Sunday 15 May 2016

Bab 11 Kerana Dia Suamiku by...Cahaya Ainn


Alia menyusun bekas kaca berisi kuih yang terletak di atas meja depan. Sesekali telinganya menangkap suara nyanyian lagu-lagu raya daripada televisyen yang sengaja dipasang walaupun tak ada yang tengok. Suara riuh-rendah dari dapur hingga ke luar rumah saling bersahutan. Masing-masing baru lepas balik solat hari raya.
          Alia membuka bekas kaca yang berisi biskut semperit lalu mengambil sebiji dan dibawa ke mulut. Semperit opah memang terbaik dari ladang.
          Alia berdiri sambil membetul-betulkan baju di tubuh sebelum berjalan menuju ke dapur. Perut dah lapar diminta diisi.
          "Lia, makan sekali." Mak su mempelawa ketika Alia masuk ke dapur.
          Semua orang sedang berkumpul di dapur. Mata Alia dihala pada Aidil yang sedang makan sambil berbual dengan atuk dan pak teh. Dia memandang sekeliling mencari kelibat seorang, namun tiada. Entah hilang pergi mana pun tak tahu. Dia melangkah perlahan sebelum terhenti.
          "Tolong... "
          Mata Alia terkebil-kebil memandang tangan di depan mukanya sebelum mata jatuh pada wajah di hadapannya.
          Alia menarik muka. "Nak apa?" Alia berbisik perlahan. Bimbang didengar oleh saudara-mara yang sedang berkumpul di situ.
         "Tolong pakaikan. Tadi tak sempat." Syah menghulurkan butang baju Melayunya ke arah Alia.
          Alia mengetap bibir. "Pakailah sendiri. Kenapa pula nak suruh orang pakaikan." Alia menjeling tajam.
          "Ingat, kita ni tengah berlakon untuk jadi pasangan suami isteri yang baik." Syah tersenyum mengusik.
          Alia memutarkan bebola matanya sebelum mencapai butang baju Melayu dari tangan Syah.
          Syah merendahkan tubuhnya sambil mata tak leas daripada memandang wajah Alia. Ini kali pertama dia dapat merenung wajah gadis itu sedekat dan selama ini. Raut wajah gadis itu kelihatan kosong ketika jari-jemarinya mengenakan butang di lehernya.
          "Tepi-tepi, aku nak pergi tandas." Julia datang tergesa-gesa sebelum menolak tubuh Syah dari belakang ketika Syah dan Alia berdiri mengadang jalan ke dapur.
           Syah terkedepan sehingga membuatkan Alia melangkah beberapa tapak ke belakang. Tangan Alia spontan melekat pada dada bidang Syah, namun gadis itu tidak menyedari. Matanya merenung tajam ke arah pintu bilik air yang tertutup.
          "Isy, teruk betul minah ni... Makan banyak sangat waktu buka semalam siapa suruh." Alia merungut perlahan. Matanya dialihkan ke depan. Pandangannya terpaku ketika melihat kedua-dua belah tangannya elok melekat di dada Syah. Alia spontan mengangkat kepala memandang wajah Syah. Dia menelan air liur sebelum cepat-cepat menjatuhkan tangan ke sisi.
          Syah tidak beriak.
          "Done." Alia berkata perlahan sebelum melangkah, namun terhenti. Diaa mengetap gigi. "Tepikan tangan awak!" Alia bersuara keras dari celah giginya. 
          Syah pura-pura tidak dengar. Tangan kanannya yang secara tidak sengaja memegang pinggang Alia ketika ditolak Julia, masih kekeal di situ.
          "Saya bagi amaran." Alia merenung tajam ke arah Syah.
          Syah menundukkan kepala menentang pandangan Alia. Senyum terukir di bibir.
          "Jangan buat muka macam tu. Nanti apa kata saudara-mara."
          Alia menelan air liur. Hampir terlupa yang mereka mungkin menjadi tumpuan kerana masih berdiri di pintu dapur sedangkan yang lain sedang sibuk menjamu selera.
          "Amboi, kau tengok tu Hara. Anak dengan menantu kau tu... Macam pengantin baru." Mak su bersuara sambil memandang ibu.
          "Biarlah dema nak manja-manja... Dema tu tengah bercinta. Maklumlah, sebelum kahwin mana nak bercinta bagai ni." Ibu menjawab sambil ketawa.
          Yang lain turut tersenyum sambil memandang ke arah pintu dapur.
          Wajah Alia bertukar merah padam ketika mendengar perbualan tersebut.
          Syah senyum lebar. Mak oii... Merahnya muka.
          Alia menundukkan muka. Menelan air liur beberapa kali sebelum mengangkat muka sambil melemparkan senyum plastik. Kening Syah terangkat.
          "Manisnya senyuman. Ikhlas ke tak ni?" Syah berkata dalam hati. Namun terasa getar jiwanya melihat senyuman Alia.
           Alia berpura-pura membetul-betulkan butang baju yang telah siap dipasang sebelum menarik-narik leher baju Melayu itu. 
          Rasa macam nak cekik-cekikaje leher dia ni. Alia berkata geram dalam hati, namun senyum masih terukir di bibir.
          Aduh, nak bunuh aku ke apa minah ni? Syah berkerut ketika Alia menarik-narik kolar baju Melayunya dengan kasar. Senyum jahat terukir di bibir Alia. Syah menarik tangan di pinggang Alia sehingga membuatkan Alia terkedepan beberapa langkah sehingga dada mereka bersentuhan.
          Alia membulatkan matanya ketika hidung mereka hampir bertemu sebelum dia menolak dada Syah jauh daripadanya. Terasa nak terbakar wajah kerana malu. Sempat dia menjeling tajam ke arah Syah sebelum bergerak ke meja untuk bersarapan. Dalam hatinya menyumpah seranah Syah.
          Syah tersenyum ketika mengayun kaki menuju ke meja makan.
          Aidil yang melihat kejadian itu dari tadi hampir tersedak. Keningnya terangkat melihat kejadian itu. Dah baik ke budak-budak ni?
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Alia merebahkan tubuh ke katil. Badan letih bukan main. Satu hari masa dihabiskan dengan menziarah rumah saudara-mara terdekat. Dari Kampung Talang Hilir sampailah ke Manong. Hampir 12 tahun, banyak sangat perubahan yang berlaku. Kalau dulu kat pekan Kuala tu pasar raya Fajar kira hebat dah, tapi sekarang dah tukar kepada pasar raya The Store. Kira okeylah tu. Alia mengurut leher. Mata terasa berat.
           "Tidur kejap syok jugak." Alia menarik bantal busuk kekabunya lalu dibawa ke dada. Mata dipejam.
          "Lia... Lia... "
          Alia tidak bergerak. Sengaja buat tidak dengar.
          "Lia... Tidur pulak budak ni. Lia... " Julia duduk di hujung katil sambil menggoncangkan tubuh Alia.
          Alia tidak peduli. Mata berat minta direhatkan.
         "Lia, bangunlah... Ada orang nak jumpa kat luar tu."
         "Hmm... "
          "Lia, bangun!"
          Alia spontan bangun dan duduk di atas katil. Matanya bulat merenung wajah Julia yang dah gelak bagai nak gila.
          "Kau ni kenapa? Terjerit-jerit. Nak bunuh aku ke apa?" Alia merungut sebelum merebahkan kembali tubuhnya, namun ditarik oleh Julia. 
           "Tu, ada orang nak jumpa kat luar tu."
           "Siapa? Nantilah... Aku penat, nak tidur ni." Alia merendahkan tubuhnya, namun ditahan oleh Julia.
           "Lia, tak baik buat tetamu tertunggu-tunggu. Cepatlah... " Julia menarik tangan Alia supaya bangun.
           Dengan malas Alia menurut juga. Tangannya mencapai selendang yang tersadai di hujung katil. Dia menyarungkan selendang itu ke kepala sebelum keluar dari bilik mengekori Julia menuju ke ruang tamu. Telinganya menangkap gelak ketawa. Matanya memandang ke arah manusia yang sedang rancak berbual. Pandangannya jatuh pada Aidil, Aiman, suami Laila, Syah dan dua orang tetamu lain yang tidak dikenalinya. Dia berjalan dan berhenti di belakang kerusi yang diduduki oleh Aidil.
           "Hai, Lia."
           Alia berkerut ketika memandang tetamu lelaki yang menyapanya tadi. Pandangannya dialih pula pada tetamu yang di sebelahnya sebelum jatuh pada Julia.
           "Kau tak kenal ke Alia?" Julia yang berdiri di belakang kerusi Aiman memandang Alia dengan raut wajah yang sukar untuk dinyatakan.
           Alia memandang curiga ke arah dua orang tetamu itu dalam-dalam. Matanya dikecilkan. 
          "Aik, teruk gini. Marka lama pun tak kenal." Lelaki berbaju Melayu hitam itu bersuara sambil tersengih. Alia benar-benar keliru. 
           Syah memandang wajah Alia yang kelihatan keliru itu sebelum jatuh pada lelaki yang menyapa Alia tadi. Riak cemburu terpancar di matanya. Namun tiada siapa yang menyedari kerana tumpuan diberikan kepada Alia dan tetamu itu.
           Aidil menjeling ke arah Syah dari balik gelas yang dibawa ke mulut. Riak cemburu jelas di mata adik iparnya itu.
           "Lia, sungguh ke kau tak kenal kami?" Tetamu berbaju Melayu oren itu pula bertanya. Alia menarik nafas panjang sambil berfikir dalam-dalam. Macam kenal.
           "Err... Kerol dan... Err... Paiz?" Alia teragak-agak seketika sebelum memandang wajah Julia yang tersengih lebar.
           "Fuh! Aku ingat Lia ni dah tak ingat kita lagi, Paiz." Kerol dan Paiz pura-pura mengelap peluh di dahi.
           Alia mencebik lalu duduk di sebelah Aidil. Tangannya mencapai bantal di sebelah Aidil lalu melontarkan kepada kedua-dua orang jejaka itu.
           "Wei!" Kerol menepis lalu terkena Paiz. Alia ketawa.
           "Apa pulak aku yang jadi mangsa ni." Paiz atau Faizin mencapai bantal yang tergolek di atas lantai dan diletakkan di belakang badannya.
           "Perangai tak berubah. Nama aje dah besar panjang." Kerol berkata sambil mengusik. Alia menjulingkan matanya.
           "Sungguh budak ni tak berubah." Paiz menggelengkan kepala. Alia mencebik. 
           Julia hanya ketawa.
           "Dema ni risau Lia. Risau kau tak kenal dema ni." Julia mengambil tempat di sebelah Aiman.
           "Mahunya tak risau. Dekat 12 tahun tak jumpa. Silap-silap jumpa kat mana-mana pun tak kenal." Paiz menjawab sambil mencapai bekas kaca berisi kuih batang buruk.
           "Alah, ikutlah walau seratus tahun pun, aku mesti kenal kau orang berdua. Mana boleh lupa. Dulu kecik-kecik panjat pokok rambutan Mak Jah kat hujung kampung tu sama-sama." Alia berkata sambil tergelak.
           "Ha, tahu tak apa. Sampai botak pokok orang tua tu kau kerjakan." Kerol pula berkata.
           "Pandailah mengata orang. Dia pun sama, sembilan kali lima." Alia mencebik sebelum mencapai bekas kaca berisi kuih semperit.
           "Hai, tahulah lecturer math, itu pun nak samakan aku dengan sifir ke?" Kerol menjawab sambil ketawa. Alia menjeling, namun ketawa juga.
           "Kerol, kau datang sorang aje ke? Nisa mana?" Alia memanjangkan leher melihat ke luar rumah.
           "Apa kau ingat aku kerja berkepit aje ke dengan dia. Kami pun ada life sendiri juga." 
           "Manalah aku tahu. Bukan kalu kembar tu memang berkepit aje ke?" Alia tersengih sebelum membawa kuih semperit ke dalam mulut.
           "Banyaklah kau. Nanti kalau kau kahwin dapat anak kembar, kau tahulah macam mana." Kerol tersengih.
           Alia menelan air liur. Matanya spontan menjeling ke arah Syah yang dari tadi diam sambil mata tertumpu pada televisyen. Riak wajahnya tidak berubah. Pandangan Alia bertembung pula dengan Julia di sebelah sana.
           "Err, dah tu, Nisa pergi mana? Tak datang sekali ke?" Kata Alia sambil meletakkan bekas kaca semperitnya ke atas meja. Selera mati tiba-tiba.
           "Dia tak balik lagi. Masih di US. Tahun depan baru habis." Kerol menjawab.
           Alia terdiam.
           "Eh, tak apalah. Kami nak balik dulu ni. Nak pergi round rumah member yang lain. Kau tak nak join?"
           Alia menggeleng. "Tak apalah. Nanti-nantilah. Letih tak habis lagi." Alia menjawab sambil menghantar mereka berdua sehingga ke muka pintu. Julia turut berdiri di sisinya.
           "Okeylah, balik dulu." Kerol berkata sebelum dia dan Paiz masuk ke dalam kereta. 
           Alia berpusing lalu bertembung pandangannya dengan Julia. Julia memandangnya seolah-olah cuba menganalisis pemikirannya. Alia mengeluh sebelum berjalan masuk. Kali ini bertembung pula pandangan dengan Syah dan akhir sekali dengan abangnya. Alia melepaskan keluhan berat sebelum berjalan kembali masuk ke dalam bilik.
 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Ju... petang ni tak ada plan nak pergi mana-mana kan?" Alia berjalan masuk ke bilik Julia. Julia berbaring sambil memejamkan mata.
          "Hmm... "
          "Ju, bangunlah... Takkan nak tidur pula. Balik sekali-sekala takkan nak buat tahi mata pula." Alia menarik bantal yang menutupi separuh wajah Julia itu.
          "Apanya? Aku letih ni. Penat layan tetamu yang datang." Julia mengubah posisi.
          "Alah, macam kau sorang aje layan tetamu pagi tadi. Bangunlah... Kita jalan pusing kampung nak? Lama gila tak tengok kampung ni."
          "Hmm... Kau pergi ajelah. Aku tak larat ni."
          "Ju, cepatlah... Tak nak kawanlah macam ni."
         Julia menarik bantal di muka. Dia memusingkan tubuh menghadap Alia. "Kau ingat budak kecik lagi ke nak main aci tak nak kawan?" Julia bangun dan menyandarkan tubuh pada dinding.
          "Ikutlah kau nak cakap apa pun. Jomlah, esok aku nak balik KL dah."
          "Hmm... Yalah, yalah... Aku claim lunch selama sebulan kat kolej nanti." Julia bangun dari katil.
           Alia mencebik. "Berkira!"
          "Nak pergi mana pula tu?" Alia dan Julia spontan berpaling.
          "Jalan-jalan cari pasal keliling kampung. Lia ni kemaruk nak berjalan." Selamba Julia menjawab.
         "Jalan-jalan pusing kampung? Nak ikut boleh?"
         Alia membuat muka.
          "Sibuklah abang ni."
          "Seriuslah. Nak ikut. Lama tak pusing tengok kampung. Nak pergi mana?" Aidil bertanya.
          "Entah! Ingat nak pusing tengok sekolah lama. Pergi darat, jalan-jalan, ikut kaki nak pergi mana. Abang mesti tak larat punya." Alia menjawab.
          Aidil terdiam seketika seolah-olah berfikir. "Abang ikut. Syah, nak ikut?" Aidil melaung ke belakang.
          Dahi Alia berkerut. "Buat apa ajak dia?" Alia berbisik.
          Aidil berpusing memandang wajah Alia. "Habis tu, takkan nak tinggal. Tak kesian ke kat cik abang, selalu kena tinggal aje." Aidil tersengih.
          Alia mengerutu perlahan, namun telah terlambat ketika Syah datang menghampiri mereka bertiga.
          "Pergi mana?" Syah bertanya. Keningnya hampir bertaut ketika memandang riak wajah Alia yang dah macam tertelan cili padi.
          "Dema ni nak bawa kita jalan-jalan keliling kampung. Nak pergi jenguk sekolah juga katanya."
         "Boleh juga." Syah menjawab setelah terdiam sejenak.
          "Bagus. Jom gerak." Aidil berjalan dahulu diikuti oleh Julia.
          Alia memandang tajam ke arah Syah.
          Syah mengangkat kening sebelum berjalan mengekori Aidil dan Julia. Alia merungut perlahan sebelum melangkah.
          "Wei, Lia, kau ingat tak pokok mangga tu?" Alia menoleh pada pokok mangga di depan pintu belakang sekolah. Dia terdiam seolah-olah berfikir.
          "Jangan ingatkan aku." Alia memuncungkan bibir. Julia dah tergelak.
          "Apa yang kelakar sangat ni?" Aidil datang menghampiri sama-sama lelaki itu.
          "Tak ada. Bila tengok pokok mangga ini, teringat dulu masa tingkatan satu." Julia menekan perut cuba menahan ketawa yang hampir meletus.
          Aidil saling bertukar pandang dengan Syah sebelum jatuh pada Alia yang mencuka itu.
          "Kenapa dengan pokok mangga ni?" Aidil bertanya.
          "Dulu masa tingkatan satu... "
          "Ju... Kau nampak tak batu-bata tu?" Alia memberi amaran. 
          "Kenapa dengan masa tingkatan satu?" Syah pula galak bertanya. Keningnya terangkat melihat wajah Alia yang serius tu.
          Julia menjarakkan beberapa langkah dari Alia.
          "Dulu masa tingkatan satu, Alia pernah kena sengat dengan tebuan masa nak ambil mangga tu."
          "Julia!"
          Julia dah ketawa bagai nak gila. Aidil dan Syah juga sama ketawa. Alia mengerutu perlahan.
          "Masa tu kita orang baru balik sekolah. Lia ni kata teringin nak makan jeruk mangga... Dia... Dia... " Julia terduduk-duduk menahan ketawa. Alia mengecilkan mata merenung Julia.
          "Dia lastik buah mangga tu. Lepas tu, bukan kena mangga, tapi kena sarang tebuan." Julia menekan perut sambil terduduk menahan ketawa. Aidil dan Syah pun dah gelak bagai nak gila.
          Alia menjeling ke arah mereka bertiga. "Malas nak layan." Dia berjalan merapati pintu pagar belakang. Tangannya memegang kunci mangga. "Kunci pulak. Macam mana nak masuk." Alia memanjangkan leher memandang ke dalam kawasan sekolah. Hatinya bagai ditarik-tarik untuk masuk ke kawasan sekolah itu.
          "Kenapa? Berkunci ke?" Julia datang berdiri sambil mengesat air mata yang mengalir akibat terlalu banyak ketawa.
          "Aik, ingat tak habis lagi gelakkan orang." Alia menjawab.
          "Alah, Lia... Gurau-gurau aje. Itu pun nak marah." Julia tersengih.
          "Kenapa? Tak boleh masuk ke?" Aidil datang dari belakang.
          "Kunci." Julia menjawab hampa.
          Alia terdiam sambil berfikir. Nak pusing lalu ikut pagar depan memang masaklah. "Aku ada idea. Tepi." Alia berkata sambil melangkah keluar dari laluan itu.
          "Apa? Jangan cakap kau nak panjat pagar ni. Dulu masa sekolah bolehlah kau nak buat macam tu." Julia bertanya pelik.
          "Adik panjat pagar sekolah?" Aidil memandang tak percaya.
          Syah turut terkejut. Biar betul.
          "Orang panjat nak masuk sekolah, bukan fly." Alia berjalan mengikut pagar sekolah menghala ke belakang. Yang lain hanya mengekori. Alia meredah semak itu perlahan sambil tercari-cari.
          "Adik, nak buat apa masuk dalam semak macam tu?" Aidil bertanya risau. "Entah apa-apalah adik aku sorang ni."
          Apa hal pulak budak ni. Sampai nak masuk dalam semak. Syah berkata dalam hati.
          "Eh, aku hampir lupa." Julia turut masuk ke dalam semak mengikut Alia dari belakang.
          "Kau tak rasa yang... "Alia bertanya-tanya teragak-agak.
          "Aku tak pasti. Tapi aku rasa tak ada yang tahu laluan ni." Julia menarik beberapa ranting kayu yang menghalang perjalanannya itu.
          "Adik nak buat apa tu? Dah, keluar." Aidil berkata.
          "Kejaplah... "Alia melaung dari dalam semak.
          Aidil menggeleng kepala. Matanya melihat Syah yang dah meredah masuk mengekori Alia dan Julia. Aidil tercengang seketika melihat kelakuan adik iparnya itu sebelum kakinya turut melangkah. Alia berdiri sambil memandang sekeliling. Julia turut sama melakukan perbuatan yang sama.
          "Apa hal sebenarnya ni?"
           Alia berpaling sebelum menjeling. 
          Syah mengerutkan dahi. Apa masalah budak ni? Tak pasal-pasal nak cari penyakit masuk dalam semak ni. Entah ada ular ke apa.
          "Adik, nak buat apa masuk dalam semak ni? Cari apa?" Aidil bertanya sambil menyapu daun yang melekat di bajunya.
          "Kita orang ada jalan rahsia masa sekolah dulu. Lia ni yang jumpa masa dia sibuk panjat pagar sekolah." Julia menjawab persoalan yang tergambar pada wajah Aidil dan Syah. Mereka berdua tercengang.
          "Adik kat sekolah dulu buat part time dengan Jabatan Perhilitan ke?" Aidil bertanya separuh mengusik.
          Alia tidak mengendahkan. Matanya difokuskan, cuba mengingati. Dulu semak aje, tapi sekarang dah macam hutan rimba, apa pun tak nampak.
          "Hah! Tu!" Alia menunjuk pada denai yang tertutup dengan semak dan ranting kayu. Alia segera berjalan ke sana dan menarik ranting-ranting kayu tu ke tepi.
          "Kerja gila apa yang awak buat ni?" Bisik Syah keras di telinga Alia.
          Alia berpaling. "Awak jangan menyibuk. Kalau tak nak ikut, awak boleh balik sekarang." Alia berbisik. Bimbang didengari oleh abang dan Julia.
          Syah merengus perlahan. Namun dialih juga ranting-ranting yang menghalang laluan denai itu bersama-sama Alia.
          "Aku dah cakap. Jalan ni mesti ada lagi." Alia menepuk tangan, membuang kotoran di tapak tangannya.
          "Jadi, apa lagi... Ke nak aku rasmi dulu?" Julia bertanya. Alia mencebik sebelum dia berjalan mendahului laluan itu.
          "Nanti."
          Kaki Alia terhenti secara spontan.
          "Apa lagi?" Alia bertanya keras.
          Syah datang menghampirinya. "Biar saya yang pergi dulu."
         "Kenapa pulak?" Alia bertanya dengan nada yang tidak puas hati. Mencemar duli ni dia pula yang nak rasmi dulu.
          "Saya pergi dulu atau kita patah balik, cepat buat keputusan." Syah menjawab keras sambil memandang ke arah Aidil dan Julia. Alia menjeling. Giginya diketap sehingga rahangnya terasa kejang.
          "Abang setuju. Biar Syah jalan dulu atau kita tak payah lalu terus."
          Alia menarik nafas panjang. Matanya menjeling ke arah Aidil sebelum jatuh pada raut wajah Syah. Rasa macam nak tolak aje masuk longkang.
          "Fine!" Alia memeluk tubuh.
          "Ikut mana?" Syah bertanya sambil memandang wajah Alia yang berang itu.
          Alia hanya mendiamkan diri sebelum berpaling ke arah lain.
          "Err, jalan terus ikut denai itu sampai nampak pagar sekolah. Kat situ ada satu lubang kecik. Masuk ikut situ." Julia menjawab bagi pihak Alia.
          Syah sempat menjeling ke arah Alia yang tidak mahu memandangnya sebelum melangkah mendahului mereka.
          "Jom." Julia menarik tangan Alia supaya berjalan selepas Syah.
          Setelah hampir lima minit meredah belukar dengan semak yang ada maha dahsyat itu, akhirnya mereka sampai di tempat yang dikatakan oleh Julia tadi.
          "Masuk ikut lubang ni ke?" Syah memandang Julia. Julia mengangguk.
          Syah menarik ranting kayu yang menutupi sebahagian lubang di pagar tersebut sebelum dia tunduk dan meloloskan diri.
          "Lia, kau pulak." Julia menolak Alia perlahan.
          Alia memegang hujung lubang pada pagar itu sebelum menolak kakinya untuk membolehkan badannya ditolak melepasi lubang itu.
          "Sini." Syah menghulurkan tangannya.
          "Saya tak perlukan pertolongan awak." Alia menjawab keras. Perasaan marahnya masih bersarang dalam hati.
          Syah menggeleng. Degil betul budak ni.
          Alia menolak lagi kakinya, namun kedudukan berbukit itu menyukarkan dirinya. Ditambah lagi dengan ranting dan akar pokok yang berselirat. Alia mengumpulkan sepenuh tenaga sebelum menolak tubuhnya ke atas. Dia hampir terjatuh ke belakang ketika ranting yang dipijaknya patah. Mujur Syah sempat menyambut tubuhnya.
          "Itulah, degil sangat." Syah berbisik di telinga gadis itu perlahan. Tangannya memeluk erat tubuh gadis itu. Rasa macam nak pecah jantung tengok gadis itu hampir nak terbalik ke belakang.
          "Lepaslah!" Alia meronta sambil menolak tubuh Syah jauh daripadanya. Namun dadanya berdebar kencang seolah-olah nak terkeluar dari tulang rusuk kerana takut terjatuh ke belakang. Syah melepaskan tangannya.
           Alia membetul-betulkan kedudukan bajunya sambil tertunduk. Rasa macam nak terjun lombong. Malu punya pasal.
          "Hello, need help here."
           Alia spontan menghulurkan tangan ke arah Julia lalu menarik gadis ke atas. Aidil turut memanjat dan melepasi lubang itu tanpa masalah.
          "So, our journey's begin." Aidil berjalan selamba  meninggalkan kawasan itu sambil diekori oleh Julia.
          "Wei, Ju, kau tengok tu." Alia menunjuk ke arah dinding.
          Tiga kepala serentak mendongak.
          "Fight for our future." Aidil membaca kuat. 
          "Ada lagi kata-kata itu. Kau ingat? Kita punya macam nak patah pinggang tampal kata-kata tu masa tingkatan tiga dulu." Alia berkata teruja. Matanya tidak lepas memandang huruf-huruf yang diperbuat daripada kertas manila.
          "A'ahlah. Aku tak sangka budak-budak ni tak cabut lagi ayat tu." Julia menjawab.
          "Tapi aku rasa dulu kita guna manila kad warna pink, kan? Ni dah jadi putih." Alia berfikir seketika sambil merenung kata-kata hikmah tersebut.
          "Memanglah, dah berapa tahun dah benda tu kat situ." Julia menjawab sambil berjalan ke arah meja guru.
          Pandangan Alia masih lagi pada kata-kata itu. Senyum terukir di bibir. Rasa macam mimpi dapat balik semula ke kelas itu. Kelas Tiga Perdana.
          "Eh, aku baru teringat sesuatu." Alia berjalan menuju ke luar kelas.
          "Apa?" Syah bertanya ingin tahu.
          Alia tidak mengendahkan. Dia segera berjalan laju menuju ke arah pondok kayu yang dibina di hadapan kelas. Namun, destinasi Alia bukan pada pondok tersebut, tetapi pada taman kaktus yang terletak bersebelahan dengan pondok tersebut.
          "Adik cari apa?" Aidil bertanya sambil berjalan menghampiri Alia yang sedang sibuk membelek-belek sesuatu pada salah satu pokok kaktus yang setinggi 160 sentimeter itu.
           "Hah! Dah jumpa!" Alia bersorak girang.
          "Apa yang kau jumpa?" Julia datang dekat. Begitu juga dengan Aidil dan Syah.
          Alia menunjukkan sesuatu dengan jari telunjuknya.
          Tiga kepala merenung jari telunjuk Alia.
          "Eh, aku hampir tak ingat." Julia turut teruja ketika meneliti ayat yang tertulis di salah satu daun pada kaktus gergasi itu.
          "Siapa Yaya?" Syah bertanya sambil mengerutkan dahi ketika membaca tulisan dakwat kekal berwarna hitam itu.
           Alia terdiam.
          Julia dan Aidil saling berpandangan.
          Syah memandang ke arah Alia sebelum jatuh pada Julia dan Aidil.
          Mata Alia masih merenung kaku ayat tersebut. Hatinya tiba-tiba menjadi sebak.
         "Jom balik. Dah lewat." 

No comments:

Post a Comment