Monday 9 May 2016

Bab 4 Kerana Dia Suamiku by...Cahaya Ainn


"Adik, hujung minggu ni pergilah keluar dengan Syah, cari barang hantaran." Ibu yang sedang duduk sambil melipat kain bersuara. Alia pura-pura tidak dengar. Matanya tertumpu pada slot Cerekarama di televisyen.
          "Adik, dengar tak ibu cakap ni?"
          Alia mengalihkan pandangannya perlahan-lahan ke arah ibunya. "Adik sibuklah ibu. Banyak kerja." Alia menjawab perlahan.
          Ibu berhenti dari melakukan aktiviti melipat kainnya itu. "Habis tu bila lagi nak pergi cari barang-barang hantaran tu? Kenduri bukan lama pun, tinggal sebulan saja lagi." Alia mengalihkan pandangannya ke arah kaca televisyen.
          "Ibu telefon Syah ya?"
          Alia pantas menoleh ke arah ibunya semula.
          "Buat apa nak telefon dia?" 
          "La, keluar dengan dia pergi cari barang hantaranlah. Kalau tak buat sekarang, bila lagi?" Alia menggigit bibir.
           "Tak payahah ibu, dia kan sibuk. Banyak projek, tak payahlah susahkan dia. Nanti adik pergi dengan Ju. Kami cari barang-barang hantaran tu nanti."
           "Pergilah sama-sama dengan dia, senang nak pilih. Nanti ada yang tak berkenan ke apa, kan susah... " Ibu menyambung aktiviti melipat kainnya. 
          "Tak apalah, ibu. Nanti-nantilah adik cakap dengan dia." Alia memandang semula pada kaca televisyen. Dalam mimpilah aku nak cakap dengan dia.
          "Hmm, eloklah tu. Jangan tangguh-tangguh. Nanti kelam-kabut pula. Sementara ibu tak ada kerja ni, boleh lah ibu gubah hantaran adik tu."
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Wei, tak siap lagi ke pilih? Kaki aku macam nak tercabut dah ni."
          Alia tidak ambil pusing. Matanya sibuk membelek beberapa jenis minyak wangi lelaki. Naik pening kepala dengan segala macam bau minyak wangi itu.
          " Cepatlah Lia, aku dah lapar tahap kebulur dah ni." Julia merengek perlahan di sebelah.
          "Kejaplah, aku tengah pening nak pilih yang mana ni." Alia mengambil botol Hugo Boss lalu dibawa ke hidung.
          "Aku peliklah kau ni, dah tahu nak beli barang hantaran kahwin, kenapa kau ajak aku? Kenapa kau tak ajak tunang kau tu?" Tanya Julia sambil membelek beberapa jenis botol minyak wangi yang dibawa keluar oleh penjual itu.
          "Cuba bau, okey tak?" Alia menghulurkan botol Hugo Boss itu ke arah Julia.
          "Bolehlah, tak kuat sangat." komen Julia.
          Alia meletakkan botol tersebut dan mengambil botol DKNY lalu dibawa ke hidung. Julia menggelengkan kepalanya. "Wei, aku tanya tak jawab pulak."
          "Apa dianya?" Alia mengambil botol Polo Black pula. 
           "Kenapa tak ajak Syah aje? Kan senang. Suruh aje dia pilih. Tak payah nak pening-pening." Julia menongkat dagu di atas kaunter tersebut.
           "Malaslah. Kirim salamlah aku nak keluar dengan dia." Alia menjawab sambil meletakkan botol Polo Black itu. 
           "Aku tak fahamlah. Kau orang berdua ni dah hampir dua bulan bertunang, tapi macam musuh aje. Tak baik lagi ke?"
           "Hmm... " Alia membawa botol Tommy Boy ke hidung.
           "Kau cakap nak minta tolong Aidil."
           "Dia pun tak boleh tolong. Entahlah... Aku malas fikir. Terima ajelah. Dah nasib aku. Tapi tak bermakna aku tak ada rancangan walaupun kita orang jadi kahwin." Alia menjawab sambil mengambil botol Hugo Boss kembali lalu dibawa ke hidung. Dia berkira-kira mahu memilih antara Hugo Boss atau Polo Black.
           "Apa maksud kau? Rancangan apa?" Julia duduk tegak.
           "Adalah... "
          "Kau... Kau nak buat rancangan gila apa lagi ni? Kau jangan main-main, Lia. Ini melibatkan dua keluarga. Silap-silap boleh perang besar tahu."
          "Kau jangan risau. Rancangan aku baik punya chilok!" Alia meletakkan botol Hugo Boss dan menghulurkan Polo Black ke arah pelayan yang setia menunggunya dari tadi lagi. 
           "Saya ambil yang ini."
           "Akhirnya... " Julia menarik nafas lega.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Kau tak cakap lagi. apa rancangan kau lepas ni?" Julia membenamkan garpu dalam saladnya sebelum dibawa ke mulut.
          "Lepas ni? Aku nak balik rumah. Penat. Banyak kerja terbengkalai. Kalau tak kerana ibu aku dah membebel-bebel suruh aku cari barang hantaran, tak adanya aku nak buang masa sia-sia macam ni." 
           "Aku bukan tanya rancangan kau lepas ni. Maksud aku, rancangan kau lepas...  Err... Bergelar isteri." Alia yang sedang menyedut minuman, hampir tersembur mendengar pertanyaan Julia.
          "Wei, yang kau kalut sangat tu kenapa?" Julia ketawa sambil menghulurkan tisu ke arah Alia. 
           "Apa yang kau cakap ni?" Alia mengelap mulutnya dengan tisu
           "La, betullah aku cakap. Jadi?"
           "Jadi, apa?"
           "Main-main pulak minah ni, aku tanya serius ni, kang aku rendam kau dalam tomyam ni baru tahu." Alia memutarkan bebola matanya. 
           "Lia! Betul-betullah!"
           "Yalah, yalah... Aku tak pasti lagi. Tapi aku akan rancang sesuatu, rancang sesuatu yang akan membuatkan mamat tu ceraikan aku. Kau tahulah. Kita orang pun takkan nak hidup selama-lamanya kan. Maksud aku... "
           "Lia! Kau... Belum apa-apa lagi kau dah fikir tentang cerai? Kau biar betul!" Mata Julia terbeliak memandang wajah Alia yang selamba menghirup tomyamnya.
           "Kau ni kecohlah, Ju. Itu sebab aku malas nak cerita apa-apa pada kau." Alia menolak pinggan nasi yang telah kosong ke tepi.
          "Seriuslah, Lia... Kau ingat nikah cerai ni benda main-main ke? Kau ingat ni macam kecik-kecik dulu ke? Masa kita main kahwin-kahwin dulu, boleh nikah olok-olok lepas tu cerai!" 
           Alia merenung sekeliling sambil menyedut baki minumannya.
           "Lia! Aku cakap dia boleh buat tak tahu pulak."
           "Dahlah, Ju... Aku dah malas nak fikir. Biar masa aje yang tentukan. Kira okey apa aku tak lari dari rumah." Alia menolak gelas kosongnya ke tepi.
          Julia mengeluh perlahan. "Aku faham perasaan kau. Terpaksa terima lelaki asing dalam hidup kita memang susah. Apatah lagi sebagai suami. Kalau aku pun, belum tentu aku sekuat dan setabah kau." 
           "Tak apalah, Ju. Dah takdir aku macam ni. Nak buat macam mana. Asalkan ibu dan abah aku happy, aku pun tak kisah. Pandai-pandailah aku nak buat macam mana nanti." Alia menjawab.
           "Syah ada adik lelaki tak?"
 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------
 Aliah meluruskan kaki sambil mengurut lehernya perlahan. Terasa berat kepala dengan tudung dan veil di atas kepala. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia menukar pakaian kepada baju-T dan seluar sukan. Matanya menjeling jam pada dinding. Hampir pukul 5.00 petang. Tetamu yang hadir masih lagi kelihatan berpusu-pusu di luar rumah walaupun majlis yang tertera dalam kad jemputan mengatakan yang acara akan tamat jam 4.00 petang.
          Alia merenung wajahnya pada cermin. Seumur hidup, tak pernah dia bersolek macam tu. Walaupun dia meminta mak andam tidak menyolek wajahnya terlalu tebal, namun wajahnya tetap kelihatan lain. Selalunya dia sekadar menyapu bedak asas dan gincu bibir sahaja. Itu pun ketika pergi kerja. Masa lain jangan haraplah nak menghabiskan masa berdandan macam tu.
          Alia merenung tubuhnya yang mengenakan pakaian pengantin berwarna ungu muda. Hatinya agak sebak memikirkan yang dia telah selamat bergelar isteri kepada lelaki asing yang muncul secara tiba-tiba itu. Matanya jatuh pula pada cincin bermata satu di jari manisnya. Cincin itu kelihatan ringkas, namun terasa berat berkali-kali ganda daripada biasa. Dia membayangkan batapa berat bahunya terpaksa memegang status seorang isteri.
          Alia mengurut pelipis. Kepalanya terasa berat. Sejak akhir-akhir ini, dia sering menangis ketika berada bersendirian. Dia hanya mampu melemparkan senyuman plastik ketika berhadapan keluarga dan sanak saudara. Biarlah mereka sangka dia bahagia dengan perkahwinan ini, walaupun hakikatnya, hatinya amat terseksa.
          "Ibu panggil keluar. Masa untuk buka hadiah." 
           Alia merenung wajah lelaki yang berdiri di muka pintu itu melalui cermin. Lambat-lambat dia bangun dan berjalan menuju ke pintu. Dia berdiri di belakang pintu tersebut sambil menarik nafas panjang. Dia perlu mula berlakon kembali. Dia melangkah keluar bilik sambil tersenyum memandang ke arah ibu dan sanak saudara yang sedang menunggunya dihadapan pelamin. Bungkusan hadia-hadiah tersusun di kaki tangga pelamin.
           Alia berjalan dan duduk di sebelah Syah. Dia tidak memandang atau menjeling ke arah Syah yang telah menjadi suaminya itu.
          "Lia, pandang sini."
          Alia spontan mengangkat muka memandang ke arah Julia yang sedang memetik punat kamera. Dia mengingatkan dirinya supaya terus tersenyum sehingga terasa tegang rahangnya.
          "Apa lagi, bukalah hadiah tu." Abah bersuara sambil tersenyum. Alia memandang ke arah Syah di sebelah buat pertama kalinya sejak majlis akad nikah tadi. Syah memberikan isyarat supaya Alia memulakan dahulu acara tersebut. 
           Alia mencapai bungkusan hadiah bersaiz sederhana besar yang terletak di hadapannya itu. Dia membaca nama pada kad yang tertera di bahagian atas bungkusan itu. Dia tidak mengenali nama yang tertera pada kad tersebut. Dia menunjukkan pada Syah di sebelah.
          "Oh, salah seorang kawan saya." 
          Alia menarik kembali bungkusan tersebut sebelum mengoyakkan pembalut hadiah berwarna hitam dan putih itu dan membuka kotak tersebut. Set pinggan mangkuk.
          "Giliran awak." Alia berkata perlahan. 
           Syah mencapai bungkusan yang agak besar dihadapannya lalu membaca nama pengirim bungkusan itu. Alia tidak ambil pusing. 
          Syah membuka balutan tersebut dan mendedahkan isinya. Periuk nasi.
          Mereka bergilir-gilir membuka hadiah tersebut sambil disaksikan oleh sanak saudara dan keluarga. Sesekali riuh kedengaran apabila mereka saling berbual dan usik-mengusik. Alia memainkan peranannya dengan baik sekali walaupun hatinya menangis.
          Julia dan jurugambar yang diupah khas sibuk merakamkan detik itu. Alia mencapai sebuah bungkusan yang agak kecil dan ringan. Dia mengoncangkan kotak tersebut dan mencari nama pengirim, namun tiada. Alia memandang Syah di sebelah. Syah mengangkat kening, Alia memandang kembali bungkusan di tangannya sebelum mengoyakkan bungkusan tersebut berhati-hati. Mukanya merah padam apabila sehelai baju tidur jarang dan berenda berwarna hitam itu jatuh di atas ribanya.
          Kecoh seketika sanak saudara apabila melihat isi kandungan tersebut. Alia tidak berani menjeling Syah di sebelah. Dia menarik keluar kad yang terjuntai dari baju tersebut. Giginya digetapkan ketika membaca kad tersebut. Matanya memandang tajam ke arah Julia yang tersengih-sengih di hujung sana. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah.
          Syah di sebelah tidak tahu hendak bereaksi macam mana. Macam nak terkeluar juga biji mata bila tengok hadiah daripada Julia tu. Namun dalam hati rasa macam nak tergelak bila tengok muka Alia dah macam orang nak menangis, malu punya pasal.
          "Awak pula... " Alia bersuara perlahan tanpa mengangkat kepala ketika dia berkata kepada Syah mengingatkan tentang giliran Syah membuka hadiah. 
           Fuh! Mintak-mintak dia pula kena hadiah pelik-pelik. Aku nampaklah kau gaya-gaya nak gelakkan aku tadi. Alia berkata dalam hati ketika Syah membuka hadiah.
          "Assalamualaikum... "
          Semua kepala memandang ke arah pintu. Alia tergamam ketika ketika memandang ke arah tuan punya suara. Tubuhnya kaku. Syah menjeling ke arah Alia yang sudah rupa patung cendana. Kaku tak bergerak.
          Alia segera bangun, meningggalkan Syah di sebelah yang kelihatan tercengang.
          "Aidil?" Julia bersuara sambil memandang tidak percaya. Alia berjalan laju menuju ke pintu lalu dipeluknya lelaki itu erat-erat. Air matanya bergenang.
          Lelaki yang dipanggil Aidil itu turut membalas pelukan Alia. Syah mengetap gigi. Ini apa kes nak buat drama tengah-tengah keluarga dan sanak saudara tengah berkumpul. Encik Moktar dan Puan Diana, ibu dan ayah Syah saling berpandangan sebelum memandang wajah Syah yang berkerut seribu itu.
          Dalam hati Syah terselit perasaan cemburu dan marah. Cemburu kerana dia sebagai seorang suami pun belum dapat melakukan seperti yang lelaki itu lakukan terhadap Alia dan marah kerana Alia sanggup memalukannya di hadapan keluarga. Kalau betul pun Alia ada lelaki lain, kenapa dia perlu dimalukan seperti itu.
          Alia melepaskan pelukannya. Air matanya mengalir laju. Aidil mengesat air mata yang mengalir di pipi Alia.
         "Abang datang... " Alia berbisik perlahan.
         Aidil tersenyum. "Sorry... Abang terlepas majlis adik." 
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Mana adik ipar abang?" 
           Alia hanya memekakkan telinganya. Dia mengatur dan menyusun pinggan-pinggan yang digunakan semasa kenduri siang tadi.
          "Adik, abang tanya ni. Isy, buat tak tahu pulak dia." Aidil menggosok kepala Alia yang bertudung itu.
          "Isy, abang ni. Orang tengah sibuk ni." Alia menepis.
          Aidil hanya ketawa. "Syah mana?" Aidil memandang sekeliling.
          "Entah, tak tahu." Alia menjawab acuh tidak acuh. Tangannya sesekali menekan butang MP3nya, melaraskan volume supaya tidak menggangu pendengarannya.
          "La, suami sendiri pun tak tahu kat mana ke? Tak takut lari ke?" usik Aidil.
          "Lagi bagus." Alia menjawab perlahan.
          Aidil terdiam. Senyuman terukir di bibir.
          "Kenapa ni? Takkan gaduh kut. Belum lagi tidur sekatil dah berperang." Aidil memeluk bahu Alia.
          Alia menolak. "Apa benda abang cakap mengarut ni... " Alia merungut, namun mukanya kelihatan merah.
          Senyuman Aidil semakin lebar. "Merahnya muka tu, boleh goreng telur tahu."
          "Abang!"
          Ketawa Aidil pecah.
          Alia menjeling. "Abang ni... Tak patut tahu. Baru balik dari UK, lama tak jumpa. Alih-alih sibuk tanya pasal orang lain." Alia merungut.
          "La, merajuk pulak dia. Meh sini meh. Ala-ala sayang busuk." Aidil menarik tangan Alia. Namun Alia menarik kembali tangannya.
          "Tak payah nak pujuk-pujuk." Alia berkata separuh merajuk.
          Aidil tersenyum. Sudah jadi isteri orang pun perangai tidak berubah. "Janganlah marah. Kesian Syah malam nanti."
          "Abang! Eii, teruklah." Alia membaling kain buruk yang digunakan untuk mengelap pinggan basah tadi ke arah Aidil. Aidil sempat mengelak. Ketawanya semakin kuat apabila melihat wajah Alia yang semakin merah padam itu.
          "Yalah, yalah... Sorry... " Aidil mengangkat tangan tanda menyerah. 
          Alia menjeling. "Kenapa abang lama tak call adik? Abang buat apa kat UK tu sampai adik sendiri pun lupa... " Tanya Alia perlahan. Tangannya lincah menyusun gelas kaca di atas dulang.
          Aidil duduk tegak memandang Alia. "Abang sibuk sikit dik. Adik bukan tak tahu. Kerja dengan mat salih ni susah. Semua kena perfect.
         "Takkan abang sibuk sampai tak ada masa nak call adik. Sekurang-kurangnya hantarlah e-mail."
          Aidil terdiam. Dia melepaskan keluhan berat. Memang dia tidak nafikan yang hampir sepanjang tahun ini dia sibuk betul dengan urusan kerja yang tidak putus-putus sehingga berita Alia ingin melangsungkan perkahwinan pun baru sebulan lebih dia tahu. Itu pun sebab Alia telefon untuk meminta bantuan untuk 'melarikan' dirinya ke UK. Tapi dia tak cukup gila untuk buat kerja-kerja tak masuk akal macam itu. Walaupun hatinya bagai dicarik-carik ketika mendengar tangisan Alia sewaktu menceritakan apa yang berlaku kepada dirinya. Dia tidak mampu hendak bertindak bodoh macam itu. Dia tidak sanggup mengecewakan ibu dan abah.
          "Adik jangan marah. Abang bayar hutang tu cash punya." 
           Alia menoleh memandang ke arah Aidil yang sedang bersandar pada dinding. "Apa maksud abang? Kalau setakat ABC Pak Taib... "
          "Abang dah transfer tempat kerja kat sini." Aidil memotong kata-kata Alia itu.
          Alia terdiam seketika sebelum riak teruja terpancar pada wajahnya. "Betul? Abang tak tipu?"
          "Betul. Buat apa abang nak tipu." Aidil mencubit pipi adiknya itu.
          Alia menepis. "Sakitlah... "
          "La, adik buat apa kat sini?" Alia dan Aidil menoleh serentak.
          "Sembang dengan abang." Alia menjawab sambil memandang ke arah ibunya.
          Ibu menggeleng.
          "Macam esok lusa tak jumpa abang pula. Dah, pergi masuk bilik. Dah pukul berapa ni?" Ibu berkata sambil bercekak pinggang.
          Alia menggigit bibir. "Alah, ibu... Adik baru nak lepak-lepak sembang dengan abang." alia menjawab.
          "Dah, tak ada. Pergi masuk sekarang. Dah dekat pukul 2.00 ni. Nanti apa kata Syah. Dah, pergi."
          Alia memandang Aidil seolah-olah meminta tolong.
          Aidil ketawa pahit. "Sorry, dik. Abang tak boleh tolong. Big Boss dah bagi arahan." Aidil berbisik sambil tersengih.
          Alia menggigit bibir sebelum bangun dengan lemah. Aidil hanya tersengih dengan rasa bersalah. Tahu sahaja apa yang bermain dalam fikiran adik kesayangannya itu.

No comments:

Post a Comment