Wednesday 4 May 2016

Bab 1 Kerana Dia Suamiku by...Cahaya Ainn


          Alia menongkat dagu. Jari-jemarinya bermain-main dengan pen di tangan. Kepalanya ligat berfikir. Sesekali dia melepaskan keluhan berat. Dia memicit pelipisnya dengan hujung jari telunjuk. Kepalanya terasa pening dan berpusing. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi dan memejamkan mata. Cuba untuk berfikir lagi, namun buntu. Dia betul-betul buntu.
          Tiba-tiba kedengaran pintu biliknya diketuk. Alia membuka mata dan memandang ke arah pintu.  Kemudian, matanya terarah pada jam dinding. Pukul 4.30 petang.
          "Siapa pulak yang datang waktu-waktu macam ni... " Alia mengeluh dalam hati. Dia membetulkan kedudukan dirinya sebelum bersuara. "Masuk!" Alia mencapai pen merah dari bekas penselnya.
          "Sibuk ke?" Julia menjengulkan muka di pintu.
          "La, kau rupanya. Aku ingat student. Tak adalah sibuk mana pun... " Alia melontarkan pen merah yang dipegangnya ke atas meja. Dia menyandarkan kembali tubuhnya pada kerusi empuk itu.
           "Ada apa kau datang sini? Dari jauh kau menapak datang sini," tanya Alia sambil memicit dahinya. Terasa berdenyut kepalanya dek kerana terlalu banyak berfikir barangkali.
           "Tak ada apa. Saja datang jenguk kau. Fakulti Pengurusan tu bukan jauh mana pun dengan Fakulti sains ni. Sekangkang kera aje." Julia tersengih.
          " Kau tak ada kelas ke?" Alia bertanya.
          "Nope! Aku dari pukul 3.00 tadi tak ada kelas. Lepak dalam office tanda assigments budak-budak aje. Bosan, aku datang sini." Julia menjawab sambil membelek kertas kajang yang berselerak di atas meja. "Kau tak ada kelas?"
          "Tak ada. Last kelas aku pukul 3.00 tadi. Sementara nak balik, aku semak kertas budak-budak ni dulu. Kalau tak buat sekarang, bertimbun-timbun kerja tertangguh." Alia menjawab sambil melarikan tetikus ke arah butang pangkah Winampnya.
          "Oh, tu sebab kau sampai sakit-sakit kepala... Pening tanda kertas budak ke? Julia mengangkat kertas yang telah siap bertanda di tangannya.
          Alia menjeling sekilas  ke arah kertas tersebut. "Hmm, tak jugak."                                     "Dah tu kenapa?"
          Alia hanya mendiamkan diri. Tangannya sibuk meneliti rekod mengajar yang direkodkan di dalam Microsoft Office
           "Lia, kalau ada masalah, cakap dengan aku. Aku kan sepupu kau, bukan setakat teman sekerja aje." Julia menyandarkan tubuhnya ke kerusi sambil berpeluk tubuh. Matanya tidak dialihkan daripada memandang wajah Alia yang berkerut itu.
          Alia melepaskan keluhan berat. dia memusingkan tubuhnya menghadap Julia. Memang betul, Julia sepupunya. Julia juga teman sekerjanya. Mereka sama-sama bekerja sebagai pensyarah di pusat pengajian tinggi. Walaupun bidang yang berbeza, namun itu tidak menjadi penghalang perhubungan mereka. Malah, Julia juga merupakan antara sepupu yang paling rapat dengannya. Mereka membesar bersama-sama. Mereka juga turut bersekolah di sekolah yang sama sehinggalah Alia berpindah tinggal dengan keluarganya selepas PMR.
          "Pasal hal tu ke?" Julia bertanya apabila melihat Alia hanya membisu.
          Alia memandang wajah Julia lambat-lambat.
           "Kau dah cuba cakap dengan pak long dan mak long?"
          Alia hanya membisu, merenung meja seolah-olah tembus sehingga ke lantai. Ingatannya berputar mengingatkan kembali perbualan dia dengan ibu dan ayahnya seminggu yang lalu.
                                                                                                                                               
"Adik, kerja macam mana?" Abah bertanya tanpa mengalihkan mata dari surat khabar di tangan.
          Alia mencapai gelas berisi air oren sebelum meneguknya. "Boleh tahanlah, macam biasa." alia menjawab.
          Abah menjeling ibu di sebelah.                                                                                             Alia leka memandang televisyen yang menayangkan cerita melayu.
          "Adik ada kawan dengan siapa-siapa ke?" Ibu bersuara di sebelah.
          Alia yang leka menonton televisyen tidak mendengar pertanyaan ibunya itu.
          "Hmm... " Mata Alia leka pada Aaron Aziz di televisyen.
          "Adik, dengar tak ibu tanya ni?" Alia tersedar. Dia mengalihkan andangannya ke arah ibu. "Err...Sorry, ibu. Apa ibu tanya tadi?" 
          Ibu sempat menjeling ke arah abah yang kembali membaca surat khabar. Alia memandang ibu dan abahnya silih berganti. Apa hal pula gaya serius aje ibu dan abah aku ni? Alia berkata dalam hati.
          "Ibu tanya, adik ada kawan dengan siapa-siapa ke?" Alia memandang pelik ke arah ibunya.
          "Ada. Ramai. Nana, Siti, Faezah, lagi siapa?" Alia menghitung jari mengira.
           Ibu menggeleng. "Maksud ibu, kawan lelaki. Err... Teman lelaki. 
           Alia yang sedang sibuk menghitung bilangan kawan perempuannya itu berhenti. Bulat matanya memandang ibu dan abahnya. Dadanya berdebar tiba-tiba.
           Ni apa gaya tiba-tiba tanya bab-bab sensitif ni. Alia berkat dalam hatinya.
          "Err, kenapa ibu tanya?" tanya Alia tergagap-gagap.
          "Macam ni, kalau adik tak ada kawan dengan siapa-siapa, ibu dan abah ada nak kenalkan adik dengan anak kawan ibu dan abah. Anak dia baru balik dari luar negara." 
           Hampir pitam tatkala butir-butir kata itu keluar dari mulut ibu. Namun, Alia cepat-cepat menenangkan diri walaupun jantungnya sedang laju mengepam aliran darahnya sehingga sukar untuk bernafas.
          "Ibu cakap apa ni?" Alia bertanya tersekat-sekat.
          Ibu berdeham sambil memandang ke arah abah yang mungkin berpura-pura membaca akhbar.
          "Abang, cakaplah. Kita tengah sibuk bincang, dia boleh pulak sibuk baca surat khabar tu... " Ibu merungut.
           Abah nampaknya tidak mampu lagi nak berpura-pura membaca surat khabar sambil memasang telinga lagi.
          "Macam ni adik, macam ibu cakap tadi, anak kawan abah baru balik dari luar negara. Kenalan abah tu ada datang rumah, tanyakan adik untuk anaknya itu. Jadi, sebelum ibu dan abah bagi jawapan pada mereka, abah dan ibu nak tahu jugak mana tahu adik ada kawan dengan sesiapa." Abah sempat memandang ibu di sebelah.
          Alia bungkam. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Kepalanya seolah-olah beku, tidak mampu berfikir.
          "Adik... Adik... Tak err... " Alia tergagap. Tidak tahu apa yang hendak disampaikan.
          "Kalau adik ada kawan dengan sesiapa, adik bawa balik rumah, biar ibu dan abah tengok." Ibu berkata. 
           Alia gelisah. Kenapa pula tiba-tiba masuk bab-bab kahwin petang-petang ni? 
           "Tak ada. Adik tak ada kawan dengan siapa-siapa." Alia menjawab perlahan sambil menundukkan muka. Terasa malu pula apabila berbicara tentang hal itu dengan ibu dan abah.
           Ibu dan abah saling berpandangan sebelum senyuman terukir di bibir masing-masing. 
           "Macam nilah, adik tengok dulu anak kawan abah dan ibu itu. Lepas tu baru kita bincang ya?" Ibu berkata sebelum bangun menuju entah ke mana. Beberapa ketika, ibu kembali mendapatkan Alia dan abah.
          Alia hampir tidak sempat berkata apa-apa apabila ibu datang membawa sepucuk sampul surat. Apa benda pula ni? Alia berkata dalam hati apabila melihat ibunya membuka sampul surat tersebut dan mengeluarkan sekeping gambar bersaiz 3R.
          "Nah, adik tengok dulu." Ibu menghulurkan gambar tersebut. 
           Alia hanya memandang dengan wajah kengerian. Tangannya hampir menggeletar ketika gambar tersebut bertukar tangan.
          "Err... Ibu... Abah... Kenapa tiba-tiba saja timbul hal ni?" Alia bertanya perlahan. Gambar di tangannya itu tidak dipandang walau sekali.
          Ibu memandang wajah abah. "Adik, ibu dan abah rasa dah sampai masanya  untuk adik berumah tangga. Umur adik pun dah 27, tak manis anak dara kahwin lambat." Ibu menjawab. 
           Alia terdiam. Zaman sekarang ni mana kira dah perempuan kahwin lambat ke cepat. Yang penting hidup bahagia.
           "Tapi, adik belum bersedia. Banyak lagi benda yang adik rancang dalam hidup ni." Alia bersuara perlahan. Bimbang hati orang tuanya tergores.
           "Adik, bersedia atau tidak, itu terpulang pada adik. Adik dah besar, tapi kami ni hanya menunggu masa aje. Nak juga kami menimang cucu sebelum mata kami tertutup." Ibu bersuara sayu. 
           Alia menggigit bibir.
                                                                                                                                               
 "Lia!" Julia mengetuk meja.
           Alia tersentak. Matanya dijegilkan ketika memandang wajah Julia.
          "Mengelamun pulak dia. Aku tanya kau dah cakap ke dengan ibu dan abah kau tu yang kau tak nak kahwin dengan mamat tu?"
          "Dah, tapi bukan kau tak faham ibu dan abah aku tu. Aku pulak mana reti nak bantah-bantah cakap orang tua ni." Alia memejam mata. Itulah perkara yang difikirkan sepanjang hari ini. Bukan hari ini saja, sejak kali pertama ibu dan abahnya bercakap tentang rancangan itu. Rancangan hendak menjodohkan dia dengan anak kenalan mereka.  
          "Kadangkala aku rasa hidup kau ni macam dalam novel. Kau tahu, kahwin dengan pilihan keluarga. Tapi kau jangan risau. Selalunya happy ending. Aku rasa novel terbaru kau patut tulis pasal benda ni. Lagi real. Pengalaman dah ada, kan?" Julia tersengih.
          Alia memutarkan bebola matanya. "Jangan mengarutlah. Aku belum nak kahwin lagi. Banyak lagi benda yang aku nak fikir. Kerjaya aku, buku-buku aku. Aku pelan nak sambung master jugak." Alia menggosok dagu. 
          Julia membeliakkan biji matanya.
          "Kau nak sambung belajar lagi? Kenapa? Tak cukup-cukup lagi ke pening sampai nak pitam masa nak buat projek tahun akhir masa degree dulu?" 
           "Kau ni Ju, patut bagilah moral support pada aku. Ini tak, nak menjatuhkan semangat aku lagi ada." Alia mencebik.
           "Tak adalah. Aku cuma cakap aje. Kutlah kau jadi kahwin nanti, tak ke huru-hara hidup kau. Mana lagi nak mengajar, nak menulis. Eh, cakap pasal menulis, novel terbaru kau apa cerita?" Julia bertanya sambil mengendeng meja.
          "Entahlah, aku tengah serabut pasal hal ni. Tak sempat nak fikir pasal hal lain. Aku ingat nak hold dulu manuskrip aku tu. Tunggu semua hal selesai. Sekarang nak berjalan pun rasa macam tak cukup tanah." Alia menjawab.
          "Jadi kau dah jumpa ke lelaki tu?" Julia bertanya sambil mempamerkan senyuman nakalnya. Alia mendengus.
          "Belum. Tak teringin aku nak jumpa dia. Menyusahkan hidup aje." Alia menggerutu. Entah kepada siapa mahu dihamburkan rasa marah yang bersarang dalam hati ini.
          "Mak long cakap dia ada bagi gambar lelaki tu pada kau, takkan kau tak tengok?"
          "Tak ada. Malas aku. Buang masa aje."
          "Kau ada bawa gambar tu? Bagi aku, aku nak tengok macam manalah bakal suami kau tu... " Julia tersengih mengusik. 
           Alia mengetapkan bibir. "Kau jangan buat lawak Ju... Aku tengah angin ni." Alia menggerutu perlahan.
           Sengih pada wajah Julia tidak padam. Malah makin galak. Dia tahu yang Alia takkan marah sungguh-sungguh kepadanya. Dia kenal Alia luar dan dalam.
           "Alah, aku gurau aje pun kau nak angin. Cepatlah Lia, aku teringin sangat nak tengok ni. Sumpah aku tak gelak. Bolehlah... Bolehlah... " Julia dah angkat tangan gaya-gaya pandu puteri buat ikrar masa perbarisan sekolah.
           Alia menjeling, namun dia tunduk membuka laci sebelum mencampakkan sampul surat putih berjalur merah biru ke atas meja.
          Sengih Julia semakin melebar. Tangannya segera mencapai sampul surat tersebut.
          "Aku bukak ya?" Julia tersengih sambil membuka sampul surat  yang sudah berada di tangannya. ditonggengkan sampul itu sehingga keluar sekeping gambar di atas tapak tangannya.
           Alia tidak ambil pusing. Matanya leka pada skrin komputer.
          "Lia! Betul kau tak nak kahwin dengan mamat ni?"
          Mata Alia tidak berganjak dari skrin komputer. Sesekali tangannya laju menaip nota-nota tambahan yang akn digunakna untuk kuliah seterusnya.
          "Lia! Aku cakap dengan kerusi meja ke? Dinding? Dengar tak aku tanya ni?"
          Alia memekakkan telinganya.
          "Budak ni, buat pekak aje dia. Lia serius aku tanya... Kau tak nak kahwin dengan mamat ni ke? Kalau tak nak, bagi kat aku." 
           Alia memusingkan badan. "Kecik tapak tangan, Litar Sepang aku tadahkan. Ambillah, aku tak kisah." Alia menjawab selamba sambil tangan mencapai buku rujukan mengajarnya.
          Julia menggeleng. "Cuba kau tengok mamat ni dulu. Lepas tu, baru kau nak bagi Litar Sepang ke apa ke... " Julia menghulurkan gambar tersebut ke arah Alia.
           Alia tidak mengangkat kepala dari halaman buku rujukannya. "Terima kasih. Tak berminat!"
           "Handsome gila ni, Lia... Rugi kalaukau tolak. Kalau mak dan ayah aku yang suruh kahwin dengan mamat ni, memang aku terima aje."
          "Kalau macam tu, apa kata kau aje yang ganti tempat aku, nak?" Mata Alia kembali ke skrin komputer.
          "Serius! Kalau boleh main ganti-ganti, memang Lapangan Terbang Kuala Lumpur aku tadahkan." Julia tersengih.
          Alia menjulingkan biji matanya. "Dahlah, aku nak balik. Dah lewat. Kalau kau nak duduk sini, duduk sorang-sorang." Alia bangun dan mengemas mejanya yang berselerak itu.
          Julia turut bangun. "Apa faedahnya aku nak lepak sorang-sorang kat sini. Kerja lebih masa pun aku malas buat." Tangannya menghulurkan sampul surat berisi gambar itu ke arah Alia.
          "Kau simpanlah." Alia menolak. Tangannya lincah menyusun buku-buku rujukan mengajar di tepi meja. Ini kalau tak susun sekarang,  esok kalut masa nak pergi mengajar. tertukar bahan mengajar tak ke naya aje.
          "Apa pulak aku nak simpan. tak eloklah, Lia... Sekurang-kurangnya kau hormatlah mamat ni. Takkan nak buat sepah aje gambar dia ni. Kutlah tiba-tiba terbuka hati kau nak tengok gambar ni." Julia masih menghulurkan sampul surat tersebut. 
          Mahu tidak mahu, Alia terpaksa juga mengambilnya. Dia selitkan di dalam plannernya sebelum planner itu dimasukkan ke dalam beg kerjanya. 
           "Dah, jom!" Alia membimbit beg kerjanya dan menyangkutkan beg tangan di bahunya sebelum bergerak menuju ke pintu.
           Julia turut mengekorinya dari belakang.
           "Kau parking kereta kat mana?" Alia bertanya ketika mereka berdiri di depan kereta Myvi ungunya. 
           "Dekat fakulti akulah."
           "Nak aku tumpangkan sampai fakulti kau ke?" Alia membuka pintu tempat memandu.
          "Memang nak suruh kau hantar pun." Julia menyengih sambil masuk ke tempat penumpang sebelah pemandu.
          Alia menggelengkan kepala. 

No comments:

Post a Comment