merayu.
          Syah mengeluh perlahan. "Itu kan pilihan Syila dulu. Syila cakap sanggup tunggu."
          Syila terdiam. Terdapat manik jernih di tubir matanya.
          "Macam nilah, bagi abang masa dulu. Abang selesaikan satu dua perkara dulu, boleh?" Pujuk Syah lembut.
          Syila mengangguk perlahan sebelum menyedut minuman di hadapannya. Sesekali tangan menyeka air mata yang hampir mengalir di pipinya.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
 Alia menunduk sambil khusyuk menanda kertas jawapan peperiksaan para pelajarnya. Bunyi lagu yang datang dari komputer ribanya sengaja dipasang kuat. Sesekali tangannya terhenti berfikir dan memeriksa jawapan-jawapan yang diberikan oleh para pelajarnya, berkira-kira perlu diberikan markah, ditolak markah atau tidak diberikan markah langsung. Tanda kertas Matematik bukan macam tanda kertas lain. Salah sikit memang salah semuanyalah. Tak ada nak markah kesian ke apa walaupun hanya melibatkan kesalahan kecil seperti tempat perpuluhan.
          "Lia, ni Mak Temah ada bawak coklat panas." Alia mengangkat kepala.
          "Terima kasih Mak Temah." Alia mencapai gelas tersebut sebelum meneguk perlahan. Tekak memang rasa dahaga dari tadi, tapi serabut punya pasal malas pula nak ke dapur.
          "Banyak sangat ke kerja Lia? Mak Temah tengok dah mengalahkan Perdana Menteri." Mak Temah menarik kerusi lalu duduk. Alia tersenyum kelat.
          "Memang banyak kerjalah Mak Temah. Biasalah bila dah lepas exam ni. Sibuk nak tanda kertas budak-budak ni. Nak buat tu, nak buat ni." Alia meregangkan tangan ke atas. Lenguh mak oii.
           "Tak apalah kalau macam tu. Mak Temah nak masuk bilik dulu. Lia tak apa kan?"
          "Tak apa. Mak Temah pergilah masuk tidur dulu. Lia nak habiskan kerja dulu ni." Alia menjawab sambil memandang tubuh orang tua itu sehingga hilang dari pandangan. Dia kembali tunduk meneruskan kerja-kerjanya. Telinganya menangkap bunyi kereta memasuki garaj. Spontan matanya memandang jam pada dinding yang menunjukkan hampir pukul 11.00 malam. Namun dia tidak ambil pusing. Masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan.
          Syah memulas tombol perlahan sebelum membuka pintu lebar-lebar. Tubuh terasa penat kerana seharian berada di luar pejabat berjumpa dengan klien. Keningnya terangkat ketika mendengar bunyi bising datangnya dari ruang tamu. Kakinya segera diayun masuk ke dalam rumah.  
          "Patutlah rumah dah rupa macam disko, lepak kat sini rupanya." Syah memandang ke arah Alia yang sedang tunduk membuat kerja di meja panjang yang terletak di ruang tamu. Meja itu selalu digunakan jika ada tetamu yang datang dan akan makan di situ. syah terus melintas ruang tersebut untuk naik ke tingkat atas. Rasa marahnya pada lelaki itu masih berbara dalam hati.
          Syah berjalan menuruni tangga lalu ke dapur. Menarik pintu peti sejuk lalu mengeluarkan jag berisi air oren dan dituang ke dalam gelas sebelum kaki diayun ke ruang tamu. Sempat dia menjeling gadis itu yang sedang tunduk. Sekali-sekali gadis itu akan menaip sesuatu pada komputer peribadi yang berdentum lagu entah apa. Syah merebahkan tubuh pada sofa dan mencapai alat kawalan jauh lalu menekan punat. Siaran AXN terpampang di kaca televisyen.
          Alia mengetap bibir lalu menjeling ke sebelah. Memandang belakang kepala lelaki itu yang sedang menonoton televisyen. Alia cuba menumpukan perhatian kembali pada kerjanya namun lagu Linkin Park berselang-seli dengan dialog CSI yang tak kurang juga kuatnya betul-betul mengganggu perhatiannya. Ingat buat kerja kat luar ni bolehlah rileks sikit. Ini tak, datang makhluk pemusnah hidup tu terus otak jadi beku. Alia menghempas buku rujukan yang digunakan untuk menindih kertas jawapan yang telah siap ditanda. Perasaan geram kembali menguasai dirinya.
          Memang sengaja nak cari pasal betul mamat ni. Alia menunduk sambil menanda kertas tersebut. Sesekali dahinya berkerut sehingga beberapa kali tersalah tanda. Yang betul disalahkan dan yang salah dibetulkan. Alia menyandarkan tubuh pada kerusi.
          Naya student aku macam ni. Alia berkata dalam hati. Kepalanya semakin berserabut. Suara televisyen seperti semakin lama semakin dikuatkan dengan sengaja. Alia memejamkan mata cuba bertenang. Jejarinya melarikan tetikus dan menekan butang pause pada Winampnya. Yang tinggal hanya bunyi dari televisyen.
          Syah memasang telinga. Aik, senyap aje, tidur dah ke? Syah menjeling dari balik bahu. Gadis itu sedang memicit dahinya sambil tersandar pada kerusi. Cermin mata ditolak ke atas kepala.
          "Kesian pulak aku nengoknya. Dah rupa macam student buat PhD." Syah berkata perlahan. Pandangannya kembali dihala ke televisyen.
          Alia meraup muka perlahan. Masih terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan. Masa untuk menanda kertas pelajar ni hanya dua minggu saja tempoh yang diberikan. Mana lagi nak carry mark, mana lagi nak buat rekod mengajar...
          Alia memandang siling. Memang setiap kali hujung semester, memang macam tu ajelah rutinnya. Itu belum lagi kena selia budak-budak buat projek tahun akhir. Lagilah tak larat. Rasa nak berjalan pun tak cukup tanah. Alia mencapai pen merahnya semula sebelum kembali menyambung kerja menanda kertas jawapan pelajarnya. Sesekali dia mengeluh perlahan sambil menggigit bibir. Bunyi bising dari televisyen seolah-olah tidak terkawal lagi. Lelaki itu nampaknya nak lancarkan perang saraf gamaknya.
          Alia bangun lalu menolak kerusi ke belakang sebelum kaki laju melangkah ke ruang tamu. Dia berdiri menghadang lelaki itu sambil bercekak pinggang.
          "Bagi remote tu." Ali menghulurkan tangan ke arah Syah. 
          Spontan Syah memegang alat kawalan jauh tu erat-erat. "Nope! Tepilah. Orang nak tengok TV ni." 
          "Cepatlah, bagi remote tu." Alia berkata keras.
          "Tak nak!"
          "Bagi sini!"
          "Tak nak!"
          "Degil eh. Nak kena ke?" Alia mengugut.
          "Nak ambil sendiri." Syah tersenyum mencabar.
          "Muka Alia dah menyinga.
          "Awak cabar saya? Ingat saya tak berani ke?" Alia menjegilkan matanya memandang wajah Syah yang tersenyum sinis seolah-olah mencabarnya.
          "Kalau awak berani... " Syah mengangkat kening.
          "Fine! Jangan menyesal." Alia sempat berkata sebelum meluru ke arah lelaki tu. Syah berdiri sambil mengangkat tinggi tangannya yang memegang alat kawalan jauh tu. Alia terlompat-lompat ketika mencapai alat tersebut. Syah ketawa ketika Alia mencuba menarik tangannya tu.
          "Bagi sinilah!" Alia berkata keras sambil tangannya menarik tangan lelaki tu.
          "Ambillah kalau awak sampai." Syah ketawa besar.
          Alia mengerutkan dahi tanpa mahu mengalah.
          "Isy!" Alia berasa geram kerana dipermainkan lalu dia menolak Syah sehingga jatuh ke atas sofa. Tangan kiri lelaki itu sempat memaut pinggang Alia sebelum mereka bersama-sama jatuh di atas sofa dengan Alia berada di atas tubuh lelaki tu.
          "Aduh." Alia mengerang perlahan. Terasa sakit pinggangnya. Kepalanya diangkat perlahan. Matanya bertembung dengan mata lelaki tu. Rambut panjangnya terurai sehingga jatuh pada wajah lelaki tu. Alia tergumam seketika.
          Syah turut tergamam. Haruman yang datang dari rambut gadis tu menusuk hidungnya. Tangannya spontan menolak rambut yang terurai di wajah gadis tu lalu diselit di belakang telinga. Syah melarikan jari-jemarinya ke pipi Alia tanpa sedar.
          Alia bungkam melihat tindakan Syah tu. Dia menelan air liurnya perlahan-lahan sebelum mengangkat tubuhnya sendiri. Dia mencapai alat kawalan jauh dari tangan kanan lelaki itu lalu menekan butang off sebelum dia berjalan terus menaiki tangga menuju ke tingkat atas. 
          Syah tergamam di atas sofa itu, masih terkejut dengan tindakan dirinya terhadap gadis tu tadi. 
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment